Menarik juga membaca berita dua orang musuh ketat, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad melalui proksi beliau, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, telah atau akan memfailkan saman pemula bagi mencabar pengisytiharan Proklamasi Darurat.
Begitupun, lebih menarik lagi membaca keputusan penghakiman majoriti dan keputusan penghakiman minoriti yang dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Maria Chin Abdullah lwn. Ketua Pengarah Imigresen dan Menteri Dalam Negeri pada 8 Januari lalu.
Ia menarik kerana soalan utama yang dijawab di dalam kes ini ialah sama ada seksyen 59A Akta Imigresen 1959/63 yang mengharamkan kajian semula kehakiman bagi apa-apa tindakan atau apa-apa keputusan Menteri atau Ketua Pengarah adalah “valid and constitutional”.
Pengharaman kajian semula kehakiman di dalam seksyen 59A Akta Imigresen 1959/63 ini secara substantifnya adalah sama dengan pengharaman kajian semula kehakiman di dalam Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan mengenai pengisytiharan Proklamasi Darurat.
Hujah responden, seksyen 59A tidak “valid and constitutional” kerana kes Semenyih Jaya Sdn Bhd [2017] 3 MLJ 561 dan kes Indira Gandhi [2018] 1 MLJ 545 menegaskan balik prinsip “judicial power resides in the judiciary” yang tidak terkesan oleh pindaan perlembagaan.
Jika didasarkan kepada kedua-dua kes Semenyih Jaya Sdn Bhd dan kes Indira Gandhi ini maka, hujah responden, apa-apa “ouster clause” yang mengharamkan kajian semula kehakiman seperti seksyen 59A adalah tidak sah kerana ia pelanggaran kepada prinsip “judicial power”.
Begitupun, majoriti hakim, iaitu Tan Sri Rohana Binti Yusuf, Dato’ Abdul Rahman Bin Sebli, Dato’ Sri Hasnah Binti Dato’ Mohammed Hashim dan Dato’ Mary Lim Thiam Suan, memutuskan bahawa “ouster clause” seperti seksyen 59A adalah “valid and constitutional”.
Ini kerana, di dalam kata-kata, Dato’ Abdul Rahman, “The limitation of the court’s review power by section 59A of the Immigration Act falls squarely within the power of Parliament to legislate pursuant to the power conferred on it by Article 121(1) of the Federal Constitution…”.
Dato’ Mary Lim pula menulis, “I understand ouster clauses such as that presented in section 59A may be similarly found in no less than 100 other pieces of legislation and the effect of striking down such a clause or similar clauses will have far reaching consequences.”
Mengikut Datuk Nallini Pathmanathan, salah seorang hakim yang tidak bersetuju dengan penghakiman majoriti ini, keputusan ini membawa maksud:
d) Keputusan Eksekutif untuk melarang atau mengharamkan rakyat daripada mengembara keluar dari Malaysia tidak boleh diteliti atau disemak oleh mahkamah.
e) Undang-undang yang digunakan oleh Eksekutif untuk membuat keputusan itu juga adalah kebal daripada kajian semula kehakiman mengenai “its constitutionality”.
f) Bila seseorang dilarang daripada mengembara, dia tidak boleh melawan atau didengari atas isu mengapa larangan itu salah atau mengapa dia patut dibenarkan mengembara.
Berdasarkan penghakiman majoriti terbaru Mahkamah Persekutuan yang menyaksikan kekalahan Maria Chin ini, apakah teramat besar kemungkinannya bahawa cabaran ke atas pengisytiharan Proklamasi Darurat, walau atas apa asas sekalipun, tidak akan berjaya?