Disclaimer/Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana pemimpin atau mana-mana parti politik.
Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO mengatakan: Lebih 30 negara sudah mengadakan pilihan raya sepanjang pandemik Covid-19 dengan terakhir ialah pemilihan Presiden Amerika Syarikat yang diadakan dengan SOP ketat:
“Gunalah SOP baru dalam pilihan raya itu, kenapa takut nak buat PRU ketika pandemik Covid-19″, kata beliau.
https://www.utusan.com.my/…/kenapa-pru-15-perlu-segera…/ (3.1.2021)
Untuk menentukan kesahihan kenyataan Presiden UMNO, saya meneliti dua pautan ini:
https://www.worldometers.info/coronavirus/country/
Memang benar ada negara yang mengadakan pilihanraya umum pada masa Covid-19 dari bulan Januari ke bulan Disember 2020.
Dan memang benar juga Amerika membuat pemilihan Presiden pada 3.11.2021 ketika jumlah kes Covid-19 di sana berjumlah 9,746,969.
Tetapi, yang mengerunkan ialah dua bulan kemudian, kes Covid di Amerika telah meningkat ke 24,306,043.
Ditambah dengan jumlah kematian sebanyak 405,261 rasanya Amerika bukanlah satu contoh ikutan yang baik untuk Malaysia.
Setelah saya meneliti dengan lebih mendalam, saya dapati, kecuali Amerika, tidak ada negara lain yang berani mengadakan pilihanraya bilamana kes Covid telah melebihi angka 150,000, iaitu satu angka yang telah pun dicapai oleh Malaysia.
Sekiranya Malaysia mengadakan pilihanraya dalam keadaan angka Covid yang melebihi 150,000, ini bermakna Malaysia memang bodoh atau gila nak menempah maut.
Di bawah ini adalah bukti telahan saya.
Kalau negara-negara ini antara yang dimaksudkan oleh Dato’ Seri Ahmad Zahid, perbandingannya itu adalah tidak betul, kerana jumlah kes Covid-19 di Malaysia adalah jauh lebih tinggi.
Contoh, Myanmar mengadakan pilihanraya masa angka Covid 19 di sana 61,377.
Ini dikira tinggi tetapi masih jauh di bawah Malaysia.
No Negara Kes Covid
1 Serbia 12,894
2 Slovakia 0
3 M’sia/Sabah 10,769
4 Myanmar 61,377
5 Ghana 52,274
6 Sri Lanka 2,839
7 Belize 4,414
8 Hong Kong 4,878
9 Burkina Faso 2,735
10 Mali 1,059
11 Suriname 11
12 Trinidad & Tob. 281
13 Guyana 0
14 New Zealand 1,883
15 Bermuda 181
16 Tanzania 509
17 Vanuatu 1
Yang menyokong PRU Semasa Tempoh Penularan Covid:
Beberapa pemimpin politik menyokong saranan membuat PRU semasa penularan Covid seperti Ahmad Maslan.
“Ke pasar raya boleh, kenapa mengundi dengan SOP ketat tidak boleh?” – Ahmad Maslan. Madiha Abdullah – Januari 10, 2021 20:45 MYT https://www.astroawani.com/…/ke-pasar-raya-boleh-kenapa…
Walau bagaimanapun, kenyataan menyokong Nazri Aziz lebih berlapik dalam isu ini: “Kita minta PRU kalau boleh diadakan pada suku pertama, itu pun kita ambil kira berlapik… sekiranya Covid-19 sudah ditangani. https://malaysiagazette.com/…/umno-tidak-gila-mahu-pru…/ (9.1.2021)
Yang Menentang PRU Semasa Tempoh Penularan Covid: Dr Muhammad Fathi Yusof, Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) Universiti Teknologi Malaysia menyatakan dalam satu tulisan antara orang politik dan pakar kesihatan, tentunya yang lebih diyakini adalah pakar kesihatan.
Beliau ada memetik saranan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Hisham yang beberapa kali menyebut agar tidak diadakan pilihan raya dalam tempoh penularan wabak.
Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman mengetuai beberapa pakar kesihatan juga telah menyerahkan surat merayu kerajaan agar tidak mengadakan PRU dalam masa terdekat. https://harakahdaily.net/…/tidak-patut-pru-dalam…/ (9.1.2021)
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya kesal dengan sikap kepimpinan Umno dalam pentadbiran negara yang melemparkan gertakan ketika negara dilanda krisis Covid-19 menyebabkan rakyat menderita akibat tempias kewangan. https://www.hmetro.com.my/…/amanah-bidas-umno-mahu-pru…
Dr Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh terburu-buru dalam gesaannya meminta PRU15 diadakan ketika Covid-19 meningkat dan sudah meragut lebih 500 nyawa.
“Tindakan Zahid memaksa pilihan raya mengejut diadakan melanggar titah Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum ini agar ahli-ahli politik mengenepikan perbezaan dan bersama kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19,” kata penganalisis politik Melayu itu kepada MalaysiaNow. https://www.malaysianow.com/…/umno-langgar-titah-agong…/
Termasuk yang menentang PRU semasa Covid ini adalah bekas ketua pemuda UMNO sendiri, Khairy Jamaluddin yang membidas pihak yang mendesak pilihan raya umum (PRU15) disegerakan ketika negara belum mampu menangani pandemik Covid-19 sepenuhnya.
“Dan saya tahu antara yang minta PRU segera adalah mereka dari parti saya sendiri. Jangan pentingkan diri,” catatnya di Twitter. https://www.penangkini.com/…/khairy-bidas-ahli-umno…
Kesimpulannya:
Tanpa kecondongan kepada mana-mana pemimpin politik, dalam isu ini, saya melihat kemaslahatan rakyat dan keterbatasan kakitangan Kementerian Kesihatan yang semakin letih dan tertekan perlu diutamakan.
Janganlah dibebankan lagi para jururawat dan para doktor dengan jutaan kes Covid selepas PRU nanti.
Saya yakin rakyat akan menolak sesiapa sahaja yang bersungguh-sungguh mahu mendedahkan rakyat kepada risiko yang tinggi untuk dijangkiti Covid-19 ini.
Sebab itu PH tidak mendesak PRU diadakan semasa Covid-19 ini.
Mereka sudah belajar dari kesilapan mereka yang membenarkan PRN Sabah yang dibantah oleh rakyat, BN dan Kementerian Kesihatan yang membangkitkan kemarahan rakyat Sabah dan seterusnya menolak mereka.
Ironinya, mengapakah masih ada pemimpin UMNO yang sanggup mengambil risiko yang sama seperti kekalahan PH di Sabah?
Sedangkan UMNO jugalah yang menentang PRN atas alasan yang sama.
Perlu diingat, semasa PH ambil risiko politik di Sabah, jumlah kes Covid 19 ketika itu hanyalah 10,769 sedangkan sekarang ini jumlah telah melambung kepada 155,095 kes.
Ada berani ke?
Ingat, rakyat tidak pandai beretorik seperti pemimpin politik di media sosial tetapi jangan meletakkan mereka dalam risiko Covid ini kerana mereka akan marah dan tidak teragak-agak untuk tidak mengundi pemimpin sebegini.
Dr Muslim