UMNO Perlu Diajar Untuk Berubah: Dr Mohamad Tawfik Yaakub

UMNO Perlu Diajar Untuk Berubah: Dr Mohamad Tawfik Yaakub

Walaupun saya biasa membaca komentar-komentar beliau, Khamis, 25 Mac 2021, lalu adalah kali pertama saya mewawancara Dr Mohammad Tawfik Yaakub, Pensyarah Kanan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran (FEP), Universiti Malaya (UM).

Terkejut besar saya bila mendengar kelantangan beliau berhujah menjawab beberapa soalan spontan yang saya kemukakan kepada beliau dalam WEBINAR PINTAR 5 bertajuk “PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2020: KE MANA HALA TUJU UMNO?”

Berikut disertakan beberapa pandangan lantang beliau mengenai hala tuju UMNO:

(1) “UMNO ini perlu belajar.

Apabila diajar yang pertama dalam PRU yang akan datang, jika dia hilang banyak lagi kerusi sehingga hanya kekal mungkin lima kerusi, UMNO akan berubah.

Itu caranya untuk mengajar UMNO supaya berubah dan membentuk satu dinamik politik baru yang lebih kuat.”

(2) “Kalau perubahan tidak dilakukan segera dalam UMNO, PRU 15 ini merupakan satu PRU yang akan membenamkan UMNO itu terus daripada untuk menerajui kerajaan.

Dan bagi saya, saya melihat keberanian dalam UMNO itu perlu diserlahkan dengan kadar segera.”

(3) “Perlu dikorbankan dinosaur-dinosaur purba dalam UMNO ini kerana UMNO ini walaupun umurnya panjang, sebelum merdeka, tetapi UMNO ini tidak belajar daripada BERSATU yang membuang Pengerusinya, UMNO ini tidak belajar daripada MIC yang membuang Palanivel sebagai Presidennya.”

(4) “Saya suka untuk melihat dinosaur purba seperti Presiden mantan Presiden itu tidak ada lagi dalam parti dalam tempoh terdekat.

Kalau nak remajakan UMNO, remajakan dengan betul-betul remaja, bukan setakat jenamakan, tukar nama dan akhirnya jiwa itu jiwa purba.”

(5) “Perlu dikorbankan seorang dua pemimpin tertinggi dalam UMNO itu untuk masa depan UMNO itu sendiri.

Kita tidak boleh mengorbankan parti demi pemimpin tetapi perlu mengorbankan pemimpin untuk parti.”

(6) “Apabila seorang Presiden itu sebenarnya turut digolongkan sebagai Kluster Mahkamah, salah seorang dalam Kluster Mahkamah, dan mustahil bagi saya Presiden akan mengambil tindakan kepada Presiden itu sendiri, jadi adakah Majlis Tertinggi berani atau tidak mengambil pendirian untuk menggantung ataupun merehatkan Presiden ini?

Sebenarnya bergantung kepada keberanian Majlis Tertinggi dan suara yang akan dibawa dalam Perhimpunan Agung UMNO.”

Kamarul Yusoff

Isu Semasa