Seorang jururawat yang mempunyai sakit darah tinggi dilaporkan meninggal dunia dan hasil bedah siasat mendapati ia akibat serangan jantung.
Pesakit berkenaan juga mempunyai penyakit darah tinggi.
Lima hari sebelumnya, dia menerima suntikan vaksin.
Malangnya, ada media yang menggunakan tajuk akhbar yang mereka sendiri tahu akan mendatangkan ketakutan kepada masyarakat.
Akhbar seperti Utusan Malaysia dan Harian Metro masing-masing memilih tajuk akhbar ‘Jururawat Terima Suntikan Vaksin Meninggal Dunia di Rumah Akibat Sakit Jantung’ dan ‘Jururawat Terima Vaksin Meninggal Sakit Jantung’.
Akhbar Berita Harian yang saya kira amat bertanggungjawab, meletakkan tajuk akhbat ‘Jururawat Meninggal Dunia Kerana Serangan Jantung’.
Begitu juga Astro Awani dalam laman web mereka meletakkan tajuk yang serupa.
Antara tajuk-tajuk akhbar ini yang mana anda fikir memainkan tanggungjawab untuk memberikan fakta yang tidak mengelirukan masyarakat?
Seorang editor yang berpengalaman tahu akan impaknya kepada masyarakat.
Harian Metro pula menambah ‘garam’ dengan meletakkan gambar mayat di bawah tajuk akhbar.
Maka berkendurilah para antivaksin seakan ia satu kemenangan kepada mereka selain menyiram segar ego mereka.
Anda juga boleh perasan yang para antivaksin sangat mengimpikan kesan buruk dari vaksin kerana itu dapat membantu jualan produk mereka.
Mereka akan guna semuanya, malah agama dan apa sahaja berita separuh benar untuk masyarakat keliru dan was-was lalu akhirnya tidak mengambil vaksin.
Malah masyarakat disua dengan dakyah konspirasi dan kononnya ada ‘cip’ yang akan dimasukkan ke dalam badan apabila vaksin diambil!
Semua ini adalah rempah tumis menyedapkan cerita sedangkan semua ini tidak benar.
Sebenarnya, editor yang baik boleh memilih ayat yang tepat dan membantu frontliner dan KKM untuk mendidik masyarakat dan bukannya menakutkan masyarakat.
Sudah lebih 400 juta orang sudah divaksin di seluruh dunia.
Jika vaksin menyebabkan serangan jantung, pola kematian ramai orang akibat vaksin dapat dilihat di mana-mana.
Tetapi ini tidak berlaku.
Editor-editor tidak perlu memakai PPE, berpanas dan berhadapan Covid19 tetapi di bilik yang berhawa dingin dan di hadapan laptop masih dapat membantu kami memenangi perang ini dengan tajuk berita yang tepat.
Tetapi jika pilihan anda sebaliknya maka anda akan bersekongkol dengan para antivaksin untuk kita semua tewas dalam perang ini.
Bayangkan makcik-makcik dan pakcik-pakcik di kampung yang hanya disua tajuk berita yang mengelirukan ini dan menyangka ‘ambil vaksin boleh mati’.
Kita akan gagal mencapai sasaran 80% rakyat divaksin.
Mereka inilah yang akan diburu oleh antivaksin untuk memasarkan produk jualan mereka dan tidak sedikitpun peduli untuk masyarakat selamat dan terpelihara.
Bertanggungjawablah dalam membuat laporan media dan memilih tajuk akhbar.
Kita semua tahu kuasanya.
Saya impikan indahnya kerjasama dari editor-editor media untuk memenangi perang ini.
Anda semua ada peranan yang amat besar dan berkuasa.
Jika seseorang menerima vaksin dan dalam perjalanan pulang kemalangan lalu mati, punca kematian adalah kemalangan dan bukannya vaksin.
Tajuk akhbar tidak harus ‘Pemandu terima vaksin mati kemalangan’ bukan?
Frontliner