Apabila Perikatan Nasional mengambilalih Kerajaan Persekutuan, ramai di kalangan rakyat menarik nafas lega berakhirnya pentadbiran Pakatan Harapan sebagai Kerajaan Persekutuan.
Dalam masa yang sama, Muafakat Nasional yang diasaskan oleh PAS – UMNO tetap diteruskan mahupun diperkasakan demi untuk melihat masa depan rakyat dan negara makmur dan sejahtera.
“Sedangkan lidah lagi tergigit” itulah perumpamaan yang sesuai diungkapkan dalam mendepani situasi politik dalam negara ketika ini yang agak hangat dan bergelora.
Berlainan pendapat, berselisih faham dan tidak sealiran adalah perkara lumrah dalam sebuah keluarga yang besar namun ia bukan titik penamat untuk mencari solusi mahupun titik persamaan untuk menjernihkan keadaan mahupun menguatkan kembali persaudaraan dan ukhuwah.
Semuanya untuk mempertahankan mahupun memperkuatkan lagi gagasan politik yang ada ketika ini demi untuk masa depan rakyat dan negara.
Gagasan politik yang ada saat ini harus dipertahan, diperkuat dan diperkasa, bukan digoncang, dirobohkan ataupun diberikan ruang mencipta jajaran politik baru yang lebih kurang sama dengan yang terdahulu.
Jajaran politik baharu hanya akan mengembalikan apa yang dikhuatiri oleh kebanyakkan rakyat jelata iaitu era Pakatan Harapan.
Pertahankanlah gagasan politik yang ada saat ini, bukan mencipta jajaran politik baharu yang belum tahu hujung pangkalnya namun sudah tahu kesudahannya.
Demi masa depan rakyat dan negara, Perkasakan Muafakat Nasional, Pertahankan Perikatan Nasional.
Muhammad Khalil Abdul Hadi