Apabila hati subur dengan keimanan yang jitu, maka akan melahirkan akhlak yang tinggi nilainya dalam hubungan seseorang dengan Allah dan sesama manusia, apabila diri orang beriman mekar dengan sifat syukur, sabar, sayang dan ikhlas kepada Allah SWT dan sesama hamba-Nya.
Mereka yang beriman itu merasai erti kelaparan sebagaimana orang fakir miskin berlapar, seterusnya kegembiraan pada masa kenyang membawa kesyukuran.
Apabila berbuka puasa, orang beriman bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat yang diberikan seperti nikmat makanan yang berada di hadapannya adalah lebih baik dibandingkan saudara lain yang lapar kerana kebuluran, ditimpa bencana atau dilanda peperangan.
Oleh hal yang demikian, orang Islam terdidik supaya tidak membazirkan harta yang dianugerahkan oleh Allah SWT sesuka hati dan digalakkan agar mengeluarkan derma atau zakat kepada mereka yang memerlukan.
Selain itu, ibadat puasa juga tidak membezakan hamba Allah SWT baik dari segi pangkat mahupun harta benda.
Sekali gus menyedarkan semua manusia bahawa mereka masih berada di bawah naungan Allah SWT dan limpah kurnia-Nya, untuk beribadat dan saling membantu sesama hamba-Nya.
Orang yang sentiasa berlapar akan dapat mengawal nafsu jahat yang sentiasa menghasut diri supaya melakukan kejahatan.
Orang yang tidak berasa lapar tidak akan mengenali nikmat makan dan minum dalam erti yang sebenar, kerana mereka lupa bahawa rezeki adalah daripada Allah SWT yang berkuasa mengambil semula rezeki daripada hamba-Nya pada bila bila masa.
Firman Allah SWT:
وَمَا خَلَقۡتُ الۡجِنَّ وَالۡاِنۡسَ اِلَّا لِيَعۡبُدُوۡنِ ﴿51:56﴾ مَاۤ اُرِيۡدُ مِنۡهُمۡ مِّنۡ رِّزۡقٍ وَّمَاۤ اُرِيۡدُ اَنۡ يُّطۡعِمُوۡنِ ﴿51:57﴾ اِنَّ اللّٰهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الۡقُوَّةِ الۡمَتِيۡنُ ﴿51:58﴾
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. (56);
“Aku tidak sesekali menghendaki sebarang rezeki pemberian daripada mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku. (57);
“Sesungguhnya Allah Dialah sahaja yang Memberikan rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya, dan Dialah sahaja) yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi yang Maha Kuat Kukuh kekuasaan-Nya. (58).”
[Surah al-Zariyat: 56-58]
Firman Allah SWT lagi:
قُلۡ اَرَءَيۡتُمۡ اِنۡ اَصۡبَحَ مَآؤُكُمۡ غَوۡرًا فَمَنۡ يَّاۡتِيۡكُمۡ بِمَآءٍ مَّعِيۡنٍ ﴿
“Katakanlah lagi: Bagaimana fikiran kamu, sekiranya air kamu hilang lenyap (ditelan bumi), maka siapakah (selain Allah) yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?”
[Surah al-Mulk: 30]
Orang yang tidak pernah berlapar pula, sukar untuk melatih dirinya supaya bersabar.
Bayangkan dalam sehari semalam dia menganggap dirinya sudah berkuasa apabila dapat menikmati makanan dan minuman semahunya.
Tabiat itu dibawa dalam kehidupan seharian sewaktu memandu kenderaan, bekerja, bersukan dan sebagainya.
Akibatnya dia menjadi mudah marah, memaki hamun dan sebagainya apabila gagal mendapat sesuatu yang diingini.
Abdul Hadi Awang
PRESIDEN PAS