Dalam politik, mengawal kemusnahan adalah satu bentuk kemahiran yang perlu ada jika seseorang itu mahu menjadi ahli politik.
Ini kerana, jika berlaku sesuatu perkara yang boleh memusnahkan parti atau individu dan hal itu gagal dikendalikan, maka tidak mustahil ia akan benar-benar boleh menjahanamkan seluruh jentera parti atau individu itu.
Oleh itu kemahiran mengawal kemusnahan ini adalah sangat penting bagi politikus.
Ada berbagai cara mengawalnya.
Ada yang terpaksa mengorbankan kawan, mengorbankan kedudukan sementara sebelum mengambilnya semula.
Mengorbankan harta, jangan cakaplah.
Antara kemahiran lain lagi ialah mengubah prinsip, bergabung dengan musuh atau mungkin cara berpakaian.
Pendek kata, mengaku salah, tidak sekali-kali.
Ini semua samada mahu menarik simpati atau meletakkan bebanan dan masalah itu kepada orang lain.
Jadi dia akan kekal relevan dalam dunia politik, sementara itu akan ada kambing hitam yang menjadi korban dalam perancangan dia.
Manakala mengakui kesalahan adalah pilihan terakhir bagi ahli politik.
Itupun selepas meneliti segala aspek agar ia dilihat dapat menarik lebih simpati pengundi dan bukan mematikan karier.
Saya bawakan beberapa contoh kemahiran mengawal kemusnahan ini yang berlaku dalam politik negara.
Pada pandangan saya, yang paling mahir dalam bab ini, tidak lain tidak bukan, Tun Mahathir.
Antaranya beliau boleh menurunkan Tun Hussein Onn dan beliau mengambil jawatan PM.
Tun Musa Hitam tersepit dengan isu Memali yang mana kata Tun Musa, Tun Mahathir ada di Malaysia ketika kejadian itu, bukan di China.
Ku Li dilihat sebagai petualang kerana telah berjaya mengharamkan Umno selepas tewas dalam pemilihan Presiden sekitar tahun 1987 oleh Tun, walaupun ahli Umno tahu apa yang telah Tun lakukan ketika pemilihan itu.
Pada mula kes Anwar, Tun tidak dipercayai rakyat.
Bukan sahaja dari pembangkang, malahan ahli Umno juga.
Tetapi perlahan-lahan, kebencian itu bertukar kepada Anwar pula.
Ini adalah sebahagian daripada kemahiran Tun.
Begitu juga Anwar.
Apabila gagal menang dalam mahkamah, maka mahkamah tidak adil.
Bila mana tidak berjaya menawan Putrajaya, maka sistem pengundian disalahkan.
Ketika Ahli Parlimen BN yang dikatakan mahu melompat, tetapi tidak jadi, lantas dituduh mereka sebagai terpengaruh dengan wang.
Sewaktu harga minyak gagal diturunkan ketika beliau menang PRU, berbagai alasan lain pula yang dikemukakan.
Sering dijadikan alasan utama atas kegagalan beliau melakukan sesuatu kepada rakyat ialah kegagalan BN sejak lama dahulu yang menjadi penghalang.
Semua ini adalah satu bentuk kemahiran.
Masalah alasan itu menipu atau tidak, itu tidak kita bincangkan.
Apa yang saya mahu jelaskan ialah sejauh mana politikus berjaya mengawal pemikiran penyokong mereka dan juga rakyat dengan alasan-alasan itu.
Jari telunjuk mereka akan dihalakan kepada sesuatu yang lain supaya tidak terlihat mereka yang melakukannya.
Jika sebab-sebab yang mereka berikan itu diterima ahli, maka itulah kemahiran mereka.
Jika sehingga orang atas pagar turut yakin dengan beliau, itu bermakna dia berkemahiran tinggi.
Tetapi sekiranya penyokong musuh turut percaya dengan kata-katanya, itulah tandanya dia mempunyai kemahiran mengawal kemusnahan yang sangat tinggi.
Tetapi jika dia berjaya membuat rakyat mempercayainya berkali-kali walau sudah banyak kali membelit, itu kita panggil kemahiran ‘tahap dewa’.
Saya menumpukan isu ini kepada beberapa bekas pemimpin tertinggi Umno dan juga Anwar sahaja sebagai rujukan.
Tun, Anwar dan Najib, pernah menggegarkan negara dengan isu-isu mereka.
Bagaimana mereka bangkit daripada kejatuhan atau kegagalan dan merampas semula keyakinan penyokong, malah kepada musuh mereka sebelum ini.
Tetapi saya tidak yakin kemahiran ini, ada pada Zahid Hamidi.
Surat yang telah disiarkan itu dengan jelas mahukan Sidang Parlimen diadakan.
Setelah MIC dan MCA menyatakan ia tidak seperti yang mereka putuskan, maka Pegawai Media Umno telah dikenakan hukuman gantung tugas selama sebulan, bagi Umno menjalankan siasatan.
Begitu naifkah keseluruhan jentera Penerangan Umno untuk tidak memeriksa dahulu surat penting itu sebelum disiarkan?
Saya melihat tindakan menggantung Pegawai Media ini adalah cubaan Zahid untuk mengawal kemusnahan yang telah terjadi semenjak sekian lama, berkaitan dengan dakwaan sokongan beliau kepada Anwar.
Malah lebih menghairankan rakyat, isi kandungan dan ayat dalam surat terbaharu Umno juga hampir serupa dengan surat yang dikeluarkan oleh PKR.
Kebetulan yang amat menarik.
Malang bagi Zahid, kemahiran beliau tidak tinggi, kelihatannya mudah dibaca oleh semua dan nampak siapa yang mahu dijadikan kambing hitam itu.
Saya tidak tuduh beliau menipu, cuma saya tidak percaya sahaja.
Anda percaya Pegawai Media Umno yang salah siar surat itu?
Kesilapan kandungan surat itu hanya disedari setelah sehari dan sudah dibacakan juga oleh Setiausaha Agung Umno.
Janggal rasanya.
Sekarang rakyat sedang khusyuk membaca satu persatu, laporan perbicaraan kes Zahid di mahkamah.
Jumlah duit juta-juta juga disebut.
Semoga baik-baik belaka hendaknya.
Mohd Nasir Abdullah
06 Mac 2021

