Dikaulah Murabbi Ku

Dikaulah Murabbi Ku

2021, adalah tahun ke-6 saya berkhidmat kepada seorang sosok tubuh Ulama Negarawan, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Sungguh banyak ilmu dan pengalaman yang dipelajari daripada universiti tarbiah Tok Guru.

Semakin kenal, semakin sayang dan bertambah hormat padanya.

Antara banyak perkara yang saya pelajari di sebalik ketokohan Tuan Guru yang lebih mesra kami panggil dengan Ayah Chik, kami banyak belajar tentang;

1. Disiplin masa

Tiada istilah ‘janji Melayu’, janji mula mesyuarat 9 pagi, pukul 9 pagi itu juga Tuan Guru sudah berada di kerusi untuk mempengerusikan mesyuarat.

2. Banyak membaca dan menulis

Ini memang kami sangat tercabar dan tidak mampu menandingi kehebatan Ayah Chik, sampai kami tidak terkejar dibuatnya.

Sering kawan-kawan bertanya, “Bila Ayah Chik menulis?”.

Pergi balik ke program bersama kami, tapi keesokan pagi sudah hantar kepada kami artikel baharu dan berkongsi pembacaan yang sangat meluas, merentasi politik nasional sehingga membawa kami memahami geopolitik antarabangsa.

Tidak masuk lagi topik sejarah ketamadunan yang diingatinya, kadang-kadang kami hanya mampu mengangguk, mengiyakan segala fakta yang dicurahkan kepada kami.

Nama dan tarikh setiap peristiwa tersemat kukuh dalam ingatannya.

3. Tegas dan firm dalam keputusan dan tindakan

Tegas dengan hujah yang kuat, pada masa yang sama sentiasa terbuka mendengar pandangan pimpinan dan ahli.

Tidak mudah goyah dengan celaan dan hinaan musuh-musuh.

Terus melangkah dengan penuh gagah dan yakin.

4. Apa jua tindakan politik mesti utamakan kepentingan Islam

Berpakat, bertaawun dan bersatu padu hanya untuk melihat Islam menjadi dominan dalam pemerintahan negara.

Jika terpaksa menangguhkan kemenangan dunia sementara demi menjaga kepentingan Islam yang lebih utama, maka jalan itu diambil.

5. Sabar dalam tindakan, jangan gopoh

Selalu diberi pesanan, kita baru masuk gear satu, jangan gopoh masuk gear lima terus.

Bergerak secara tersusun dan terancang dalam menggerakkan tindakan politik.

6. Politik itu seni, bukan straight forward

Politik perlu dibaca dengan ilmu, pengalaman dan bacaan politik yang tajam.

Bukan dilihat hanya satu lapis dan secara mudah semata-mata, tapi perlu melihat lebih jauh dan banyak lapis.

7. Pangkat dan kemewahan bukan yang dikejar

Bila Tuan Guru bercakap, tiada yang berani menyanggah dan tunduk akur.

Kerana dia menunjukkan qudwah, tiada kecintaan dunia.

Lihatlah rumahnya di Kampung Rusila.

Di situlah terserlah keizzahannya, tidak terpalit dengan salah laku atau ada conflict interest, sehingga berani buat keputusan dan teguran hatta kepada mereka yang lebih berkuasa.

Tidak takut kehilangan nikmat dunia yang sementara kerana dia hanya mengejar akhirat yang kekal abadi.

8. Solat tempat rehat

Ya, kami lihat Tuan Guru akan panjangkan bacaan dalam solat, dan duduk berzikir.

Mulutnya terkumat kamit membaca wirid, tidak cepat-cepat bingkas bangun sebaik sahaja memberi salam.

Solat menjadi tempatnya untuk berehat sejenak sebelum menyambung tugasan lain.

Itulah Tuan Guru kami, murabbi yang memimpin rohani dan akal kami.

Akhlaknya qudwah, bicaranya penuh hikmah.

Doakan Tuan Guru terus gagah memimpin ummah menegakkan Islam di bumi Malaysia.

Abd Malek Razak

SU Akhbar Presiden PAS

Dalam Negeri