Dulu sekitar tahun 90-an bila ada orang tua-tua bercerita tentang kisah ditahun 60-an, 30 tahun sebelum itu, kita akan rasa ia terlalu lama, terlalu jauh.
Cerita-cerita perihal duit belanja sebanyak lima sen sudah cukup untuk dibawa ke sekolah, seperti tidak masuk di akal.
Kesusahan mereka untuk bergerak ke sana, ke mari, tidak dapat kita rasakan.
Kawasan-kawasan mereka tunjuk, yang sudah berubah kerana ditelan pembangunan, kita hanya melopong mendengarnya.
Jarang yang mempunyai kamera, dan mereka yang ada pula, kalangan bangsawan.
Sungai yang bagi kita biasa-biasa kini, dahulu kata mereka, adalah jernih dan menyamankan.
Kita tidak dapat membayangkan dengan sebaiknya.
Pekan kecil, yang sewaktu zaman kita, telah menjadi bandar, dulunya sunyi sepi kata mereka.
Yang ada TV dan radio amat sedikit.
Yang ada kereta dan telefon, tiada bilangannya.
Hanya yang kaya sahaja memilikinya.
Kita melihat mereka yang bercerita itu berumur 40 tahun ke atas dan kita merasakan mereka amat tua. Tua renta.
Terlalu jauh beza umur dengan kita.
Sewenang-wenangnya mereka kita panggil pakcik atau makcik.
Namun kita tetap menghormati mereka walau tidak mengenali kerana adab dan akhlak kita masih dijaga.
Kita jauh meninggalkan mereka dalam bidang teknologi. Kita pandai dalam banyak perkara moden.
Sekarang jika kita pula bercerita tentang hal yang sama pada tahun 80 dan 90-an dan kita dapati anak muda sekarang sukar untuk mempercayainya, kecuali jika ada gambar.
Kita katakan dahulu tambang bas 20 sen sahaja bagi beberapa destinasi, mungkin mereka hanya menjuihkan bibir mereka.
Bekal wang saku ke sekolah mungkin 50 sen sudah mencukupi dengan mi 30 sen dan air 20 sen, akan menambahkan lagi kerutan di dahi mereka.
RM1 adalah dikira mewah.
Sungai yang kini ibarat longkang dengan warna dan baunya, dahulu adalah sungai yang kita rasakan biasa-biasa sewaktu kita kanak-kanak itu.
Kita merasakan 30 tahun lalu amat pantas berlalu, baharu sekejap, masih terbayang-bayang segalanya dalam ingatan walaupun sudah dirobohkan atau ditimbus atau dibina sesuatu yang baharu.
Ia melekat, melekit dalam ingatan.
Telaga yang dahulu pernah celik menjadi tempat kita menjiruskan badan, kini sudah menjadi buta.
Rumah yang pernah kita diami, usang, menanti masa rebah ke bumi, menjadi tugu kenangan.
Dapur yang berasap samada dengan kayu api atau tempurung.
Wakaf tempat kita berkumpul, kini tinggal puing sahaja, sepi tanpa pengunjung.
Ada harta yang menjadi rebutan waris sehingga berkelahi, ada pula yang tidak diendahkan langsung kerana sudah kaya, tiada punya masa untuk menguruskannya.
Rupanya kaya yang kita kejar dahulu, hanya menjadi bahan buangan waris selepas kita mati.
Konon bagi menjamin rezeki mereka di masa depan, sebaliknya mereka pula jauh lebih kaya daripada kita.
Tetapi ironinya, sehingga kini, kita merasakan kita masih muda pada umur 40-an, 50-an.
Masih rasa bertenaga.
Mungkin atas alasan itu, umur persaraan mahu dilanjutkan bagi pekerja? Entahlah.
Kita merasa kurang senang jika ada orang muda, apatah bagi lelaki jika ada gadis-gadis memanggil kita pakcik.
Terkadang kita marah.
Lupa bagaimana pandangan kita terhadap orang yang seusia kita dahulu.
Kita yakin boleh bersaing dengan lapisan muda dalam hal teknologi kerana kita juga mempunyai asas teknologi, malah pada zaman kitalah berbagai teknologi diperkenalkan.
Menambahkan lagi lupa kita kepada Allah.
Segalanya masih baru bagi kita.
Tidak terasa alam remaja dan muda sudah lama meninggalkan kita.
Sememangnya masa berlalu pantas, amat pantas.
Kita masih leka.
Lalu sering mengharapkan dosa kita diampunkan sang Gusti, sambil kita melayan angan-angan kita yang panjang itu, sepanjangnya umur kita.
Kita masih berharap untuk hidup lebih lama, kaya, sihat.
Kita tidak berusaha menambah pahala.
Atau jika kita lakukan pahala, ilmunya entah dari mana.
Kita percaya, kita akan dimaafkan Allah.
Kita insaf sebentar sewaktu menghantar jenazah rakan kita ke kubur.
Tetapi adakalanya, kita masih tertawa di tepi liang lahad, bergurau senda, bertemu rakan lama.
‘Mini Reunion’ di tepi makam saudara kita.
Seperti kita tidak akan masuk ke dalamnya.
Yang menukil ini juga tidak terlepas dari segala ini.
Bukanlah yang menulis ini lebih baik daripada yang membaca.
Ia sekadar coretan ingatan buat kita semua.
Adalah anda mencari isi politik untuk menjadi sindiran?
Maaf tulisan ini tiada inti politik.
Kosong politik, sekosong karipap yang dijual sekarang, berintikan oksigen.
Lain kali insyaAllah, kita isikan dengan politik.
Ia sekadar tulisan peringatan diri.
Mohd Nasir Abdullah
25 Januari 2021