Ada orang tanya aku, ada jawapan tak dengan dakwaan yang PAS dahulu masa jadi pembangkangpun lawan fatwa-fatwa mufti juga.
Jadi kenapa sekarang nak bising-bising marahkan orang lain yang tidak berpuashati dengan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh mufti-mufti?
Aku kata, aku ada jawapan untuk soalan itu.
Walaupun nampak macam membazir masa menjawab soalan yang begitu, tetapi sebab ia mungkin boleh memberikan imej yang buruk kepada PAS, atas persepsi dari kalangan orang jahil, maka aku rasa perlu dijawab.
Yang tidak bersetuju dengan mufti kerajaan semasa PAS menjadi pembangkang ialah ulamak-ulamak PAS, bukan budak-budak jahil macam dia orang.
Antara ulamak-ulamak kerajaan dan ulamak PAS ini, terlalu ramai yang belajar bersama, tinggal bersama, satu guru, satu kelas malah pernah bekerja bersama di dalam kerajaan.
Maka ilmu yang kedua-duanya ada dalam bidang masing-masing, hampir sama.
Malah terkadang, ulamak PAS boleh dikatakan lebih ke hadapan dengan keberaniannya bersuara berbanding dengan ulamak kerajaan yang makan gaji, tanpa kita menuduh mereka rela melakukan itu, tetapi mereka jelas tersepit.
Ada yang memberikan contoh, harimau liar, lebih digeruni berbanding dengan harimau di dalam zoo.
Perlu difahami, fatwa ialah satu pandangan yang dikeluarkan apabila sesuatu keadaan itu tiada hukum jelas dalam al-Quran dan hadis.
Sebab itu terlalu bodoh jika ada yang bertanya kenapa mufti tidak mengeluarkan fatwa haram meminum arak.
Apa hukum untuk kesalahan minum arak, sudah jelas dalam al-Quran, nak fatwa apanya lagi?
Oleh kerana pandangan dalam fatwa yang dikeluarkan mufti tidaklah qate’i, iaitu hukum muktamad, yang tetap dan kekal seperti al-Quran dan hadis sahih, maka ia boleh diubah, dilawan.
Tetapi itu semua, hanya boleh dilakukan oleh sekumpulan ulamak lain, dengan dalil-dalil lain yang dibawa mereka.
Bukan orang seperti kamu, langsung tiada ilmu.
Sebab itu dalam kes pertuduhan liwat Anwar, PAS marahkan ulamak kerajaan kerana tidak bertindak ketika itu.
Adapun kebencian PAS kepada Anwar sekarang, berkaitan dengan beliau yang tidak mahu melepaskan DAP yang jelas menentang PAS dalam hal keagamaan, itu perkara lain.
Pada satu fatwa berkenaan pertandingan ratu cantik oleh almarhum Mufti Selangor, Dato’ Ishak Baharom, fatwa itu disokong oleh PAS tidak berbelah bahagi, sehingga beliau dipecat dari jawatan beliau.
Maka bukan semua fatwa oleh mufti kerajaan dibantah oleh PAS.
Ada juga PAS mendiamkan diri sahaja.
Jadi bangkangan PAS terhadap fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh mufti-mufti kerajaan dahulu, ada asasnya iaitu al-Quran dan hadis juga, mungkin berbeza paradigma atau penafsiran.
Oleh itu, walau dituduh dengan bermacam-macam gelaran, tohmahan, cacian atau fitnah, PAS tetap tidak dianggap sesat dan dikenakan tindakan atas kesesatannya oleh kerajaan, samada BN atau PH.
Mungkin kamu boleh bertanya kepada ibu bapa kamu, kerana rasanya kamu masih belum wujud lagi, sekitar tahun 1985, kerajaan memerintah ketika itu, mahu mengadakan debat dengan ulamak PAS.
Jika ulamak PAS sesat atau tidak diiktiraf, mana mungkin mereka mahu berdebat.
Kemudiannya kira-kira 10 tahun selepas itu, diadakan juga debat olok-olok mahu melawan ulamak PAS.
Dan kamu tahu, PAS menang dalam debat olok-olok itu dengan hujah dari bekas pimpinan PAS.
Oleh itu, jelas dan nyata, ulamak PAS hanya mahukan yang terbaik kepada semua.
Bangkangan mereka kepada fatwa-fatwa mufti kerajaan dahulu ketika menjadi pembangkang adalah kerana kelayakan berdasarkan ilmu mereka.
Jangan dibandingkan dengan diri kamu itu.
Mohd Nasir Abdullah
6 Mei 2021