Hujung minggu lalu, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) seperti dijangka menarik perhatian.
Umpama menyaksikan sebuah saga politik, PAU menyaksikan pelbagai plot dan twist yang membawa penonton kepada klimaks sebuah pengkisahan.
Cumanya, adakah ia benar-benar membawa kepada jangkaan sebelum tontonan atau sekadar satu lagi anti-klimaks yang membawa kepada sekual membosankan, hanya masa menentukan.
Seperti biasa, PAU masih menyajikan persidangan yang bukan main bersemangat.
Di sebalik kekangan kehadiran yang terhad disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), suasananya tetap meriah.
Paling penting, inilah PAU yang memperlihatkan UMNO kembali bersemangat.
Berbeza benar ketika PAU lalu setelah kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Walaupun ketika itu PAU berlangsung serentak dengan pemilihan kepimpinan parti, ia kelihatan sendu dan sepi.
Walhal lazimnya PAU akan jadi meriah seperti pesta ria setiap kali ada pemilihan.
PAU kali ini jelas memperlihatkan memang ada kelompok berbeza dalam parti itu.
Nafilah apa pun, kenyataan itu tidak dapat disorok lagi.
Kalau sudah saling gertak menggertak, perli memerli dan tunjuk kuat masing-masing secara terbuka, maka apa lagi yang boleh diperkatakan.
Kita faham kalau UMNO mahu menamatkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu tetapi mengapa mahu membakar jambatan sampai mengarahkan menteri-menterinya letak jawatan?
Kurang bijak tindakan itu. Sudah terang lagi bersuluh kerjasama dengan PN hanya bagi membolehkan kerajaan dibentuk, bukannya pakatan untuk pilihan raya.
Jadi, biarlah ia berjalan sehingga habis tempoh.
Tumpukanlah usaha dan fokus untuk betulkan kembali negara.
Sambil-sambil gunakanlah jawatan dan kuasa itu untuk meningkatkan portfolio parti serta menawan kembali hati dan keyakinan rakyat melalui khidmat bakti sebagai persiapan pilihan raya kelak.
Pada waktu ini adalah kurang bijak bagi mana-mana parti sama ada UMNO mahupun Bersatu untuk saling menggertak dan menarik sokongan kerana ia jelas merugikan kedua-dua pihak.
Umpama menang jadi arang, kalah jadi abu, sepatutnya kedua-dua parti harus mewujudkan simbiosis politik dalam ekosistem dan persekitaran kerjasama yang mesra serta terbuka.
Bukan tidak ada ruang untuk perbincangan atau kaedah penyelesaian boleh dilakukan.
Peliknya jalan bersengketa juga yang dipilih.
PAU juga tidak lagi memperlihatkan UMNO fokus terhadap permasalahan sebenar.
Kalau dahulu, perbahasannya banyak mengangkat dan menyentuh isu-isu orang Melayu terutama aspek pendidikan, ekonomi dan agama.
Walaupun kadang-kadang terlampau retorik, sekurang-kurangnya PAU masih mempunyai hala tuju dan fokus terhadap kepentingan orang Melayu.
Namun kali ini berbeza.
Sepanjang PAU, UMNO hanya bercakap tentang mahu kembali berkuasa.
Masih menunjukkan sisi UMNO yang lama dan mengecewakan.
Kecewa juga melihat UMNO setelah kalah dan hilang kuasa masih mahu tunjuk gagah serta bongkak sebegitu.
Sepatutnya PAU boleh digunakan untuk menyatukan semua pihak.
PAU perlu dijadikan medan bagi menggarap idea-idea baharu dan bersifat nasional, bukan sahaja menguntungkan orang Melayu tetapi semua rakyat.
Tambahan pula dalam keadaan sukar sebegini, pengalaman dan kebolehan UMNO semenangnya ditunggu serta amat diharapkan.
Tiada masalah untuk berpolitik.
Memang UMNO sebagai parti politik kena berpolitik.
Namun, politik bukan sekadar untuk berkuasa dan menjadi kerajaan semata-mata.
Ada aspek lain perlu dilakukan parti politik secara berkesan, jauh melebihi dimensi kuasa.
Mungkin aspek inilah yang UMNO perlu pelajari dan faham setelah sekian lama terbiasa dengan kuasa dan pemerintahan.
Amat rugilah UMNO yang setelah kalah dan kembali menjadi kerajaan (walaupun terpaksa berkongsi kuasa dan tidak lagi dominan) masih belum peka dengan realiti politik sekeliling yang sudah jauh berubah.
Sayang PAU kali ini jelas merefleksikan hakikat tersebut.
Mujibu Abd Muis
Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi
Universiti Teknologi MARA)