Rindu.
Rupanya sudah setahun lebih tidak menjejakkan kaki ke sana.
Kenapa coretan ini ditulis ada di perenggan terakhir.
Teringat ketika berumur 7 tahun, pertama kali menjejakkan kaki ke sana.
“Besarnya masjid ni, ramainya orang.”
Masa tu tak faham kenapa bapa saudara ajak pergi ke masjid yang begitu jauh dari rumah.
Masa dalam perjalanan tu memang tak gagal untuk terlelap.
Sepanjang perjalanan 10 KM hanya nampak paya, rumah, pantai dan matahari terik.
Motor diparkir di satu kawasan redup, ada pohon yang rendang.
Di sebelah hanyalah rumah-rumah kampung.
Kawasan pintu masuk yang ini terus boleh ke dewan solat utama dari sebelah kanan.
Berbanding pintu masuk sebelah selatan yang penuh dengan orang, dekat sini rasa nyaman dan gelap.
Tiba-tiba saja saya sesat.
Tak perasan ‘motion image’ bapa saudaraku hilang dari retina mata.
“Ahh sudah! Mana ‘uncle’?”.
Menangis seorang diri sebab leka dan lalai.
Yalah, budak darjah 1 mana pernah sendirian.
Bila perasan ada yang memandang saya yang menangis, saya beranikan diri dan duduk di sebelah dinding belah luar dewan solat utama.
Baru jam 12.30, tidur dulu.
Masa itu bangga betul dapat tengok jam, ramai kawan sekelas belum pandai tengok jam, tapi mereka pandai membaca.
Saya pula pandai membaca darjah 4.
Lagi cepat belajar mengira daripada membaca.
“Dik, dah ambil wuduk?”, ada seorang pemuda kejutkan.
Beberapa saat mengelamun lalu azan pun berkumandang.
Bangkit dan berjalan ke bearing 090 dari titik sendiri sejauh 5 meter, usai wuduk tempat tadi sudah diambil orang.
Terkejut bila tengok sehingga jauh ke belakang sudah penuh.
“Aik? Tadi tak ada orang.”
Masa tu memang rasa berdikari dan dewasa, yalah, budak darjah 1 yang tak pernah sendirian dan takut sendirian.
Bangga sekejap rasa, sebelum sambung menangis.
Jalan jauh ke belakang jumpa juga tempat kosong.
Mata sudah sedia untuk lelapkan diri (saya masih budak darjah 1 ketika itu) lantas azan kedua berkumandang.
Usai azan khatib mula membacakan khutbah.
Mata mengantuk memandang sekeliling, dan pandangan asyik terpaku dengan tanda baca “Sila Matikan Telefon Anda” dengan logo TM yang kecil.
Tapi suara serak khatib ini seperti ‘familiar’.
Sebagai seorang kanak-kanak yang agak perlahan perkembangan IQ, biasanya saya tidak akan fokus pada apa pun.
Tapi suara serak khatib ketika itu buat saya terjaga dan tertarik.
Sudah lupa tentang apa namun seronok dengar, bagaikan dengar seseorang bercerita kisah nabi, tapi penceritaannya lain daripada yang selalu dengar dari ustazah di sekolah dan guru mengaji.
Habis solat jumaat saya kembali ke tempat wuduk awal tadi.
Saya sangkakan uncle sudah tunggu saya rupanya dia masih solat sunat di dalam.
“Faris, jom ikut uncle.”
Dekat luar tu uncle ajak beratur, tak tahulah barisan untuk apa ini. Setelah 3 minit beratur keluar satu susuk berjubah putih.
“Tok Guru Hari Jadi!”, ketika itu tak tahu membaca tapi nama tersebut ikut-ikut sahaja sebutan orang selama ini.
Jangan marah saya.
Tuan Guru Haji Abdul Hadi sendiri, berjalan ke arah rumah kayu dengan pagar usang.
Rupa-rupanya itu barisan untuk bersalam dengan beliau.
Ketika itu rasa begitu takjub, tak tahu jumpa dalam ‘real life’.
Yalah, sebagai budak darjah 1 saya tiada ‘sense of time and place’.
Sejak hari itu, setiap jumaat Masjid Rusila pasti menjadi lokasi pilihan.
Setelah sekolah menengah tolong uncle jual sayur di pasar Masjid Rusila yang meriah, dapat dengar sekali kuliah dhuha.
Masjid Rusila menjadi contoh terbaik kepada pengertian masjid dalam buku Pendidikan Agama Islam di sekolah, sebagai pusat masyarakat.
Disana ada pasar, ada sekolah tahfiz, tempat keluarga meluangkan masa, tempat program, ada gelanggang futsal dan tempat orang ramai berkunjung bila hujung minggu.
Panjang lagi memoir di sana sepanjang pernafasan selama 24 tahun ini, tapi biarlah setakat ini.
Walaupun macam boleh ke sana, namun buat masa ini biarlah diri memakmurkan masjid kampung sendiri, sekurang-kurangnya sehingga wabak beransur hilang dari muka bumi.
Kenapa tulis ini?
Semalam terbaca di facebook bahawa TGHH sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara.
Saya mohon semua turut mendoakan kesihatan permata ummah nusantara ini.
Semoga Allah SWT memanjangkan umur beliau. InsyaAllah.
Oleh: Faris Hakim