Anda menonton Forum Perdana Hal Ehwal Islam semalam?
Nostalgia yang sangat terkesan di hati bagi yang menjadi peminat setianya sekitar tahun 80-an dan 90-an.
Masih terbayang-bayang lagi panel-panel lain yang telah dahulu meninggalkan kita semua.
Majoritinya ulamak PAS.
Walaupun dalam masa yang sama mereka menuduh PAS pembawa perpecahan dan sesat.
Tuduhan yang pasti dibawa mati oleh panel-panel itu.
Bagaimana lagi cara si pemfitnah mahu memohon kemaafan?
Saya dapati ada beberapa rumusan yang saya rasakan menarik hati setelah mendengar apa yang disampaikan oleh panel.
Apa yang penting tentang dakwah ialah ilmu.
Apa yang penting tentang ilmu ialah pengkhususan.
Apa yang penting tentang pengkhususan ialah kaedah menyampaikan.
Apa yang penting tentang kaedah menyampaikan ialah akhlak.
Dalam dakwah, perlukan ilmu.
Ilmu terbaik ialah ilmu yang mana didapati dengan bertalaqqi bersama guru yang mursyid yang diketahui dia adalah pembawa ilmu wahyu, sunnah, ijmak dan qias.
Ilmu ini adalah sebenar-benar ilmu kerana ia adalah dari cara yang rasulullah perintahkan kita lakukan, sebagaimana pesan baginda kepada Muaz bin Jabal dalam berhukum.
Ulamak perlukan pengkhususan dalam ilmu mereka.
Mereka mesti mahir dalam sesuatu bidang dan bercakap secara mendalam dalam bidang itu.
Tidak akan timbul masalah bersilang ilmu dia dengan ilmu orang lain.
Ahli ilmu qiraat tidak akan bercakap melebihi ahli ilmu hadis dalam bab sunnah.
Ahli ilmu feqah tidak mendahului ahli ilmu aqidah dalam bab aqidah.
Begitulah seterusnya.
Bagaimana Jaafar bin Abi Talib diperintahkan Rasulullah bagi menerangkan hal keadaan Islam dengan dikaitkan kepada kisah Mariam, telah melembutkan hati Najasyi.
Bagitu juga Hasan bin Tsabit yang merupakan penyair kepada Rasulullah yang dikhaskan mimbar bagi beliau melantunkan syair-syairnya untuk melawan musuh, serta didoakan oleh Rasulullah.
Mereka pakar dalam bidang mereka.
Kaedah menyampaikan dakwah terletak kepada kemahiran diri.
Tidak berebut merampas tempat masing-masing.
Begitu pula akhlak memainkan peranan terpenting dalam menyampaikan dakwah.
Dakwah secara diam ini amat memberikan kesan kepada orang yang didakwah.
Terlalu banyak contoh dakwah melalui akhlak yang telah Rasulullah tunjukkan kepada kita, yang membawa manusia yang buruk perangainya kepada insan terpuji dan terpilih.
Persoalan yang timbul ialah bagaimana seseorang itu sepertinya tahu semua perkara dan mengkritik semua perkara.
Saya tidak mengatakan hal ini kepada musuh jemaah kerana sememangnya itu tugasan mereka.
Tetapi yang saya tujukan ialah seseorang yang perasan dia alim dan semua orang tidak betul yang berada dalam jemaah sendiri.
Ini yang kita panggil sebagai “gila”.
Gila kerana dia rasa dia tahu semua benda.
Gila kerana dia rasa dia betul belaka.
Gila kerana orang lain salah semua.
Gila kerana kononnya rahsia dalaman jemaah juga dia tahu, tetapi dia bukan pimpinan peringkat tinggi.
Gila kerana dia bukan dari kalangan pengurusan tetapi menghentam pengurusan.
Gila kerana dia bukan alim, tetapi merasakan dia lebih alim lagi dari ulamak.
Gila ini sangat bahaya kerana gila ini boleh memusnahkan jemaah dari dalam.
Dan bagi melapik semua perbuatan itu, dia akan katakan, apa yang ana lakukan ini demi jemaah.
Mohon berlindung kita dari gila seperti ini.
Kerana pada kebiasaannya orang seperti ini akhirnya akan terkena fitnah yang mereka fitnahkan itu sebelum mati.
Cara berdakwah seperti ini tidak ke mana perginya.
Dan ia sebenarnya bukan dakwah pun.
Juga yang menarik perhatian saya ialah kata-kata dari ulamak iaitu agama rakyatnya mengikut agama pemerintah.
Benar, sekiranya pemerintah sibuk bercakap berkenaan kemajuan dunia, maka kemajuan dunialah yang menjadi igauan rakyat.
Jika kerajaan menyibukkan diri dengan hiburan, maka hiburanlah yang akan menjadi tumpuan.
Tetapi jika pemerintah mengagungkan ilmu agama, maka, murid yang paling jahil ketika itu, mungkin masih menjadi antara yang teralim di zaman kerosakan umat.
Apa nasib negara kita jika sekiranya pemerintah tidak menekankan elemen agama dalam pembentukan diri remaja.
Dan tidak lama lagi, mereka inilah yang akan memegang kertas undi bagi menentukan nasib negara dengan memangkah calon yang mereka sukai, menurut hati mereka, seawal usia 18 tahun.
Dalam forum juga disebut berkenaan peranan media sosial yang telah mencetuskan ‘arab spring’ dan juga mengenai keabsahan berita-berita yang disebarkan.
Mampukah mereka semuda itu menangani arus fitnah yang menggila ini?
Maka kebimbangan Presiden PAS dengan pengundi umur 18 tahun yang beliau sifatkan tidak matang itu, amat berasas jika dilihat kepada keadaan sekarang.
Soalnya, bagaimana kita mahu mematangkan mereka?
Jangan dibandingkan dengan Usamah bin Zaid yang berusia 17 tahun ketika mengepalai tentera Islam kerana beliau hidup dizaman yang mengutamakan ilmu agama dan diajarkan sendiri oleh Rasulullah saw yang mulia.
Apakah sama zaman kita ini?
Tahniah RTM atas rancangan nostalgia semalam dan juga memberikan sedikit kesedaran tentang dakwah yang sedang berevolusi ini.
Mohd Nasir Abdullah
2 April 2021