Selepas PRU 1995 dulu, pemimpin PAS cukup marah dengan PMS46 kerana tidak menyokong pencalonan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai ketua pembangkang menyebabkan jawatan itu terlepas ke tangan pemimpin DAP, Lim Kit Siang.
Laporan Jawatankuasa Post-Mortem ke atas PRU 1995 juga merumuskan bahawa PMS46 hanya menjadi liabiliti kepada PAS, calon-calon PMS46 hanya memperkudakan PAS dan akar umbi PAS rata-rata mahu mengakhiri kerjasama dengan PMS46.
Dinyatakan dalam Laporan Jawatankuasa Post-Mortem ini bahawa kerjasama dari PMS46 kepada PAS hampir tidak wujud di kebanyakan negeri, khususnya di negeri-negeri Pahang, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Kedah dan Pulau Pinang.
Dirumuskan juga bahawa “sukar bagi pimpinan PAS untuk tidak akur kepada perasaan serta kehendak akar umbi parti dan jika pimpinan berpendapat di sebaliknya maka ini bermakna pimpinan akan menentang arus yang begitu deras dan risikonya adalah terlalu tinggi”.
Begitupun, setelah dibincangkan di dalam Mesyuarat PAS Pusat, Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tegas menyebut bahawa apa juga keputusan yang membawa kepada perpecahan antara PAS dan PMS46 hendaklah tidak dimulakan oleh PAS tetapi oleh PMS46.
Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor pula menyebut jika kerjasama ini dileraikan oleh PAS maka PAS akan disalahkan oleh masyarakat tetapi PAS tidak akan dibebani dengan tuduhan ini sekiranya PMS46 kembali kepada UMNO di atas kemahuannya sendiri.
Maka kekallah PAS bekerjasama dengan PMS46 sehingga PMS46 menyokong calon BN di dalam Pilihan Raya Kecil N8 Bukit Asahan, Melaka, dan sehingga Tengku Razaleigh mengumumkan bahawa PMS46 bersedia untuk menumbangkan pemerintahan PAS di Kelantan.
Itulah perwatakan sebenar pemimpin, iaitu memimpin, bukan mengikut.
Kamarul Yusoff