Orang UMNO pasti tidak berminat membaca sehingga penutup artikel ini kerana mereka beranggapan saya cuba mengajak Melayu untuk menyertai parti Bersatu.
Tidak mengapa.
Biarkan rakan-rakan UMNO yang tidak mahu menerima hakikat bahawa UMNO tidak akan menerajui kepimpinan negara buat seketika paling kurang satu penggal lagi.
Tindakan segelintir pemimpin dan ahli UMNO yang memperkecilkan peranan parti Bersatu hanya kerana parti itu memenangi 13 kerusi dalam pilihanraya lalu satu kesilapan besar.
Ini kerana tiga parti iaitu UMNO, Bersatu dan PAS saling memerlukan demi kelangsungan orang Melayu untuk kekal memegang kuasa pemerintahan.
Muafakat Nasional menggabungkan UMNO dengan PAS merupakan satu titik penyatuan orang Melayu di negara kita.
Tetapi Muafakat Nasional hanya sekadar satu piagam yang dimeterai membabitkan UMNO dan PAS.
Berbeza dengan Perikatan Nasional kerana ia sebuah parti politik yang didaftarkan dengan ROS.
Justeru pemimpin UMNO perlu tahu bahawa sekiranya UMNO tak meneruskan kerjasama dengan Bersatu. UMNO akan kehilangan PAS kerana PAS ahli Perikatan Nasional bersama Bersatu.
Persoalannya, mampukah Umno BN bangkit bersendirian tanpa PAS dan Bersatu?
Ya, UMNO/BN mampu bangkit semula hanya sekiranya peratusan undi kaum Cina kembali kepada BN melebihi 20% sokongan.
Sekiranya UMNO/BN belum berjaya perolehi sokongan kaum Cina lebih 20%, maaf cakap sukar bagi UMNO/BN untuk kembali berkuasa secara sendirian.
Jumlah kerusi UMNO/BN adalah lebih banyak berbanding kerusi Bersatu?
Ya, Bersatu asalnya hanya memiliki 13 kerusi sahaja.
Namun, faktor jumlah kerusi Bersatu lebih kecil berbanding Umno tidak lagi boleh digunapakai kerana kini Bersatu menguasai kerajaan.
Apabila UMNO/BN kekal bekerjasama dengan Bersatu maka kekuatan yang dimiliki Bersatu iaitu jentera kerajaan akan digunakan untuk membantu kemenangan UMNO/BN.
Dan sekiranya UMNO/BN memilih untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pasti aset yang dimiliki oleh Bersatu digerakkan untuk lawan UMNO/BN.
Selain itu, jika UMNO/BN berpendirian untuk menghentikan sebarang kerjasama dengan parti Bersatu maka UMNO/BN kehilangan PAS kerana parti PAS merupakan ahli Perikatan Nasional.
Misal kata, BN bertembung dengan PN dan PH, sokongan PAS kepada BN atau PN?
Jawabnya, PAS pasti menyokong PN kerana mereka adalah ahli dalam PN.
Cuba fikirkan sejenak dengan sokongan dan jentera PAS ditambah kekuatan Bersatu yang menguasai kerajaan.
Adakah peluang UMNO kembali memenangi 55 kerusi seperti mana PRU14 yang lalu?
Jawapannya, peluang untuk UMNO kekal di 55 kerusi amat tipis sebaliknya UMNO bakal kehilangan lebih banyak kerusi.
Oleh itu, memutuskan kerjasama dengan PN iaitu Bersatu bakal mengukuhkan kedudukan parti Bersatu di kalangan orang Melayu.
Saya percaya, Bersatu tidak ke mana selepas era Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana dalam Bersatu tiada pemimpin yang mampu untuk mengukuhkan parti Bersatu.
Saya merasakan tidak mustahil Bersatu akan terbubar sendirinya dan kesemua menyertai UMNO sepertimana parti Semangat 46.
Kesimpulan, UMNO, Bersatu dan PAS saling memerlukan satu sama lain kerana melalui penyatuan dan kerjasama ini sahaja peluang Melayu majoriti memimpin kerajaan dengan jumlah 147 kerusi sangat tinggi.
Inilah adalah perkara yang amat ditakuti oleh PH-DAP tetapi tidak ramai pemimpin dan ahli UMNO/BN menyedari hakikat ini.
P/S: “Keep your friends close, keep your enemy closer”.
Dato’ Shahrul Nasrun Dato’ Kamaruddin
Exco Pemuda Umno Malaysia