Setiap hari pemimpin UMNO yang tidak berjawatan sanggup menjadi pembangkang tegar sedangkan pembentukan kerajaan pada hari ini direstui oleh UMNO sendiri.
Rumah siap pahat berbunyi dan tiada titik persefahaman antara mereka walaupun berada di bumbung yang sama.
Rakyat Malaysia pada hari ini sememangnya menyimpan satu persoalan yang sangat besar dan berat iaitu ‘UMNO Kerajaan atau Pembangkang’.
Jika dilihat dari pandangan awal, UMNO adalah anggota kerajaan yang sah dan diberikan jawatan sebagai Menteri, Timbalan Menteri dan memegang pelbagai jawatan di peringkat GLC dan sebagainya.
Kebelakangan ini, pertembungan kluster kepimpinan negara agak tegang sehingga perbalahan semakin runcing antara kerajaan dan kerajaan bukannya daripada pembangkang sehingga memberi tekanan kepada rakyat dan negara.
Melihat kepada pengalaman, tidak dinafikan bahawa UMNO sangat berpengalaman luas dalam membina negara bangsa kerana telah menjadi tonggak kepimpinan negara selama 62 tahun.
Dalam pada masa yang sama, bekas Perdana Menteri Malaysia YB Dato’ Sri Mohd Najib, YB Dato’ Sri Dr Zahid Hamidi tidak perlu dinafikan kepakaran mereka dalam kepimpinan negara namun tindakannya mungkin memberi kesan buruk kepada anggota kabinet UMNO yang sedang menerajui kementerian penting dalam negara iaitu YB Dato Sri Ismail Sabri, YB Khairy Jamaluddin, YB Tan Sri Annuar Musa, YB Dato’ Sri Noraini Ahmad, YB Dato’ Sri Adham Baba, YB Dato’ Sri Wee Ka Siong, YB Shahar Abdullah dan ramai lagi.
Kecelaruan ini seolah-olah menteri UMNO tidak berfungsi dan hanya menjadi ‘Pak Turut’ dalam kerajaan sedangkan mereka bekerja keras kepada negara.
Seperti rakyat sedia maklum, kritikan oleh pemimpin UMNO terhadap Isu Vaksinasi negara yang dilihat tidak telus dan meletakkan nyawa rakyat sebagai cagaran politik sememangnya sangat dangkal kerana orang yang bertanggungjawab dalam isu ini adalah YB Khairy Jamaluddin yang datangnya daripada sarang UMNO.
Adakah UMNO sekarang ini hendak memburukkan kerajaan sedangkan YB Khairy diberikan amanah untuk mengetuai program ini.
Adakah pemimpin UMNO seperti meludah ke langit atau menabur garam di lautan?
Siapa yang harus diburukkan dan yang buruk itu siapa?
UMNO seperti memburukkan kerajaan tetapi yang nampak buruk adalah UMNO itu sendiri.
Terdapat banyak kecelaruan yang dilihat oleh rakyat yang boleh kita rungkaikan bersama.
1. Isu Kes Covid-19
UMNO memperlihatkan kepada rakyat tentang kegagalan kerajaan dalam isu Pandemik Covid-19 dan menyatakan kerajaan tidak mempunyai strategi yang baik dalam memastikan jumlah kes kembali normal sehingga kepada angka 0.
Apa yang pelik?
Yang pelik adalah Menteri Kesihatan adalah daripada UMNO iaitu Dato’ Sri Adham Baba, sekiranya benar bahawa kerajaan dikatakan gagal menangani isu ini, adakah kegagalan ini berpunca daripada pemimpin UMNO itu sendiri iaitu YB Dato’ Sri Adham Baba?
2. Isu KWSP
UMNO mendesak kerajaan agar pihak kerajaan dan KWSP meluluskan pengeluaran KWSP dengan menyatakan bahawasanya kerajaan zalim terhadap rakyat sedangkan salah seorang anggota Kementerian Kewangan adalah daripada UMNO iaitu YB Shahar Abdullah.
Tiada rundingan atau perbincangan bersama Timbalan Menteri ini sehingga pihak UMNO terpaksa menggunakan media sosial dalam mendesak dan mencadang kepada kerajaan seolah-olah Timbalan Menteri ini tidak berfungsi.
Seterusnya, pihak UMNO menyatakan bahawa kewangan dan ekonomi negara makin merudum sehingga mendakwa kerajaan pada hari ini gagal, siapa yang gagal?
Kerajaan atau menteri UMNO?
3. Program Vaksinasi Kebangsaan
Satu isu yang sangat besar pada abad ini juga dijadikan sebagai modal untuk menjatuhkan imej kerajaan.
Menteri yang terlibat dan diberikan amanah sebagai pelaksana adalah YB Khairy Jamaluddin.
Kritikan sehingga menjatuhkan maruah kerajaan juga menyebabkan UMNO tercalit sama.
Pergaduhan dan pendebatan dalam ruangan komen Facebook antara bekas Perdana Menteri UMNO dan Menteri UMNO dilihat sebagai kebudak-budakan.
Adakah mereka tidak mempunyai nombor telefon atau tidak memiliki group WhatsApp?
Perlukah berdebat di media sosial tentang dasar kerajaan sedangkan yang bertanggungjawab adalah dalam pasukan sendiri?
4. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
UMNO menekan kerajaan untuk melonggarkan syarat dan denda kesalahan PKP sehingga memberi kesan buruk kepada kerajaan.
Kerajaan yang prihatin nampak zalim dalam isu PKP dan kompaun ini.
UMNO dengan pantas menyediakan khidmat guaman secara percuma melalui sayap Pemuda kepada rakyat sekiranya disaman sebanyak RM 10,000.
Menteri yang bertanggungjawab adalah daripada UMNO iaitu YB Dato’ Sri Ismail Sabri yang memegang jawatan Menteri Kanan Pertahanan (Kluster Keselamatan).
Jadi, siapa yang zalim sebenarnya, kerajaan atau menteri UMNO?
5. Ekzos Bising
Isu ini berlegar-legar di media sosial dengan terjahan keras bahawa kerajaan Perikatan Nasional bodoh dan bangang kerana menyaman pengguna sedangkan ekzos ini dijual dalam pasaran Malaysia.
Siapa Menteri Pengangkutan Malaysia?
Dato’ Sri Wee Ka Siong daripada MCA iaitu Barisan Nasional tidak berfungsi atau tidak bekerja dalam isu ini?
6. Yuran Pengajian Pelajar Universiti
Kerajaan tidak memikirkan isu mahasiswa?
Yuran tidak dipotong walaupun belajar daripada rumah?
Kemasukan ke Kampus nampak tempang dan tidak teratur.
Kerajaan gagal dalam menguruskan hal ehwal dan kebajikan mahasiswa.
Menterinya juga daripada UMNO iaitu Dato’ Dr Noraini Ahmad.
Adakah Menteri UMNO gagal atau kerajaan gagal?
Tulisan saya bukan hendak memburukkan UMNO tetapi ingin mendapatkan penjelasan daripada kepimpinan UMNO dalam menarik kembali kepercayaan rakyat terhadap parti ini.
Jika disenaraikan lagi, banyak lompong dan tempang di dalam Tampuk kepimpinan UMNO yang dilihat tiada kebersamaan dalam organisasi.
Sepatutnya UMNO perlu menyusun kembali caranya dalam mencadang dan memberikan idea kepada pembangunan negara tanpa memburukkan sesiapa terutama pemimpin UMNO itu sendiri.
Pada masa ini, tindakan UMNO umpama membuka pekung sendiri sehingga membongkar kelemahan dalaman parti.
UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan dengan penarikan dua tokoh yang hebat iaitu YB Datuk Ahmad Jazlan dan YB Dato’ Sri Nazri Aziz yang dilihat bertindak secara peribadi.
Penarikan ini jelas menampakkan bahawa UMNO tidak mempunyai kebersamaan dalam tindakan.
YB Dato’ Sri Tajuddin sebagai Pengarah Pilihanraya UMNO tidak pula berani menarik sokongan dan meletak jawatan sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia?
Mengapa hanya ‘anak jantan’ yang berani?
Pengarah Pilihanraya UMNO ‘pondan’?
Kesimpulannya, UMNO sepatutnya memperbetulkan caranya dalam memastikan kepimpinan UMNO lebih berkualiti daripada PPBM dan PAS melalui idea yang tersusun dan kemas.
Bantulah Menteri dan Timbalan Menteri UMNO untuk memimpin dan memastikan mereka berkualiti dalam melaksanakan amanah sehingga menjadi ‘Role Model’ kepada menteri yang lain.
Rakyat akan lihat bahawa UMNO mempunyai pemimpin yang berkualiti dan akan memberi kebaikan kepada parti UMNO.
Janganlah memburukkan kerajaan sedangkan anggotanya dalam kalangan UMNO.
Nak buruk kerajaan, yang buruk adalah UMNO.
Minta maaf jika kalian terasa kerana saya juga terasa.
Wan Mahussin Wan Zain