Pada 9 Mei 1994 Datuk Seri Anwar Ibrahim yang waktu itu adalah Timbalan Perdana Menteri telah membentangkan satu rang undang-undang di Parlimen bagi memasukkan Fasal (1A) ke dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.Fasal (1A) ini mewajibkan Yang di-Pertuan Agong untuk menerima dan bertindak mengikut nasihat bila-bila sahaja Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat atau selepas menimbangkan nasihat.
Di sebalik pelbagai kritikan ke atasnya, Fasal (1A) ini kemudiannya diluluskan oleh Ahli-Ahli Parlimen serta dimasukkan ke dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan melalui Akta A885, seksyen 4, berkuat kuasa dari 24 Jun 1994.
Maha Besar Allah, kini Datuk Seri Anwar Ibrahim inilah yang merayu Yang di-Pertuan Agong supaya menyemak balik nasihat Perdana Menteri yang didakwa “tidak munasabah” dan “tidak cukup kuat” serta membatalkan Proklamasi Darurat.
Begitulah juga pada 9 April 1981 Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Timbalan Perdana Menteri telah membentangkan satu rang undang-undang di Parlimen bagi memasukkan Fasal (8) ke dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
Fasal (8) ini menjadikan Proklamasi Darurat tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan serta menjadikan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas kesahan Proklamasi dan Ordinan Darurat.
Di sebalik pelbagai kritikan ke atasnya, Fasal (8) ini kemudiannya diluluskan oleh Ahli-Ahli Parlimen serta dimasukkan ke dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan melalui Akta A514, seksyen 15, berkuat kuasa dari 15 Mei 1981.
Maha Besar Allah, kini Tun Dr Mahathir Mohamad inilah yang melalui orang-orang kuat beliau sedang berusaha membawa Proklamasi dan Ordinan Darurat ke mahkamah supaya diisytiharkan sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Senario begini membuatkan saya tertanya-tanya:
Menyesalkah agaknya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad di atas tindakan mereka membentangkan rang undang-undang yang kini sedang menghantui diri mereka?
Ingatlah selalu: Apa yang kamu tanam itulah yang kamu tuai (You reap what you sow)!
Dr Kamarul Zaman Yusoff, UUM.