PN Dijangka Menang Besar PADA PRU 15

PN Dijangka Menang Besar PADA PRU 15

Perikatan Nasional (PN) dijangka mencatat kemenangan besar pada Pilihan raya Umum (PRU 15) susulan keputusan Barisan Nasional (BN) tidak mahu berkerjasama dengan parti itu dan bertanding sendirian.

Tindakan BN itu juga dilihat akan membawa kepada pertandingan tiga penjuru antara tiga gabungan terbesar iaitu PN, BN dan Pakatan Harapan (PH).

Perkara itu adalah antara dapatan menerusi Kajian Pendapat Awam (KPA): Pro-Pilihan Raya Umum Ke-15 Makmal Forensik Elektoral/Pilihan Raya, Falkulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

KPA itu dilaksanakan menggunakan kaedah temu bual dengan responden melalui telefon membabitkan 4,864 pengundi melalui data pemilih sehingga suku ketiga 2020.

Ketua Penyelidik KPA berkenaan, Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata hasil kajian mendapati 40 peratus daripada pengundi menyatakan PN akan mencatat kemenangan sekiranya suku ketiga 2020.

Katanya, BN dan PH masing-masing mendapat undian 13 peratus dan 11 peratus yang mana pengundi Bumiputra Sabah (BPSBH) iaitu 51 peratus mengundi PN manakala pengundi Melayu memberikan 48 peratus dan pengundi Bumiputra Sarawak (BPSWK) mengundi PN dengan 35 peratus.

Kajian itu juga mendapati 32 peratus India memilih PN, selain menjadi pilihan 23 peratus pengundi Cina.

Sejumlah 13 peratus pengundi BPSBH memilih BN, diikuti 16 peratus BPSWK, Melayu dan India masing-masing (14 peratus) manakala pengundi Cina hanya memberi tujuh peratus.

Bagi sokongan terhadap PH, respondan BPSBH memberikan 14 peratus sokongan, BPSWK (18 peratus), pengundi Cina 20 peratus) dan pengundi India (17 peratus) manakala sokongan pengundi Melayu hanya tujuh peratus.

Kajian sama mendapati kumpulan umur 21 hingga 30 tahun adalah golongan usia paling ramai (43.5 peratus) menyatakan parti PN boleh menang, diikuti kumpulah umur 60 tahun ke atas dengan undian 41 peratus dan kumpulan 40-59 tahun dengan kadar purata 39 peratus.

Bagi BN, sokongan kumpulan umur 21-39 tahun, 40-59 tahun dan umur 60 tahun masing-masing adalah 12 peratus, 11.5 peratus dan 16.3 peratus.

Undian bagi PH mengikut kategori usia mencatat purata sokongan 11 peratus untuk tiga kategori kumpulan umur pengundi.

“Itu bermakna semua tahap umur daripada yang muda hingga ke warga emas menyatakan PN akan menang sekiranya berlaku persaingan tiga penjuru,” katanya.

Kajian itu dijalankan bagi mendapatkan persepsi awam terhadap kepemimpinan negara, mengenal pasti sumber perolehan maklumat mengenai dasar dan politik semasa serta mengenalisis pengaruh media dalam membentuk trend sokongan.

Seramai 58 peratus pengundi lelaki dan 42 peratus wanita terbabit dengan kajian awam itu diambil daripada 83 kawasan Parlimen mengikut wilayah geografi di seluruh negara yang dijalankan dari 7 hingga 10 Febuari lalu.

Kajian itu juga mengajukan soalan mengenai pemimpin yang dipilih responden, dengan empatnama pemimpin utama dipilih iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat 55 peratus sokongan, diikuti Datuk Seri Anwar Ibrahim (lapan peratus) dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Najib Razak masing-masing mendapat dua peratus.

Mohd Fuad berkata, secara keseluruhannya, kajian menunjukkan populariti Muhyiddin masih mengatasi pemimpin lain seperti Anwar dan Ahmad Zahid.

“Sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru dalam PRU 15, PN mempunyai kelebihan untuk menang dan majoriti pengundi mahukan PN terus menerajui negara.

“Media sosial banyak mempengaruhi pengundi, namun media elektronik amat dipercayai oleh pengundi dalam menyebarkan maklumat dasar negara dan isu semasa serta politik,” katanya.

Berita Harian

Politik