Aku Tak Ceramah Lagi, Beruk!

Aku Tak Ceramah Lagi, Beruk!

Pada suatu hari dalam tahun 2002, saya bersantai dengan Almarhum Ustaz Yazid Jaafar aka Pak Yazid, pendakwah terkenal di Kuala Lumpur.

Kami berborak sambil minum di satu warung tidak jauh dari rumah beliau di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

“Enta nak makan apa? Sini semua masakan Minang,” tanya Pak Yazid pada saya.

“Saya semua boleh Ustaz. Saya ambil perut lembu ni lah,” jawab saya sambil mengambil perut lembut yang diisi padat dengan tauhu dan digulai lemak pedas berwarna kuning.

Saya tidak tahu apa nama masakan ini.

Sepanjang enam tahun saya di Riau dan Padang, tidak pernah saya makan masakan ini.

Kami pun mula berborak macam-macam cerita.

Saya mengintai-ngintai Asri, anak Pak Yazid untuk diajak makan bersama.

Tapi dia tak muncul pada tengah hari itu.

“Mana Asri, Ustaz?” saya mula bertanya.

“Entah,” ringkas sahaja jawapan Ustaz.

Dia sendiri pun tidak tahu Asri ke mana.

Saya biasanya mengunjungi Pak Yazid di rumahnya bersama Almarhum Ustaz Hassan Shukri.

Kadang-kadang saya minum dengan Pak Yazid bersama Ustaz Dr Ustaz Riduan Mohd Nor di Restoran Thaqwa di Taman Melewar.

Tapi kali kali ini saya bersendiri.

Jadi hanya kami berdua di gerai makan Minang itu.

Tengah-tengah rancak Pak Yazid bercerita pengalaman dakwahnya sejak dari dalam Force 136 sehingga beliau aktif brrsama PAS sejak 1956, tiba-tiba Pak Yazid menyebut, “Ana pergi berdakwah di Kelantan sebelum merdeka dulu.

“Masa tu PAS belum kuat lagi.

“Orang kampung pun belum suka kat PAS lagi.

“Banyak orang yang masih jahil,” cerakin Pak Yazid tentang kisah dakwahnya di Kelantan.

“Ustaz berdakwah kat mana tu? Bukan ke orang Kelantan ni alim-alim dan sukakan agama,” saya cuba mencari kepastian.

“Tu kat Kota Bharu. Memang banyak orang alim. Tok Kenali ada. (Mufti) Haji Wan Musa ada. Ramailah orang alim kat sana. Tapi tempat Aku pergi ni belah hulu. Kuala Kerai nun,” jelas Pak Yazid pada saya.

“Siapa yang hantar Ustaz gi ceramah dalam hutan tu,” tanya saya sambil gelak.

“Dulu, masa PAS baru masuk ke Kelantan, PAS mana ada pengaruh lagi.

“Paling jauh pun Machang je.

“Sebab situ ada Haji Nor (Yusof) Machang, orang kuat PAS.

“Tempat lain belah hulu mana ada PAS.

“Jadi PAS hantar Ana pergi ceramah kat sana,” terang Pak Yazid lagi.

“Kenapa dia orang pilih Ustaz. Kenapa tak suruh orang Kelantan?” saya terus bertanya.

“Ana baru berhenti dari Force 136 masa ni. Jiwa tengah muda. Semangat pun berapi-rapi. Nak merdeka katakan.

“Ustaz Othman (Abdullah, Setiausaha Agung PAS) suruh Ana jadi petugas Penerangan PAS, bantu Dato’ Asri (Haji Muda). Masa ni dia PJ (Pesuruhjaya PAS) Kelantan.

“Jadi kami pergilah ke Kelantan untuk berdakwah. Ajak orang sokong PAS,” Pak Yazid terus memberikan latar belakang politik Kelantan ketika itu.

“Macam mana sambutan orang Kuala Kerai?” saya mula mengorek hasil dakwahnya.

“Masa Ana sampai di Machang, Haji Nor Machang bawa saya pergi Kuala Kerai. Lalu jambatan gantung di Kuala Nal. Sampai Kuala Kerai, kita berceramah sebelah petang. Tak boleh ceramah malam. Bukan ada letrik lagi. Nanti orang kampung tak datang,” terang Ustaz.

“Ada cerita lucu hari tu…” Pak Yazid tersenyum mengenangkan pengalaman dakwahnya.

“Cerita apa Ustaz?” saya terus mengasak untuk mengetahui kisah lucu itu.

“Haji Nor Machang suruh Ana ceramah sebab Ana orang luar.

“Kalau orang tempatan, dia orang ‘tak sir’ (tak mahu) dengar.

“Jadi Ana yang ceramah petang tu.

“Orang tak ramai, dalam 40-50 orang saya. Duduk pun jauh-jauh di umbi getah.

“Pentas pun biasa saja.

Dia orang letak depan rumah. Pacak buluh empat batang, lepas tu lingkung dengan kain selimut.

“Belakang buat macam pintu untuk penceramah masuk. Kat depan tu letak bendera Bulan Bintang (simbol PAS).

“Jadi, kita ceramah kat dalam tu lah. Macam restrom sekarang ni.”

“Bila pengerusi majlis jemput Ana ceramah, Ana pun bangun masuk dalam pentas ceramah yang lingkung dengan selimut tu.

“Ana pun bagi salam. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh!”

“Pelawok! Orang kat bawah bertempik. Macam beri respon pada ceramah Ana.

“Pelawok ni penipulah dalam bahasa orang Kelantan,” terang Pak Yazid.

Saya memang faham makna kata ‘pelawok’ itu, ertinya pendengar kata Pak Yazid berbohong.

“Ustaz cakap apa?” saya bertanya lagi.

“Ana mana ada cakap apa-apa lagi. Baru bagi salam. Ana panas hati lah. Sebab Ana baru bagi salam, dia orang dah kata pelawok.”

Ana pun jawab spontan.

“Aku tak ceramah lagi, Beruk!” Pak Yazid mengajuk cercaan beliau terhadap orang yang bertempik tadi.

“Ana sakit hati sebab punyalah dia orang benci pada PAS masa ni, sebelum kita ceramah dia orang dah tuduh kita pembohong.

Jadi, Ana terus jawab ‘Aku tak ceramah lagi, Beruk.’ Dapat beruk sebijik!” jelas Pak Yazid tentang kisah lucu di Kuala Kerai itu.

Kemudian kami gelak sama-sama, mengenangkan kisah lucu.

Saya pun dah terlupa untuk bertanya tentang isi ceramahnya.

Dapat’ beruk’ sebiji, kira dah cukup.

Walaupun kisah ini lucu, tetapi penuh pengajaran.

“Enta orang muda kena ingat. Susahnya orang zaman dulu nak ajak orang pada Islam.

“PAS tu bukan terus menang dan senang. Dulu payah.

“Masuk hutan, naik bukit, pikul microphone (PA system), tidur di surau sebab jauh nak balik.

“Dah la darurat komunis masa ni.

“Mad’u kita pulak masih tidak faham agama.

“Mereka nampak dunia saja.

“Politik Islam dia orang tak terima.

“Sebab dia orang kata politik suku agama suku.

“Politik tak bercampur dengan agama.

“PAS ni nak mencemarkan agama, jadikan agama alat politik.

“Tidak mudah kita nak bagi mereka faham.

“Orang hari ni, celik-celik PAS dah kuat.

“Bila kita ada kuasa, memerintah Kelantan, kita jangan lupa jasa orang tua-tua dulu menebas hutan untuk buat jalan.

“Kita sekarang ni lalu jalan yang dah siap. Senang.

“Kalau orang tua zaman dulu tidak susah payah berdakwah, jangan harap kita boleh memerintah Kelantan hati ni,” Pak Yazid mula menyebut ibrah-ibrah dari pengalaman beliau berdakwah di Kelantan.

Saya termangu memikirkan susah payah mereka membuka laluan dakwah.

Saya berharap pemimpin yang ada sekarang menghargai penat lelah mereka dengan berusaha menegakkan perintah Allah.

Mohd Fadli Ghani

Politik