Bismillah
Saya menghantar pesanan WhatsApp kepada Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin apabila mendapat maklumat yang menyatakan bahawa beliau telah disindir oleh tuan rumah sewaktu ucapan dasar Pemuda Umno.
Kurang ajar.
Itu yang bermain di fikiran saya.
Adat budaya manakah yang telah dibawa oleh kumpulan yang mendakwa mereka mempertahankan Melayu?
Mempertahankan Melayu, tidaklah hanya melalui slogan, ataupun apa-apa bahagian yang terpilih sahaja.
Ia mesti menyeluruh.
Dan antara yang paling bernilai selain dari agama dalam budaya Melayu, ialah adab.
Dijemput tetamu datang, disindir-sindir bagaikan tiada pernah bertemu dalam mesyuarat untuk meluahkan apa yang terbuku.
Saya hilang rasa hormat kepada orang yang kononnya mempunyai latar belakang agama tetapi pupus adab.
Kerana adab mengatasi ilmu.
Mencederakan ikatan penyatuan yang disaksikan oleh jutaan manusia tahun lalu, bukanlah suatu pilihan yang mulia.
Tegar sangat dia mahu mendabik dada.
Lupa barangkali Allah yang memegang kuasa dan kepada siapa mahu Dia berikan.
Apa kata Ir Khairil kepada saya?
Tak apa, kita OK jer, kita kan tetamu.
Kita tetap mempertahankan muafakat kita.
Inilah status kita, tidak berubah sehingga diputuskan yang lain.
Kita memandang ke depan, agenda bangsa dan agama kita.
Enta kena dengar dulu semua ucapan dia jangan tulis ikut perasaan.
Beliau berpesan begitu.
Saya jadi terkedu dengan jawapan dan nasihat yang tidak mempunyai potensi untuk menaburkan lagi garam ke atas luka.
Apakah ini?
Tak kan mahu dibiarkan sindiran-sindiran itu.
Ya, saya teringat apabila Ketua Pemuda Umno bercakap tentang budaya Melayu dalam ucapannya, saya juga ada perumpamaan yang sesuai.
Ia diibaratkan kerana didikan ibu dan ayah.
Ibu dan ayah Pemuda PAS adalah orang yang paling banyak terkena fitnah semenjak puluhan tahun.
Jadi kesabaran dalam menghadapi semua mehnah dan tribulasi perjuangan ini sangat tinggi dan telah mula menurun kepada Pemuda PAS.
Jika kita berkawan, kita bantu mereka sepenuhnya.
Inilah yang PAS lakukan dahulu ketika bersama PKR dan DAP dahulu.
Alangkah sakitnya hati melihat mereka waktu itu, seperti tuan mengarahkan kita itu dan ini, wang kita dihulurkan bagi mereka berkempen, akhirnya PAS yang dibuang.
Tetapi betapa sabarnya Presiden kita, beliau dengan nada tegas memerintahkan ahli-ahli membantu setiap kempen ‘kawan’ PAS.
Tiada satupun mulut secara berdepan melawan perintah Presiden.
Begitulah juga jika perangai anak yang tidak beradab.
Betapa ibu bapa mereka hanya melihat kenakalan anak-anak mereka memecahkan barang-barang di rumah jiran, dan hanya mendiamkan diri, malah tidak mahu diganti kerosakan itu.
Apa kita mahu buat dengan perangai sebegini?
Saya mendoakan agar Allah menggantikan kesabaran Ketua DPPM ini dengan pahala yang berganda-ganda.
Beliau tidak mahu dipanjangkan apa-apa ke arah keburukan hubungan walaupun ada ketika Umno seperti menuduh PAS hanya mahu mempertahankan jawatan.
Sedangkan ada pimpinan Umno juga menyebut mahu mendapatkan kembali jawatan PM.
Dan tidaklah kurang bilangan menteri Umno dalam kerajaan PN bagi membuat keputusan yang mereka kata tidak betul itu.
Sebaliknya apa yang positif dalam ucapan KP Umno, perlu diambil supaya hubungan sebangsa dan agama ini menjadi lebih kukuh.
Hairan, itu pula pesanannya.
Benarlah, syaitan memang sukakan permusuhan, manakala Allah dan rasulnya mahukan kesatuan.
Sikap kita menurut jalan pentunjuk yang mana?
Janganlah kencing berdiri wahai si ayah, nanti anakmu kencing berlari, membawa najis ke sana ke mari.
Tahniah Ir Khairil Nizam.
Anda mengajar Pemuda Umno dan semua pihak, apa itu adab yang agama mahukan dalam berkawan.
Maafkan atas sikap saya.
Mohd Nasir Abdullah
27 Mac 2021