Pengorbanan Kepada Jemaah

Pengorbanan Kepada Jemaah

Minggu lepas setelah selesai menjalani kurantin wajib dan mendapat surat kebenaran, aku ke Sendayan atas tujuan seminar.

Setelah ‘check in’ aku segera ke rumah sahabat aku, yang berada kira-kira dua kilometer dari hotel aku menginap.

Daripada mula sewaktu aku memberitahu yang aku akan ke Sendayan, dia terus mengajak aku ke rumahnya untuk bertemu dan makan di rumahnya.

Alhamdulillah selesai petang itu kami berjumpa, pada keesokkan harinya pula, dia menjemput sekali lagi aku ke rumahnya untuk makan malam, nasi maqlubah istimewa katanya.

Habis seminar hari pertama, aku pun pergi ke rumahnya.

Dua hari bertemu, beberapa jam kami habiskan untuk bercakap mengenai politik.

Memang tidak puas berbincang hal semasa dengan Wan Nordin Wan Yaacob, Ketua Pengarang Harakah.

Selalu aku meminta pandangan beliau untuk menulis dari sudut yang dikehendaki oleh parti, supaya tidaklah lari maksud tulisan aku dengan kehendak Jemaah.

Dan sememangnya peluang sebegini amatlah berharga bagi aku untuk menulis.

Sebenarnya, aku telah lama berhajat ke rumahnya kerana ingin menziarahi beliau yang mendapat ujian sakit tulang belakang yang agak kronik tahun lepas.

Tetapi waktu itu, aku berada jauh di luar negara.

Hanya mampu melihat gambar sahaja.

Apa yang kami berdua bincangkan, bukanlah tujuan dalam penulisan ini, tetapi apa yang terlintas dalam fikiran aku ialah pengorbanan beliau kepada jemaah, berbanding dengan pengorbanan kita.

Memiliki M.A dalam bidang linguistik, beliau memberikan komitmen sepenuhnya kepada tugasan beliau di Harakah.

Seperti mana yang kita maklum, kerja untuk jemaah, bukanlah lubuk bagi mencari kemewahan dalam mana-mana bidang pun.

Ditambah dengan isterinya juga mempunyai masalah kesihatan iaitu hilang pendengaran sepenuhnya telinga sebelah kanan.

Alhamdulillah isterinya telah memasang alat bantuan pendengaran.

Dengan kesakitan dirinya dan masalah kesihatan isterinya, Wan Nordin tetap dapat menyiapkan tugasan rasminya.

Kini walaupun WFH, tetapi akan tetap ke pejabat Harakah sesekali untuk bermesyuarat.

Beliau memberitahu aku yang hampir semua pimpinan PAS sudah datang menziarahi beliau.

Alhamdulillah, begitulah cakna pimpinan PAS.

Sampai kepada tujuan aku menulis iaitu, apabila kita melihat pimpinan PAS turun menziarahi beliau, apakah perasaan kita terhadap beliau?

Ramai antara kita mengkritik pengurusan Harakah, tetapi apakah sumbangan kita kepada media parti ini.

Wan Nordin dan anak buahnya, bertungkus lumus menyediakan bahan bagi menerangkan maklumat parti kepada anda semua.

Sebaliknya terkadang penghinaan yang diperolehi.

Aku dapat rasakan kesedihan beliau dengan keadaan ini.

Pastinya bukanlah kemuliaan yang dicari, tetapi cukuplah dengan memberikan semangat bagi beliau dan pasukannya meneruskan perjuangan.

Apatah lagi dengan kondisi beliau yang lemah, tekanan pula diberikan kepada beliau oleh sebahagian pembaca.

Pernah rasa mahu meletakkan jawatan, tetapi jemaah meminta beliau kekal.

Dan beliau akur.

Kepada anda semua, aku ingin mencadangkan untuk membantu Wan Nordin sebagai menunjukkan kita menyokong kerja keras beliau ini.

Saya percaya ramai kalangan ahli PAS di luar sana, amat ingin membantu orang seperti Wan Nordin, tetapi tidak tahu bagaimana.

Jika pimpinan PAS mengakui peranan besar yang dimainkan beliau, maka kita juga sepatutnya bersama dengan pimpinan kita.

Dan pimpinan sudah melakukannya, tetapi anda, belum lagi selesai.

Apa salahnya disebalik cemuhan yang diterima dari musuh dan kadang-kadang oleh ahli sendiri dengan gelaran Harakahdelay dan sebagainya, dengan keadaan kesihatan yang agak uzur, dan masih menerima rawatan (kini rawatan tradisional), darah tinggi dan saraf, kita bantu keluarga Wan Nordin.

Lebih lagilah pada hari Jumaat dan dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

Ini bukan derma biasa-biasa kerana tiada wang, tetapi ia adalah sumbangan untuk sama-sama memberikan semangat kepada beliau.

Jika anda fikir cadangan aku bagus dan baik, anda boleh menyalurkan sumbangan anda terus ke akaun beliau, Maybank Wan Nordin Wan Yaacob 1550 1540 2284.

Semoga amalan kita diterima Allah dan mencapai tujuan kita inshaallah.

Atau anda mungkin boleh menempah nasi maqlubah beliau yang sudah aku nikmati tempohari.

Beliau menerima tempahan.

Alhamdulillah rasanya mencapai kualiti yang sedap.

Ayamnya sangat lembut.

Bulan puasa, lagilah aku tak menipu bro.

Sama juga dibulan-bulan lain.

Bukan sekadar promosi tetapi aku bagitahu apa yang aku rasa, ia sedap.

Cubalah, bagi yang jauh, mungkin boleh minta beliau sedekahkan kepada orang lain.

0163039717 Wan Nordin

Mohd Nasir Abdullah
16 April 2021

Kesihatan