Pemberian lesen motosikal percuma kepada belia kurang berkemampuan di negeri ini disifatkan sebagai bantuan yang cukup bermakna dalam kehidupan setiap anak muda meskipun nilainya kecil bagi segelintir pihak.
Penerima, Rabiatul Adawiyah Mohd Sukri, 16, berkata, program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) yang diperkenalkan kerajaan negeri sejak 2019 merupakan sesuatu yang positif dalam meringankan beban anak muda yang tiada sumber pendapatan.
“Saya berasa amat gembira dan bersyukur kerana kos belajar lesen motosikal telah dibiayai dan saya dapat memanfaatkan sepenuhnya dalam memudahkan urusan harian dan hal-hal kecemasan.
“Contohnya, saya senang bergerak untuk membeli barang di pasar dan untuk pergi beriadah di Bukit Besar. Urusan sebegini dulu susah kerana tiada keupayaan untuk keluar jauh-jauh tanpa lesen,” katanya.
Sementara itu, ibu Adawiyah, Manisah Safie, 42, turut menyuarakan rasa syukur terhadap bantuan diberikan kepada anak keduanya itu sambil menyifatkan ia sangat wajar dilaksanakan.
“Kakaknya juga menerima bantuan LMTS pada tahun lepas dan ia telah membantu keluarga dalam pelbagai urusan antaranya membolehkan urusan hantar adiknya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nilam (SeNILAM).
“Bagi keluarga kami, ini adalah keperluan dan saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam dalam membiayai dan memenuhi keperluan ini,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima dari Kampung Beladau Selat, Noor Farihah Jusoh, 25, turut menyatakan rasa gembira kerana hasratnya untuk mendapatkan lesen secara percuma itu tercapai.
“Saya terus mengambil peluang tersebut pada akhir bulan September dan sekarang. Buat masa sekarang, saya sedang menunggu tarikh untuk menjalani ujian komputer di Institut Memandu Bitara.
“Alhamdullilah dengan kos yang ditanggung, saya tidak perlu risau dan bersusah-payah mengumpul duit, serta ia mengurangkan beban kos yang mencecah RM300 kepada keluarga.
“Insya-Allah, lesen ini akan memudahkan urusan saya ke kerja untuk mengajar di Pasti As-salam, Padang Midin, yang selama ini telah bergantung kepada kenderaan rakan dan keluarga untuk bergerak,” ujarnya.
Walaupun menghadapi kekangan akibat pandemik COVID-19, Farihah dan Rabiatul adalah di antara 15 ribu belia yang disasar dalam perancangan LMTS oleh kerajaan negeri, melibatkan peruntukan RM 5,900,500.00 untuk tahun lalu.