Menjelang Perhimpunan Agung UMNO yang baru lalu, Prof Dr Sivamurugan Pandian dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), telah menyebut dalam Webinar PINTAR 5 mengenai Hala Tuju UMNO begini:
“UMNO harus melihat bahawa ia harus meningkatkan kerjasama dalam Barisan Nasional.
Banyak tumpuan diberikan secara berlebihan oleh UMNO ke atas hubungan di luar Barisan Nasional tetapi apakah yang telah dilakukan untuk pengukuhan Barisan Nasional?”
Ternyata jangkaan Prof Dr Sivamurugan ini tepat sekali kerana ucapan dasar Presiden UMNO memberikan tumpuan secara berlebihan ke atas hubungan di luar Barisan Nasional tetapi tidak menggariskan langkah-langkah yang akan dilakukan untuk mengukuhkan Barisan Nasional.
Tiga perkara yang dinyatakan oleh Presiden UMNO dalam ucapan dasar beliau yang menyentuh Barisan Nasional dan perlu diberikan perhatian hanyalah:
(1) “Kita ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan komponen Barisan Nasional, MCA, MIC yang setia bersama UMNO sejak 65 tahun lalu, dan juga PBRS.”
(2) “Memahami realiti politik semasa, Barisan Nasional seharusnya bersiap-siaga.
BN telah memutuskan akan menghadapi PRU-15 secara bersendirian.”
(3) “Adakah sesuatu yang mustahil untuk UMNO dan rakan-rakan kongsi politiknya membina “political reset” yang akan mewarnai landskap politik baharu di negara ini?”
Persoalan yang berlegar dalam kepala penganalisis politik sekarang ialah benarkah “BN telah memutuskan akan menghadapi PRU-15 secara bersendirian” seperti dinyatakan oleh Presiden UMNO dan apakah keputusan ini telah dibincangkan oleh UMNO dengan tiga rakan komponen Barisan Nasional, iaitu MCA, MIC dan PBRS?
Apakah nanti tidak mungkin akan berulang lagi insiden memalukan pada 5 Mac lalu yang menyaksikan tiga rakan komponen Barisan Nasional, iaitu MCA, MIC dan PBRS, secara terbuka menyanggah kenyataan Presiden UMNO bahawa BN merayu Yang di-Pertuan Agong supaya menitahkan sidang Parlimen diadakan dengan segera?
Menarik untuk diperhatikan kenyataan Presiden MIC semalam:
“Jika kamu akan berperang, kamu memerlukan kapten. Wajah siapa yang akan menghiasi poster untuk BN?
“Ini perlu diselesaikan. Kita tidak boleh bertanding pilihan raya dengan bendera tanpa kapten.
“Perwakilan MIC ingin tahu apa pendirian kita, dan jika (kita mahu kekal) bersama BN, siapa yang akan menjadi Perdana Menteri berikutnya?”
Kenyataan Presiden MIC ini menarik sekali kerana lazimnya tidak akan dipersoalkan malah akan diterima dengan sepenuhnya bahawa Presiden UMNO selaku Pengerusi BN itulah yang akan menjadi “kapten perang BN” sekali gus akan menjadi Perdana Menteri berikutnya, tetapi bila Presiden MIC masih membangkitkannya maka ia seolah-olah menjadi petanda bahawa MIC sendiri meragui kemampuan Presiden UMNO menjadi “kapten perang BN”.
Begitu juga dengan kenyataan Presiden MCA semalam bahawa, merujuk kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO untuk membawa UMNO keluar daripada kerajaan pada bila-bila masa, “apa saja keputusan yang dibuat oleh BN, ia mestilah keputusan kolektif”.
Ini kerana kenyataan Presiden MCA ini memberikan gambaran bahawa MCA sepertinya masih berbelah-bahagi untuk mendukung hasrat UMNO keluar daripada kerajaan.
Sebab itulah wajar ditanya, tatkala Presiden UMNO melaungkan hasrat untuk BN bersendiri dan membina “political reset”, apakah hasrat ini didukung oleh MCA, MIC dan PBRS?
Kamarul Yusoff