Ketika saya mengatakan pertengkaran antara Umno dan PPBM akan melemahkan mereka berdua, ini adalah hujah balas yang dikemukakan:
“Tidak setuju dengan pendapat anda. Mula-mula menubuhkan kerajaan PN, UMNO meletakkan syarat bahawa mereka akan menyokong kerajaan sehingga PRU-15 dan bergantung kepada keadaan yang mungkin atau mungkin tidak diperluaskan oleh UMNO.
“Sekarang kita tahu akar umbi UMNO tidak mahu memberikan sokongan dan lebih suka BN bertanding sendiri. Anda telah melihat bagaimana PH memerintah. Anda telah melihat bagaimana PN memerintah. Saya fikir anda memandang rendah kebijaksanaan pengundi kita setelah 2 tahun kerajaan hanceng. ” – Alyaniff Selamat.
Saya nak cerita sikit sebagai seorang yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.
Kalau kamu nak bantah sesuatu keputusan kerajaan di dalam mesyuarat, terdapat pelbagai kaedah untuk membuat bantahan tersebut.
Saya pernah ceritakan bagaimana saya dapat membatalkan suatu keputusan kerajaan walaupun bantahan saya adalah dalam golongan minoriti. (1)
Terdapat banyak isu yang saya pernah tulis juga mengenai keputusan kerajaan yang saya tidak bersetuju masa itu, tetapi saya juga tidak buat bising di luar masa saya dalam kerajaan.
Ianya sama juga dengan keputusan kerajaan sekarang pasal apa jua isu, sama ada ianya pembatalan projek HSR ataupun cara nak buat PKP.
Orang Umno dan PPBM di dalam Kabinet telah berbincang dan bersetuju melaksanakannya.
Kamu nak masuk suatu pasukan, kamu kena faham apa ertinya team player.
Nak bising, nak jerit, nak hentam meja, buat semuanya dalam bilik mesyuarat.
Adakalanya ia berkesan.
Sekiranya bantahan di dalam mesyuarat tak berkesan dan kamu tak puas hati juga, buat macam menteri BN dulu dan tawarkan niat anda untuk letak jawatan. (2)
Kamu semua ingatkan, masa isu 1MDB dibincangkan dalam Kabinet bawah Najib Razak, ada cerita bahawa Najib bagi pilihan kepada semua menteri untuk akur dengan keputusannya ataupun letak jawatan.
Yang buat bising dan juga tak nak letak jawatan tu Muhyiddin.
Sebab tu dia kena pecat.
Tak ada menteri Umno yang letak jawatan pun di sini.
Mereka hanya kata sekiranya pimpinan Umno nak mereka letak jawatan, mereka akan buat demikian.
Tetapi mereka tidak membantah keputusan kerajaan pun.
BN jatuh sebab mereka tak tahu macam mana nak membantah sebagai satu pasukan.
Pakatan Rakyat hancur juga sebab DAP dan PAS tak tahu berbincang di dalam bilik mesyuarat.
Pakatan Harapan juga jatuh sebab PPBM dan DAP tak faham falsafah ni juga.
Perikatan Nasional bukannya begitu istimewa sangat sehingga Umno dan PPBM tidak akan terjejas sekiranya mereka terus bertengkar.
Kamu ingat voter wisdom itu hanya nak tengok kegagalan Pakatan saja ke?
Kalau kerajaan PN gagal menangani Covid-19, tak kira pengundi suka Pakatan atau tidak, ada juga yang akan mengundi untuk bagi ajaran kepada Umno dan PPBM kerana mereka bertengkar macam budak-budak juga dan tak buat kerja untuk selesaikan masalah rakyat.
Ingat – PPBM adalah bekas Umno.
Sebagai orang luar, saya tengok kamu berdua sebenarnya tak ada perbezaan pun.
Jadi kamu nak lihat sejarah berulang, bertengkar sajalah secara terbuka.
Dipersilakan.
Peace.
Mak Khuin Weng – マク