Tiada Istilah Pekerja Seks, Pelacuran Adalah Satu Jenayah Syariah

Tiada Istilah Pekerja Seks, Pelacuran Adalah Satu Jenayah Syariah

Dalam Islam, pelacuran adalah salah satu bentuk perbuatan zina.

Kedua-duanya melibatkan hubungan seksual di luar hubungan perkahwinan.

Bezanya, pelacuran biasanya dilakukan dengan tujuan mencari wang.

Walaupun Barat cuba mengangkat pelacuran sebagai salah satu profesion yang perlu dilindungi oleh undang-undang, tidak ada sesiapa yang boleh menyangkal bahawa pelacuran adalah satu jenayah di sisi syariat Islam.

Di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559], terdapat beberapa perbuatan yang berkait dengan pelacuran, antaranya, seperti yang berikut:

subseksyen 21(1) – melacurkan diri;perenggan 21(2)(a) – melacurkan isteri atau kanak-kanak perempuan dalam peliharaan;

perenggan 21(2)(b) – menyebabkan atau membenarkan isteri atau kanak-kanak perempuan dalam peliharaan melacurkan diri;

seksyen 22 – muncikari atau menjadi ‘ibu atau bapa ayam’; dan

seksyen 23 – persetubuhan luar nikah.

Bahkan, terdapat juga beberapa perbuatan yang berkait dengan pelacuran merupakan kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan, antaranya, seperti yang berikut:

seksyen 372 – menyalahguna mana-mana orang bagi tujuan persundalan;

seksyen 372A – hidup daripada hasil persundalan atau perdagangkan persundalan;

seksyen 372B – mencari langganan bagi maksud persundalan; dan

seksyen 373 – menguruskan rumah persundalan

Sekiranya ada para wanita yang memilih untuk menjadi pelacur atas faktor ekonomi dan kemiskinan sekalipun, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk kita ‘menghalalkan’ pelacuran kerana pada masa ini pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan telah banyak menyediakan bantuan dan kelas kemahiran percuma khusus untuk golongan wanita menjana pendapatan yang halal dan meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Contohnya, di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YAPEIM), kita ada menawarkan pakej bantuan melalui aktiviti pembiayaan Islam Ar-Rahnu BizNita khusus untuk menyediakan peluang bagi golongan wanita mencari pendapatan dengan cara yang halal dalam bidang keusahawanan.

Saya yakin ada banyak lagi bantuan dan peluang untuk menggilap kemahiran para wanita yang disediakan oleh kementerian-kementerian lain.

Yang kita risaukan adalah, wujud golongan yang memilih industri ini sebagai jalan pintas untuk hidup selesa dan mewah sehinggakan meruntuhkan moral dan nilai masyarakat.

Dalam keadaan ini, normalisasi kegiatan pelacuran sebagai satu profesion hanya akan membuka pintu maksiat seluas-luasnya.

Dari sudut ‘diskriminasi’ kepada mereka yang terlibat dalam industri pelacuran pula, memang benar wujud ancaman keselamatan, keganasan seksual serta risiko terhadap penyakit berjangkit.

Namun, semua isu yang dikatakan ‘diskriminasi’ atau layanan tidak adil ini tidak akan timbul jika industri ini tidak wujud sejak dari awal lagi.

Sektor pelacuran adalah dibina di atas prinsip eksploitasi wanita, maka mengiktiraf ia sebagai satu profesion hanyalah akan menguntungkan sindiket-sindiket pelacuran dan pelanggan.

Ia sama sekali tidak menepati takrifan memelihara hak asasi wanita.

Oleh itu, saya ingin menyeru kepada semua pihak agar menghormati kedudukan undang-undang di Malaysia yang menjadikan pelacuran sebagai satu kesalahan jenayah.

Undang-undang tersebut digubal tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengangkat kedudukan dan martabat golongan wanita bagi menjaga salah satu daripada Maqasid Syariah.

Dalam Negeri