Aus, Khazraj, Yahudi Dan Munafik

Aus, Khazraj, Yahudi Dan Munafik

Tentu ramai antara kita mengetahui sedikit sebanyak sirah Nabi kita.

Apabila menyebut bab berkenaan sirah Nabi, pastinya tidak akan lari daripada kita semua menyentuh berkenaan Aus dan Khazraj.

Mereka adalah dua puak yang tinggal di Madinah yang berperang semenjak ratusan tahun.

Dendam mendendami antara satu sama lain.

Perang antara mereka akan mengakibatkan kemusnahan, berbunuhan.

Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk membalas dendam apabila puak mereka diserang.

Dan semua perang mereka adalah berdasarkan asyobiyyah yang membuta tuli.

Bukan kerana Allah.

Tentu sahaja, kerana mereka bukan lagi Islam ketika itu.

Setelah datangnya Rasulullah ke Madinah, mereka sebagaimana yang diceritakan oleh Allah daripada berada di tepi jurang neraka, mendapat rahmat Allah setelah mereka menjadikan Rasulullah sebagai ikutan mereka.

Mereka menjadikan Muhajirin Mekah sebagai saudara-saudara baharu mereka, berkongsi segala apa yang mampu mereka kongsikan.

Keharmonian mereka berlangsung dengan baik semenjak itu.

Sehinggalah suatu hari terjadi peristiwa yang hampir mengakibatkan kembalinya perang sesama mereka.

Ia dimulakan oleh seorang Yahudi yang mengungkit-ngungkit kembali kekalahan Aus kepada Khazraj dalam Perang Bu’ats.

Hampir sahaja mereka memulakan perang kerana hasutan itu yang turut ditambah rempah ratusnya oleh golongan munafik.

Rasulullah berjaya meleraikan api permusuhan yang ada dalam diri mereka, ditiupkan oleh golongan musuh.

Yahudi membenci Islam kerana Nabi yang membawa agama terakhir, bukan dari kalangan Bani Israel.

Manakala munafik pula berdengki kerana sepatutnya Abdullah bin Ubai yang diangkat menjadi pemimpin Madinah, terpaksa memberi laluan kepada Rasulullah.

Masing-masing ada kepentingan mereka sendiri dalam berperanan.

Semenjak dahulu, begitulah cara Islam dirosakkan.

Mereka dipisah, dijuzuk, dicerai-beraikan, dikecilkan, supaya mudah bagi mereka mengalahkan kita.

British mengamalkan sistem pecah dan perintah dengan memusnahkan Khalifah Islam di Turki.

Hasilnya umat Islam menjadi seperti anak ayam kehilangan ibu.

Kemudian negara-negara Islam lain, tidak bersepakat kerana menganggap mereka kuat bersendirian, walaupun banyak cubaan telah dibuat ulamak.

Dan pastinya juga kerana British menghalang sistem khalifah.

Kemudian bercakaran pula sesama mereka dalam negeri sendiri.

Hilang lenyap kesatuan.

Sehingga kini, kita masih berpecah.

Kita berpecah kerana banyak sebab sehinggakan bolasepak juga boleh menjadi titik pecah kesatuan kita.

Dan politik serta agama menduduki carta teratas sebab-sebab kita menjadi berpuak sesama kita.

Kita gagal menggunakan politik bagi kepentingan umat.

Kita tidak berjaya menyatukan agama kerana masing-masing memegang fatwa masing-masing.

Seperti tiada ruang bagi toleransi.

Akhirnya akan menuding jari sesama kita, akulah yang betul, kamu ke neraka.

Dalam konteks Malaysia, PAS dan Umno, telah lama berantakan.

Sehingga kini tidak sedikit parut luka yang kekal dalam minda semua ahli yang mengalaminya.

Ia berkenaan politik yang perlu ditangani.

Umno menuruti sistem British dan PAS meyakini Islam sebagai asas kepada pembinaan negara, bagi mencari redha Allah.

Setelah puluhan tahun berkelahi, pernah sekali berbaik, tetapi tidak menjadi, kini Allah takdirkan keduanya bertaut kembali.

Setelah banyak tangisan yang mengalir, tidak mempercayai menyaksikan akan salaman tangan pemimpin atasan, rakyat semakin yakin dengan mahabbah ini.

Tetapi ada mata yang dengki dengan tautan ini.

Ada hati yang benci yang mahu ia diputuskan.

Ada mulut yang menabur fitnah, ada tangan yang cuba menghalang.

PAS dan Umno kini menghadapi beberapa siri situasi bergolak.

Tidak kurang ada di dalam Umno yang berpecah fikiran bagaimana mahu membentuk politik acuan Umno.

Ada yang tidak setuju, ada yang setuju, ada yang mendiamkan diri, ada yang marahkan Bersatu dan ada juga menuding jari ke arah PAS.

Situasi ini tidak ada banyak bezanya dengan peristiwa perbalahan umat Islam yang lain.

Ada penghasutnya, ada pendengkinya yang berkepentingan dan ada pemusnahnya.

Dalam PAS juga mesti diperhatikan watak-watak ini.

Begitulah bukti bahawa kesatuan Islam adalah sesuatu yang mengerikan musuh Islam, tidak kira mereka kafir atau munafik yang bertopengkan Islam.

Mereka tahu jika Islam disatukan atas agama, tiada harapan bagi mereka lagi.

Oleh itu, mereka sanggup dengan muka tidak malu, mahu kembali memeluk Umno yang pernah mereka menjadikan musuh sejahat-jahat musuh semata-mata mahu menggagalkan penyatuan.

Ketika PAS mahu berbaik, mereka cipta fitnah takut Islam bersatu.

Apabila mereka ingin mendapatkan kuasa, mereka memujuk Umno pula.

Inilah perjuangan mereka.

Sekadar peringatan kepada pimpinan Umno yang hanya reti membaca tajuk berita, tetapi tidak reti membaca dan memahami isi berita, supaya menyiasat betul-betul kandungan berita sebelum membuat sebarang kenyataan rasmi.

Anda adalah pimpinan parti, dan bukannya bertaraf ‘prebet’.

Atau anda juga dari kalangan mereka yang mahu memusnahkan persahabatan ini?

Malah dalam PAS juga sekarang, galak menikam sesama sendiri.

Tidak sukar, ia ada terpapar dalam media sosial.

Silalah menontonnya.

Pimpinan PAS tetap matang menangani isu ini.

PAS hanya mahu mendamaikan umat Islam.

Jelas itu maksud PAS.

Alhamdulillah ketiga-tiga parti telah menunjukkan signal positif bagi PN untuk terus mengemudi Perak.

Semoga ikatan ini kekal selama-lamanya, mengecewakan harapan musuh Islam.

Hidup ini sememangnya amat bermakna tanpa kehadiran DAP dan kuncu-kuncunya.

Mohd Nasir Abdullah
8 Disember 2020

Isu Semasa