Hanya Tukar Menteri Besar, Berselerak Yang Besar

Hanya Tukar Menteri Besar, Berselerak Yang Besar

Kita hanya tukar Menteri Besar, bukan tukar Kerajaan.

Allahu hanya 3-5 bulan sahaja pilihan raya besar akan berlaku.

Pemimpin kita tidak berjiwa besar.

Besar harapan rakyat terkisar dengan pemimpin main kasar.

Besar sungguh lagakmu mahu ditabal menjadi abang besar…

Hakikatnya gusar dan bebal.

Nak tukar Menteri Besar, Perikatan Nasional hampir terbatal, Muafakat Nasional hampir berkecai.

Berseleraklah yang besar.

Aku tidak kisah siapa Menteri Besar, yang aku kisah adalah kesan politik masa hadapan untuk kau wariskan kepada generasi seperti aku.

Aku diajar menanam, kau amanahkan aku menjaga pokok, membaja, menyiram.

Katanya engkau nanti pokok segar, buahnya besar maka seronoklah aku dengan harapan menggunung yang kau berikan.

Rupa-rupanya kau tidak memberikan aku pokok berbuah namun pokok beracun.

Ku ingatkan kelapa, rupa-rupanya pokok Ipoh berbisa.

Cis orang tua…

Kau tukar Menteri Besar, bertukarlah minat rakyat.

Kau tukar Menteri Besar, bertukarlah hormat pada pemimpin.

Kau tukar Menteri Besar, bertukarlah taat sembah

Kau tukar Menteri Besar, bertukarlah semangat pejuang

Kau tukar Menteri Besar, bertukarlah mandat rakyat

Kau tukar Menteri Besar, bertukarlah laknat janji

Kau tukar Menteri Besar, bertukarlah khianat sumpah

Kau tukar Menteri Besar, bertukar azimat setia

Ya, mudahnya kau inginkan orang berundur, kau juga tampak kebulur

Perikatan dan Muafakat akhirnya kabur

Parti keramat akan kebulur

Angkara sifat tamak yang membujur.

Maafkanlah aku jika agak terkasar kerana lama aku melihat kau bergurau kasar tidak sabar untuk menjadi abang besar selepas 22 bulan diserang angau dan sasau.

Oh nak darjat ya?

Rakyat akan sumpah kau menjadi parang berkarat, bangkai berulat.

Aku tidak mahu bersubahat, aku bukan hebat, aku percaya rakyat sedang bersumpah laknat angkara khianat dan bermain dengan mandat.

Aku benci pada balaci-balaci yang sedang persembah sakti, kononnya mahu menjaga parti, sayang pertiwi, ini perjuangan suci.

Wah, kemari-kemari, ayuh dekati…. Puiiiiiiii.

Anak bangsamu sendiri akan meludah dan kencing atas pusaramu nanti, atas ketamakan pangkat duniawi kau bersumpah dan kau khianati.

Kau bercadang untuk usul percaya, kau juga yang berdusta.

Ku harapkan kau juga akan mendapat karma yang sama.

Rakyat hilang percaya kepada pemimpin bertopeng dan bertalam dua muka.

Kau musang berbulu ayam yang bakal ditangkap dalam reban yang penuh tahi.

Pilihanraya akan muncul nanti…..

Hilang Hormat, Pemimpin Kesumat.

Wan Mahussin Wan Zain

Isu Semasa