Tindakan Menteri Dan Timbalan Menteri UMNO Untuk Terus Kekal Adalah Langkah Tepat

Tindakan Menteri Dan Timbalan Menteri UMNO Untuk Terus Kekal Adalah Langkah Tepat

Kepemimpinan PAS negeri menyifatkan tindakan para menteri dan timbalan menteri daripada UMNO untuk terus kekal dalam Kabinet sebagai langkah yang tepat.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Kamarudin Sidek berkata, ia berikutan kebanyakan portfolio penting dalam usaha mengekang pandemik Covid-19 dipegang oleh kalangan pemimpin UMNO.

Beliau berkata, pihaknya percaya bahawa agenda penyatuan ummah melibatkan ketiga-tiga parti iaitu PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO sangat penting bagi memastikan orang Melayu tidak hilang kuasa di tanah air sendiri.

“Persetujuan tersebut adalah sesuatu yang penting dalam memastikan usaha mengatasi Covid-19 dapat berjalan lancar.

Ini memandangkan kebanyakan portfolio penting dalam kerajaan pada masa ini dipegang oleh menteri-menteri daripada kalangan UMNO.

“Kami sentiasa berdoa agar kerjasama ini terus kekal selama-lamanya demi mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil pada masa ini dan akan datang,” katanya di sini hari ini.

Ahad lalu, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC) yang dipegang wakil rakyat UMNO perlu meletak jawatan dengan segera susulan keputusan parti menamatkan kerjasama Bersatu dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Katanya, tindakan tersebut adalah perlu sebagai bukti kesetiaan kepada UMNO yang didakwa ‘ditindas’ oleh parti yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan, kesemua mereka terus kekal berada di dalam Kabinet atas kesepakatan setelah menerima nasihat daripadanya.

Muhyiddin berkata, kesepakatan itu dicapai selepas menteri dan timbalan menteri itu menemui beliau pada Isnin, bagi meminta nasihat mengenai kedudukan mereka dalam Kabinet

Dalam Negeri