Sifat ghuluw atau melampaui batas adalah satu sikap yang ditegah oleh agama.
Sehingga Nabi SAW bersabda, “Wahai seluruh manusia, hindarilah ghuluw (pelampauan batas) dalam beragama. Karena yang membinasakan (umat) sebelum kamu adalah ghuluw dalam beragama”
(HR Ibnu Majah).
Sebaliknya, Islam adalah bersifat sederhana atau wasatiyah dalam semua perkara.
Perbuatan melampau biasanya akan memakan diri sendiri.
Di dalam politik, biasanya sifat melampau bukan sahaja akan membawa perpecahan, tetapi juga kerosakan yang lain, termasuk melakukan takfir (mengkafirkan), membunuh, menyerang dan menderhaka.
Nah! Lihatlah pengalaman politik umat Islam pada akhir era Khulafa ar-Rashidin yang menyaksikan perpecahan dan pembentukan sekte-sekte politik, yang bertukar menjadi aliran ilmu kalam seperti Syiah, Khawarij, Murjiah dan Muktazilah.
Sehingga hari ini mereka masih berselisihan, termasuk dengan Ahli Sunnah wal Jamaah.
Di negara kita, pergolakan umat Islam adalah di antara Umno dan PAS dalam konteks politik kepartian.
Walaupun dalam bentuk lain, tidak kurang kerasnya seperti Kaum Muda-Kaum Tua atau salafi-khalafi.
Pergeseran utama di antara PAS dan Umno adalah berpunca dari dasar dan matlamat yang berbeza.
PAS bergerak dengan dasar Islam dan bermatlamat menegakkan negara Islam, sedangkan Umno mendukung dasar sekular yang memperjuangkan kebangsaan Melayu.
Di atas perbezaan ini, timbullah pelbagai perselisihan sehingga begitu lama kedua-dua parti ini berpecah.
Walaupun di dalam Umno, tidak kurang di kalangan mereka yang mencaci hina PAS dengan tuduhan-tuduhan seperti anti pembangunan, pungguk rindukan bulan, parti ajaran sesat, parti ajaran syaitan, hudud PAS dan sebagai, namun begitu, yang lebih keras adalah dari ahli PAS sendiri.
Ahli-ahli PAS mempunyai pelbagai hujah yang disandarkan dengan nas agama untuk menolak Umno.
Ini berpunca dari dasar Umno itu sendiri yang tidak berteraskan al-Quran dan sunnah, lalu langkah-langkah politiknya sangat terdedah kepada perkara yang bercanggah dengan agama.
Sebenarnya bukan semua pemimpin PAS bersikap keras dan melampau terhadap Umno, segelintir sahaja.
Mereka menuduh Umno kafir misalnya atau menganggap Umno adalah perompak dan penyamun harta negara, sehingga dalam semua keadaan mereka menolak Umno.
Mereka sangat keras dan tidak mahu mendekati Umno dalam apa bentuk sekalipun, termasuk untuk mendakwahi Umno.
Sedangkan kumpulan yang lebih besar di dalam PAS, sejak dahulu melihat Umno dan ahli-ahli Umno adalah mad’u atau sasaran dakwah.
Mereka bersetuju jika ada mana-mana ahli Umno yang menolak hukum Allah sedangkan dia tahu itu adalah hukum Allah, maka dihukumkan kafir.
Tetapi yang menolak kerana kepentingan dunia atau kerana kejahilan, belumlah mereka dihukumkan kafir, melainkan zalim dan fasik jua.
Jika kita memerhatikan pengalaman sejarah perhubungan PAS-Umno ini, kelompok yang keras dan melampau di dalam PAS selalunya mengambil sikap meninggalkan PAS, setiap kali ada strategi politico-dakwah PAS dibuat ke atas Umno.
Mereka memberontak, menolak pendekatan PAS dan akhirnya menentang strategi dan keputusan PAS, lalu meninggalkan parti.
Tetapi sejarah juga telah membuktikan, bahawa orang bersikap melampau ini, setelah meninggalkan PAS, mereka akhirnya bersekongkol dengan Umno yang sangat jijik pada pandangan mereka dahulu.
Mari kita lihat beberapa contoh pengalaman di dalam PAS tentang kelompok yang keras menolak Umno sehingga meninggalkan PAS.
Kemudian, mereka terhegeh-hegeh menyertai Umno untuk menentang PAS pula.
I. Tuan Guru Haji Omar Daud dari Pondok Kubang Bemban, Pasir Mas yang mula mengkafirkan Umno pada 1963.
Akibatnya, ramai ulamak PAS telah dikenakan ISA beberapa tahun ketika itu.
Setelah dibebaskan, Tuan Guru Haji Omar telah keluar dari PAS, sebelum menyerang PAS dan menuduhkan PAS memburuk-burukkan Umno.
Akhirnya, dengan lesen pengedar beras yang diberikan oleh Kerajaan Umno-Perikatan, beliau telah menyertai Umno.
II. Selepas 13 Mei 1969, PAS telah mengambil langkah memulakan rundingan politik dengan Umno untuk penyatuan orang Melayu dan kestabilan politik nasional.
Kebanyakkan pemimpin muda Islam yang aktif dalam PKPIM menolak keras kerjasama politik PAS-Umno.
Sebahagian mereka bersama sejumlah ahli Pemuda PAS telah menubuhkan dan menggerakkan ABIM sejak 1972, antara lain kerana tidak senang dengan strategi PAS di dalam kerajaan.
Pada 1975, mereka mengadakan siri-siri demontrasi membantah Kerajaan BN yang PAS ada di dalamnya.
Apabila PAS ditendang dari BN pada 13 Disember 1977, sebahagian mereka aktif semula bersama PAS, sebahagian lagi terus aktif bersama ABIM.
Pada April 1982, apabila Anwar Ibrahim mengumumkan menyertai Umno untuk ‘mencuci dari dalam,’ sebahagian besar aktivis Islam di dalam ABIM yang dahulunya sangat bencikan Umno, telah menjadi ahli dan pemimpin Umno.
III. Salah seorang bekas pemimpin ABIM yang keras terhadap Umno ialah Ustaz Nakhaie Ahmad.
Beliau mendaki kepemimpinan PAS sehingga menjadi Naib Yang Dipertua Agung PAS.
Beliau termasuk di kalangan pemimpin PAS yang mengkafirkan Umno.
Pada 1987, dalam Operasi Lalang, namanya tersenarai sebagai orang yang dikehendaki di bawah ISA.
Beliau ‘lari’ ke Kaherah, London dan USA.
Selepas kembali pada 1988, beliau mencadangkan supaya PAS bekerjasama dengan Umno dan membentuk ‘Barisan Islam.’
Apabila gagasan beliau ditolak kerana PAS memilih bekerjasama dengan Team B Umno, beliau telah menyertai Umno dengan membawa sekali anak-anak tarbiyahnya seperti Saifuddin Nasution, Ahmad Sabri Chek, Che Johan Che Pa, Fuad Zarkashi dan lain-lain.
Mereka semua mendapat kedudukan di dalam Umno dan kerajaan.
IV. Ketika Umno berpecah pada 1987, penyokong Tengku Razaliegh Hamzah (Ku Li) yang dilabel sebagai Team B telah menubuhkan Semangat 46 (S46), setelah Umno diharamkan pada 1988.
PAS mengambil strategi politik untuk mendekati Team B Umno dan seterusnya bekerjasama dengan S46 melalui Angkatan Perpaduan Ummah (APU).
Satu kumpulan pimpinan PAS di Kelantan khususnya, yang menggelarkan diri mereka sebagai Kumpulan Islah atau PAS 51 telah menentang kerjasama dengan serpihan Umno ini.
“Biawak kerat dua,” kata mereka, dalam membuat analogi tentang Team A (Umno Baru) dan Team B (S46) yang kedua-duanya berasal dari Umno (Lama).
Pemimpin mereka seperti Ustaz Nor Deris, Ustaz Mustapha Taib, Ustaz Wan Ismail Machang, Ustaz Ismail Noh, Ustaz Wan Daud Wan Jusoh dan lain-lain begitu keras menolak kerjasama dengan Umno, sehingga sebahagian mereka keluar dari PAS.
Dahulunya, Ustaz Nor Deris, Ustaz Mustapha Taib dan Ustaz Wan Ismail Machang terkenal kerana suka mengkafirkan Umno.
Ustaz Wan Ismail selalu disebut sebagai Wan Ismail Jirat kerana sering mengatakan bahawa jenazah orang Umno patut ditanam di jirat Cina.
Tetapi, setelah keluar dari PAS, menjelang Pilihan Raya Umum 1995, mereka telah menyertai Umno dan menjadi calon BN untuk menentang PAS.
Bahkan mereka terlibat dalam Debat Olok-olok PAS-Umno pada 1999.
V. Di Terengganu, terdapat juga pemimpin PAS yang sangat kuat memaki hamun Umno, sehingga mengkafirkan mereka.
Antara mereka termasuklah Ustaz Ghazali Ahmad Losong dan Ustaz Abdul Latif Mohamad di Jerteh.
Pada 1996, kerana beberapa isu tatatertib, PAS telah memecatkan keahlian Ustaz Ghazali Losong dan Ustaz Abdul Latif.
Mereka berdua kemudiannya turut menyertai Umno dan berceramah di pentas Umno untuk menyerang PAS.
Ustaz Ghazali adalah ‘wakil PAS’ di dalam Debat Olok-olok pada 1999 itu.
Daripada beberapa contoh ini, kita dapat melihat bahawa pemimpin dan ahli PAS yang mempunyai sikap melampau terhadap musuh politiknya seperti Umno, mereka bukan sahaja tidak akan istiqamah bersama PAS, tetapi mereka akan ‘menjilat’ semula ludah mereka apakala mereka menyertai Umno untuk kepentingan sempit mereka.
Maka tidak hairan apabila kita melihat penyakit yang sama kini berjangkit kepada pemimpin PAN yang telah meninggalkan PAS pada 2015 kerana sangat bencikan Umno.
Mereka dahulunya menolak sebarang bentuk hubungan dengan Umno, dan kini mereka mula ‘berjinak-jinak’ dengan Umno.
Sekumpulan pemimpin PAS telah bersikap keras terhadap Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sejak 2008 kerana gagasan Kerajaan Perpaduan (UG) dan juga rundingan dengan Pak Lah pasca Pilihan Raya Umum 2008.
Keadaan ini terus berlanjutan hingga 2015.
Mereka menganggap Umno adalah perompak dan penyamun.
Mereka menuduh Tun Mahathir sebagai ‘Kepala Perompak Negara’ dan mendakwa Najib Razak dan Rosmah Mansor sebagai penyamun harta negara melalui 1MDB.
Mereka menolak semua bentuk kerjasama dengan Umno dan sanggup menjadi alat DAP demi menentang Umno.
Tiba-tiba, kerana krisis politik tercetus di Perak dan Johor setelah Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu gagal mendapatkan undi percaya di DUN Perak, pemimpin PAN mula bersikap terbuka terhadap Umno.
Mereka bekerjasama dengan Umno untuk menjatuhkan menteri besar itu dan bersetuju dengan pelan DAP untuk membentuk kerajaan bersama Umno.
Bahkan, ada desas-desus formula Umno + PAN untuk membentuk kerajaan di Perak.
Pemimpin PAN Perak, Asmuni Awi juga dilaporkan oleh media, mendakwa beliau ditawarkan jawatan Menteri Besar Perak oleh Umno.
Persoalannya, di mana jati diri para pemimpin PAN yang dahulu begitu jijik dengan Umno, sekarang mahu bersekongkol pula?
Mungkin kerana sikap melampau mereka sebelum ini terhadap Umno, sehingga sanggup mengkhianati PAS, sekarang ludah yang mereka hemburkan bertaburan di muka sendiri.
Tidak mustahil para pemimpin PAN selepas ini akan menyertai Umno, sama ada melalui kerjasama politik PAN-Umno atau setidak-tidaknya apabila parti itu semakin malap dan hilang masa depan, pemimpin mereka pun mengisi borang Umno.
Perkembangan yang berlaku di Labuan sebelum ini dan Melaka yang terbaru, di mana ahli-ahli PAN telah menyertai Umno mungkin akan merebak kepada para pemimpin mereka pula.
Dahulu bermati-mati mereka melawan Umno sehingga sanggup tubuhkan parti baru, tiba-tiba ahli-ahli PAN di Labuan dan Melaka menyertai Umno.
Ironi bukan?
Tetapi itulah hakikat sejarah, yang kuat memaki-hamun Umno sehingga mengabaikan dasar dakwah Islam, akhirnya akan menghabiskan usia tuanya bersama Umno.
Saya tidak sabar melihat Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar, Mujahid Yusof, Hatta Ramli, Dzulkifly Ahmad dan lain-lain mengisi borang Umno pula dalam melanjutkan perjalanan politik mereka!
Mohd Fadli Ghani