Sesungguhnya Allah SWT Sedang Menguji Saya, Bukan Dia….

Sesungguhnya Allah SWT Sedang Menguji Saya, Bukan Dia….

Allah menguji kita melalui pelbagai cara.

Sedar atau tidak, susah atau senang kita dalam hidup ini adalah medan ujian.

Semua ujian adalah tarbiyah Allah untuk memberi kita pahala atas kesabaran dan kebaikan yang dilahirkan daripada setiap ujian.

Saya melaluinya setiap hari sama seperti orang lain.

Saya kongsikan kisah hari ini sebagai pedoman dan teladan, untuk kita ambil iktibar daripadanya.

Helaian kertas buku sekolah, berdakwat biru menjadi sepucuk surat dari Kakak ‘A’ , ditulis dengan bantuan ‘kedai tulis surat’ kepada Menteri Besar Kedah memohon bantuan membeli payung dan meja untuk memulakan perniagaan menjual ikan temenung.

Kakak A pernah membantu pasangannya menjual ayam di kampung.

Kerana masalah yang tidak dapat diselesaikan antara mereka, payung, meja dan takung pun terlepas dari tangannya.

Kakak A ada mencatatkan nombor telefon di hujung helaian surat itu.

‘Emir, apa kata kalau kita cuba call kakak ni?’

Saya sebut kepada Penolong SU Sulit yang sedang menghulurkan sebeban surat-surat baru untuk saya minitkan satu persatu.

‘Boleh juga bos’, jawab Emir ringkas.

Tiga kali dail tidak berjawab.

Kali keempat panggilan saya dijawab.

‘Assalamualaikum kak, saya ‘Jamil’ dari Pejabat MB Kedah.

‘MB minta saya call untuk bertanya lebih lanjut tentang surat kak ni.’

Perbualan pun bermula dengan loud speaker supaya Emir juga dapat mendengar.

Lama juga berbual dan bertanya, dia berterus terang, telus dan polos.

Samaran ‘Jamil’ menjadikan kakak A tidak segan untuk bercerita.

Kisah perjalanan rumahtangga, suami, mertua, nafkah, berpisah tergantung dan anak-anak 6 orang.

Saya dan Emir sebak terkedu bila dia mula menangis sambil bercerita, dan saya tak dapat bertanya lagi.

Kami terus mendengar.

Suara saya melekat di lorong kerongkong yang terjerut hiba.

Saya nampak mata Emir juga merah menakung air mata.

Dalam kesusahannya itu, dia masih mampu membantu orang lain.

Dia sedang berada di Jabatan Pendafaran Negara (JPN) menguruskan daftar kematian mertua rakannya yang tinggal tidak jauh dari rumahnya.

Kami kagum dengan kemurahan hatinya.

‘Kak, pasai kak dah ada dekat dah, MB suruh kak mai terus ke opis kami sebaik selesai di JPN satgi, boleh dak? tanya Jamil.

‘Buleh encik buleh, satgi saya pi’, jawab Kak A dalam nada lega.

Sewaktu makan tengahari panggilan dari pondok pengawal masuk.

‘Hello, En Jamil dari pejabat MB ka ni?

Ada dua orang mai nak minta jumpa, depa bagitau En Jamil suruh mai.

Nak kami hantar ke Pejabat MB ka?’

‘Ya ya. Minta depa tunggu sat di ruang reception, lepas makan nanti saya jumpa depa’.

Nampaknya nombor telefon saya tadi menjadi passport Kakak A di pondok pengawal.

Perjalanan kehidupan berkeluarga beliau kurang bernasib baik, terpisah tapi tergantung.

Dia membawa 6 orang anak keluar dari rumah, balik berkongsi rumah pusaka ibu dengan adiknya yang masih bujang.

Rumah itu dibelah dua, bahagian depan didiami saudaranya yang sudah berkeluarga.

Dia dan adiknya berkongsi di bahagian belakang.

Suaminya pula memilih untuk tinggal bersama ibu dan saudara maranya di kampung lain, datang menjenguk anak-anak sekali sekala.

Dialah ibu dialah ayah, tertekan terhimpit, tapi terus berjuang untuk anak-anaknya.

Tergantung, pasrah dan nekad untuk meneruskan hidup bersama anak-anak di sisi.

Kesusahan yang sedang dia tempuhi bagai gunung menghempap kepala.

Kegigihan seorang ibu yang menewaskan ketabahan seorang suami.

Hidupnya hanya untuk anak-anak.

Kisah lanjut tentang rumah tangga mereka yang berliku-liku, saya dengar dan saya simpan, tanpa prejudis, tanpa hukuman.

Mungkin ada lagi kisah disebalik ujian ini yang tidak diceritakan kepada saya.

Iktibar…

Kepada para suami dan ayah, tunaikankanlah tanggungjawab kita sebagai ketua keluarga.

Setiap tanggungjawab menafkahkan keluarga yang kita letakkan dibahu apabila bergelar suami dan ayah adalah kewajipan yang akan dihisab.

Kita yang menerimanya, bersekali dengan akad yang kita lafazkan dalam genggaman tangan tok imam.

Tiada siapapun yang memaksa, kita yang memilihnya.

Apa saja langkah yang kita pilih sepanjang hidup ini akan memberi kesan kepada isteri dan anak-anak.

Fikir dan pertimbangkan sedalam-dalamnya.

Kembalilah kepada aturan Allah swt, sebaik-baik jalan yang terbentang di depan kita.

Carilah penyelesaian, jangan biarkan uncang bekalan ke syurga kita terkoyak, tumpah berselerak begitu saja.

‘Kakak ni kah yang saya call tadi? Saya Jamil’.

Saya perkenalkan diri sambil duduk di kerusi sebelah.

Dia memang tidak kenal saya dan dia sambung cerita lagi sambil mengucapkan terima kasih kerana menjemputnya datang ke pejabat.

Lama juga dia mengkisahkan hidup dan anak-anak dalam juraian air mata.

Hening jadinya kakitangan pejabat di bahagian menyambut tetamu.

Tapak untuk berniaga di pekan Changlon telah ditawarkan oleh seorang rakan yang sudi membantu.

Sebuah kereta proton buruk pusaka ayahnya menjadi gerai jualan ikan temenung di tepi jalan sebelum ini.

‘Bandaran minta saya meniaga di pekan nat, jadi saya kena ada meja dan payung.

‘Juai ikan dalam bonet kereta tepi jalan tak buleh dah.

‘Dapat payung dan meja nanti, saya akan bawa anak-anak saya meniaga di pekan Changlon.

‘Saya ambik ikan Kola Kerpan sekilo RM3.50, saya boleh juai RM6.00 sekilo.

‘Tolak modai ketul ais dan minyak kereta, saya buleh dapat RM1.50 sekilo.

‘Sehari buleh juai 20 kilo tak paa dah.’

Sepatah demi sepatah kakak A mengkisahkan rancangan pernaigaannya.

Saya ‘terhiris’ sepotong demi sepotong, dibalut kenangan lama kisah keluarga saya sendiri.

Alangkah bernasib baik saya dan Emir yang membuat panggilan telefon, dan menjemput dia hadir ke pejabat.

Sesungguhnya Allah swt sedang menguji saya, bukan dia….

Saya terhempap batuan gunung sekali lagi apabila bertanya tentang rakan yang dibantu ke JPN, hadir juga bersamanya.

Diam, sugul dan kosong duduk menunduk di sebelah kakak A.

Ketika kakak A berjurai air mata, dia menggosong bahu menenangkan.

Dia terpaksa datang dengan motosikal mendaftarkan kematian ibu mertuanya di JPN, suami pula sedang menjalani humuman ‘di dalam’.

Kakak A menawarkan diri meneman, membonceng motosikal.

Asalnya nak datang dengan kereta ‘proton buruk’ saya (kakak A yang gambarkan begitu), tapi tayarnya pecah pula.

‘Kak, kalau tak keberatan, bolehkan bagitau saya pasai apa suami kak kena hukum dok dalam?’ saya cuba bertanya.

‘Pasai ‘kesalahan tu’ lah encik, apa lagi.’

Suaranya perlahan sangat, matanya menyimpan rasa sedih dan sukar.

(Saya terbayangkan tentang dadah).

Anak kak ada berapa orang?

Anak tiga encik, saya jaga semua, mertua pula meninggal!…’

Hari sedih datang bertimpa-timpa.

Saya tahu ramai lagi para isteri ibu dan wanita di luar sana sedang berhadapan dengan ujian-ujian sukar seperti ini.

Alahaiii sang suami dan lelaki harapan keluarga, apakah yang sedang dan telah kalian jalani, meletak mereka dalam sangkar sesukar ini…

Ampunkan kami Ya Allah. Ampunkan para suami dan para lelaki.

Sesudah berkongsi sedikit rezeki untuk payung, meja, takung ikan, pakaian sekolah anak-anak dan modal untuk memulakan bisnes ikan temenung untuk mereka berdua, saya melangkah sambil melayang- layang untuk mempengerusikan mesyuarat MKN tentang langkah menghadapi pandemik covid19 di blok sebelah.

Semoga ikan temenung dari Kuala Kerpan dan pasar harian Changlun menjadi sumber rezeki yang berkat untuk mereka anak beranak.

Hiduplah kalian dengan anak-anak dengan rahmat belas ehsan Allah swt, yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Kaya, Maha Pemurah.

Semoga ada pahala dalam setiap ujian yang mereka tempuhi.

Doakan kami di sini, pra pemimpin dan pegawai dipermudahkan Allah swt membina negeri yang selamat untuk didiami, tempat berteduh orang miskin, tempat berbakti orang-orang berada.

Ya Allah, bukalah jalan yang mudah bagi kami menjayakan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.

Permudahkanlah Ya Allah bagi kami melunaskan kewajipan kami….

Amiiinnn!

Muhammad Sanusi Md Nor

Dalam Negeri