Macam tak percaya UMNO, teras cengal politik Melayu ada ura-ura ingin membentuk jajaran politik baru bersama DAP dan PKR.
Suara dan gerak-geri bukan lagi sekadar bersimpang-siur di sebalik tabir.
Kini kemahuan dilontarkan dengan tidak lagi berlapik oleh beberapa orang pemimpin UMNO.
Sebelum ini melalui media.
Kini melalui Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, telah kedengaran suara-suara sumbang.
Mat Said di Terengganu, Tengku Razaleigh di Kelantan; dengan PAS diajak berperang.
Bersediakah akar umbi UMNO menerima perjuangan DAP?
Dalam kalangan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pun ada pelbagai versi.
Ini adalah indikator bahawa jajaran baru yang diusahakan oleh kluster mahkamah dan agen-agennya boleh mengundang padah.
Kes-kes mahkamah adalah malapetaka besar bagi golongan elit politik.
Namun wajarkah dasar dan citra politik bangsa dirungkai semata-mata untuk menyelamatkan beberapa kerat pemimpin?
Persoalannya; sekiranya seseorang pemimpin itu didapati bersalah oleh mahkamah atas kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa, wajarkah didokongi, dipertahankan dan dijemput kembali ke tampuk kuasa?
Apakah ini ajaran dari kitab suci?
UMNO pernah geger apabila kes mahkamah Lim Guan Eng digugurkan.
Najib sendiri riuh macam ayam bertelor apabila sekecil kes kuarantin Menteri Perusahaan Perladangan dan Komodi lambat diambil tindakan.
Takkanlah kes wang berbillion dihamparkan permaidani merah?
Ketua-ketua Bahagian UMNO boleh memanipulasikan suara akar umbi konon jajaran baru bersama DAP perlu diusahakan.
Benarkah suara beberapa Bahagian UMNO itu suara akar umbi?
Apakah Ketua Bahagian tidak ada maksud dan hajat tersendiri?
Bukankah mereka fikir bahawa UMNO akan bekuasa semula?
Di situ ghanimah akan menunggu sesiapa yang taat tahap mencium bulu di lengan.
Bolehlah kata DAP tidak dilibatkan dalam kabinet.
Bodoh sangatkah DAP, sebuah parti yang rasis dan chauvanis?
Mentaliti Malaysian Malaysia nak letak ke mana?
Tergugatnya JAKIM dan Tabung Haji.
Ditentang tulisan Jawi dinaikkan tulisan Cina?
Peruntukan berjuta-juta ke institusi dan sekolah swasta Cina.
Pemilikan tanah 999 tahun apa cerita?
Abu mayat Chin Peng dan ubah buku sejarah dengan komunis sudah dimaafkan belaka?
Lagipun boleh percayakah kepada watak-watak pembohong besar?
Apakah UMNO tidak mahu mengambil pengajaran daripada janji-janji DAP dan Lim Guan Eng?
Bukankah PAS pernah ditipu atas dasar bersetuju untuk tidak bersetuju?
Bukankah mereka pernah bersetuju PAS melaksanakan Islam?
Apabila mereka telah kuat, bukankah PAS yang ditendang?
UMNO nak rasa kena tendang ke?
Rakyat tidak boleh menyekat kemaruk UMNO untuk bersama DAP.
Bolehlah ahli UMNO nak cuba jajaran baru dengan alasan PAS pernah bersama dalam Pakatan Rakyat sepertimana justifikasi Fuad Zakarshi.
PAN yang tahu Islam pun boleh menjadi khadam, apa salahnya UMNO yang masih muda dengan dasar Islam setelah baru dipinda dalam perlembagaan.
PAS tak menghalang hajat sebahagian pemimpin UMNO.
Pergilah, kalau diungkit PAS pernah bersekongkol.
Tapi ingat; PAS berpegang kepada Piagam Muafakat Nasional.
Jika dilanggari sepertimana DAP pernah melanggari tahaluf siyasi, maka terbatallah MN.
PRU15 nanti Cina-Cina DAP pakatlah pangkah UMNO, Melayu-Melayu UMNO pakatlah pangkah Cina DAP. Adil kan?
Sebab PAS pernah buat.
Awal-awal lagi DAP dan PH sudah berjaya mengharubirukan UMNO.
Pecah dan perintah sudah ‘trending’.
Dengan satu suntikan vaksin beracun, UMNO lumpuh menunggu masa, MN roboh menunggu ketika.
Baru ura-ura pun UMNO sudah terbahagi kepada empat kelompok.
Ada yang nak terus bersama PAS dan PPBM.
Ada yang nak dengan PAS sahaja.
Ada yang nak dengan DAP dan PKR.
Dan ada yang nak kekal sahaja dengan Barisan Nasional.
Apakah Najib dan Zahid Hamidi tidak melihat kecelaruan yang boleh menjahanamkan UMNO ini?
Inilah yang dibangkitkan oleh Anuar Musa walaupun ketegasannya macam tak popular dalam Majlis Tertinggi UMNO.
PAS hanya tunggu dan lihat.
Itulah pedoman politik Tuan Guru dan Majlis Syura Ulama.
Selagi mana boleh diselamatkan, PAS akan mencubanya.
Selagi boleh dipaut, dipaut sebelum hanyut.
Hanya dengan perpaduan ummah, Islam akan terpelihara.
Itu pasti.
Agaknya 22 bulan amat singkat bagi UMNO meratapi sengsara angkara DAP.
Kain masih basah di pinggang.
Dek silau mentari, rela kain secebis hendak dibuang.
UMNO! UMNO! Hinanya motif di sebalik jajaran.