UMNO Terengganu Berpecah?

UMNO Terengganu Berpecah?

Sudah termaklum seantero negara UMNO Terengganu mahu bertanding di semua kerusi di Terengganu dalam PRU15 akan datang.

Hal ini digegerkan sendiri oleh Ketua Perhubungannya, Datuk Seri Ahmad Said, mantan MB.

Baginya tiada MN di Terengganu.

Beliau yang terkenal dengan panggilan Mat Said tegas dengan kemahuannya.

Sebab itulah Kemaman mendapat Jambatan Bukit Kuang macam jejambat di KL.

Jasa jambatan itulah agaknya beliau merasakan orang Kemaman terhutang budi kepadanya.

Justeru beliau merasa kuat dengan sokongan orang kampung terutama di kubunya, di Teluk Kalong.

Dan sebagai Ketua UMNO Terengganu yang pernah berani menyanggah Deris Jusoh dan Ahmad Razif mantan-mantan MB Terengganu sebelum dan selepasnya, apalah sangat dengan Ahmad Sabery Chik, mantan menteri dan Rozi Mamat yang dikhabarkan angin akan mengambil alih tempatnya selaku ketua perang PRU15.

Biasalah kehidupan kampung, ayam di keliling-kelalang.

Kalau yang betina bertelur sebiji riuh rendah bunyinya.

Tak sunyi kampung dibuatnya.

Terengganu bukan kampung sebutir milik si Lebai Malang.

Di luar sana ramai pemimpin UMNO yang berpendidikan dan lebih berkredibiliti.

Orang yang menggunakan otak mengatasi pongoh.

Mereka ini menerima MN demi kelangsungan politik ummah.

Bahasa badan mereka ada maksud yang tersimpan.

Ramai pemimpin UMNO yang kini mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin PAS Terengganu.

Begitu juga di peringkat bawah, umumnya penyokong dan ahli UMNO dan PAS tidak lagi macam kutub utara dengan kutub selatan seperti dulu.

Mereka sama-sama teruja dengan berakhirnya permusuhan politik apabila tertubuhnya MN.

Orang PAS dan UMNO sama-sama mentadbir masjid.

Dan terbaru, UMNO dan PAS mengadakan program bersama rakyat di DUN Batu Burok.

Memanglah hari ini tiada seorang pemimpin UMNO yang berani menyanggah ‘agah’ Mat Said.

Apabila diputuskan UMNO Terengganu menolak pelawaan kerajaan negeri agar JKKP turut terdiri daripada ahli UMNO, tiada yang berani membantah.

Apabila diminta respon, mereka hanya tersenyum dan menggeleng-geleng kepala.

Tetapi tiada pula suara mereka mengiya dan memperkukuhkan kemahuan ayam sabung mereka, Biring Si Kunani itu.

Malah di kampong-kampung aktiviti dan program yang melibatkan ahli PAS dan UMNO terus berjalan dengan harmoni.

Pendirian UMNO terhadap hubungannya dengan PAS dalam MN dan penyertaannya dalam kerajaan PN, akan tiba di kemuncaknya tak beberapa lama lagi.

Perhimpunan Agung UMNO akan berlangsung juga secara bersemuka atau secara maya.

Ketika itulah jawapan muktamad akan dibuat oleh pemimpin mereka.

Kalau tersilap perhitungan, UMNO akan berpecah lagi.

Nasib UMNO umpama telur di hujung tanduk.

Diluah mati emak, ditelan mati bapa.

Kluster mahkamah bukan calang-calang orang.

Dengarnya ada kuasa veto pula.

Apa sahaja keputusannya nanti, turut mengesani UMNO di Terengganu.

Kalau dirungkai MN, bersoraklah Mat Said sebagaimana bersoraknya Lim Guan Eng dan DAP.

Dan kalau sebaliknya berlaku, Mat Said boleh sahaja tunjuk hanelangnya dengan bertanding sebagai calon bebas.

Takut apa Mat Said; terlentang menadah embun, tertiarap tahulah menelan pasir.

Persoalannya, beranikah UMNO membawa diri yang kehilangan suntinya?

MAMPU Centre

Terengganu