APA PAS BUAT HAMPIR SETAHUN DALAM KERAJAAN PN?

APA PAS BUAT HAMPIR SETAHUN DALAM KERAJAAN PN?

“Apa PAS lakukan selepas hampir setahun dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Putrajaya?” tanya Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Sebagai jawapan, beliau berkata paling asas, PAS berjaya mematikan tuduhan dan momokan pihak lawan sejak berpuluh tahun bahawa PAS mustahil mampu memerintah negara Malaysia yang maju dan majmuk.

“Atau PAS hanyalah parti lebai yang hanya mampu memerintah negeri-negeri di Pantai Timur yang miskin,” ujarnya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya.

Katanya, itulah yang pernah berlaku kepada PAS apabila kembali memerintah negeri Kelantan pada tahun 1990 dahulu dengan bermenteri besarkan seorang lebai agama berserban.

Beliau yang Ahli Jawatankuasa PAS Pusat menambah, PAS Kelantan membuktikan sebaliknya.Bezanya, kata Nik Abduh, PAS Kelantan mengambil masa beberapa tahun yang agak lama untuk meyakinkan rakyat Malaysia akan kemampuannya mentadbir negeri dengan slogan ‘Membangun Bersama Islam’.

“Tidaklah pelik bagi sebuah negeri pelopor yang merintis laluan awal. Manakala PAS di Putrajaya hari ini melalui liku yang lebih mudah.

“Pujian bagi Allah, dengan rahmat dan kelebihan daripada-Nya, PAS membina keyakinan rakyat Malaysia dengan cepat sekali,” ujarnya lagi.

Menuruutnya, menghampiri setahun di Putrajaya, hampir tiada sindirian dan tohmahan musuh, apatah awam bahawa PAS begitu ketinggalan dan lemah kemampuannya menerajui beberapa kementerian yang diamanahkan kepadanya.

Malah, ujar beliau PAS dilihat mampu berdiri sama tinggi duduk sama rendah bersama parti-parti rakan dalam PN.

Katanya lagi, tohmahan ke atas PAS hanyalah berputar-putar pada serangan bertali arus bahawa PAS menjilat ludah sendiri sanggup bersekongkol dengan Umno untuk memerintah di Putrajaya.

Bagi beliau, ia hanyalah ratiban politik yang begitu mudah dilangsaikan jawapannya.

“Gerangan kelebihan apakah ini untuk tidak disyukuri Allah dengan selayaknya? Sempurna? Oh, tidak. Kurang? Ya, pastinya.

“Siapakah yang lebih baik daripada orang yang sentiasa memperbaiki kelemahan dan kekurangan dirinya,” katanya.

Begitulah, tambah beliau PAS sejak berpuluh tahun hidup bersama rakyat Malaysia.

“Terima kasih dan tahniah rakyat Malaysia di atas sokongan kalian,” katanya lagi.

Semasa mengumumkan anggota Kabinet oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddn Yassin pada 9 Mac tahun lalu, ahli-ahli Parlimen PAS turut disenaraikan.

Mereka ialah Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri Alam Sekitar, Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bahagian Parlimen dan Hal Ehwal Undang-undang, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dato’ Ahmad Marzuk Shaary dilantik menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Ahli Parlimen Pendang, Dato’ Awang Hashim (Timbalan Menteri Sumber Manusia), Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga), Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (Timbalan Menteri II Menteri Pertanian dan Industri Makanan) dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.”

HARAKAHDAILY

Politik