Israel tidak menjangkakan berlakunya kebangkitan penduduk dari negara sekitarnya seperti Jordan, Syria, Lubnan, Iraq dan Mesir.
Bagi mereka, serangan kali ini akan menjadi seperti serangan sebelumnya yang memakan masa beberapa hari dengan korban yang banyak dari pihak Palestin.
Sebenarnya Israel sangat yakin dengan strategi mereka memecahkan dan mengkucar kacirkan negara Arab sekeliling mereka sejak sekian lama.
Kalau diperhatikan dengan cermat, semua negara yang mengelilingi Israel sudah musnah.
Negara Jordan wujud kerana pengkhianatan yang dilakukan oleh Sharif Hussin.
Ketika Uthmaniyyah masih berkuasa, Sharif Hussin memimpin kebangkitan Arab untuk merampas kekuasaan dari Uthmaniyyah.
Sharif Hussin menggunakan sentimen “orang Arab mesti memimpin dunia Islam”, sedangkan Uthmaniyyah adalah daripada bangsa Turki.
Lebih malang, Sharif Hussin berkomplot dengan Mc Mahon, seorang diplomat British untuk menjayakan agendanya.
Pendek cerita, Sharif Hussin dikhianati oleh British untuk memimpin Hijaz (Arab Saudi sekarang).
Lalu, untuk memujuk Sharif Hussin, British wujudkan negara baru iaitu Jordan dan diletakkan Sharif Hussin di sana.
Begitu rendah martabat tanah Islam.
Syria pula masih bergolak sehingga sekarang akibat perang saudara.
Rakyatnya diapikan dengan sentimen Sunni-Syiah.
Populasi Syiah yang minoriti tetapi menguasai pemerintahan negara sememangnya akan menjadi bom jangka buat Syria.
Manakala di Syria pula di mana akibat konflik yang berlaku menyebabkan masuk campur kuasa asing.
Keadaan lebih buruk, kuasa asing berkenaan menaja kumpulan pemberontak untuk melawan rejim Basyar Al-Assad.
Basyar pula kiblatnya adalah Rusia, AS pula adalah pesaingnya.
Jadi AS akan menaja kumpulan pemberontak, manakala Rusia akan membantu tentera kerajaan melawan pemberontak.
Hasil minyak dicuri, rakyat berbunuh-bunuhan.
Berita yang sampai kepada umat Islam Malaysia adalah video penyokong-penyokong Basyar mencium dan menyembah gambar Basyar dengan sangat fanatik.
Kemudian didorongkan dengan sentimen Sunni-Syiah.
Sedangkan individu dalam video tersebut pun kita belum pasti benar samada pelakon atau tidak.
Lubnan begitu juga, pemerintahan Lubnan terpecah kepada dua.
Satu kawasan dikuasai oleh kerajaan Hariri, satu kawasan lagi dikuasai oleh kumpulan Hizbullah.
Kita sendiri menyaksikan pembunuhan Rafiq Hariri yang sehingga hari ini tidak diselesaikan.
Kemudian, selepas berlaku letupan di pelabuhan Lubnan akibat gudang simpanan ammonium yang meletup.
Satu persatu insiden dan pergolakan politik Lubnan berlaku.
PM mereka meletakkan jawatan dan sebagainya.
Menggambarkan suasana politik mereka yang tidak stabil.
Tetapi ketidakstabilan tersebut sepertinya tidak menjejaskan wilayah yang dikuasai Hizbullah.
Hizbullah adalah kumpulan Syiah yang dipimpin Hassan Nasrullah.
Perkara ini juga akan menjadi bom jangka kepada Lubnan.
Mesir pula lebih lama pergolakannya. Mesir negeri Sunni yang berkiblatkan Amerika Syarikat.
Mereka menjadi sekutu AS akibat kemiskinan negara mereka.
Kemiskinan itu pula kerana pergolakan politik yang tidak pernah aman.
Mesir menjadi kubu utama Ikhwanul Muslimin (IM).
Menjadi pencabar utama kerajaan Mesir pimpinan Jamal Abdul Nassir yang merupakan seorang nasionalis.
Sehinggalah tahun 2012, IM berjaya mendapatkan kuasa politik Mesir secara sah.
Akibat tidak cermat memimpin, kuasa asing tidak dapat duduk diam dengan kebangkitan Islam di Mesir melalui Morsi.
Lalu, dikomplotlah gerakan Kudeta untuk menjatuhkan Morsi pada tahun 2013.
Hanya setahun sahaja IM berjaya memimpin.
Hari ini, Mesir merupakan antara negara yang mendapat bantuan dana terbesar daripada AS.
Menjadikan mereka umpama lembu dicucuk hidung.
Tidak mampu memimpin dengan sendiri tetapi sebaliknya ditunjukkan oleh orang lain cara memimpin.
Kesemua pergolakan politik ini telah menghapuskan fokus negara Arab daripada membebaskan Palestin.
Mereka sibuk dengan pergolakan sendiri, politik mereka menjadi tidak aman dan setiap waktu mereka ketinggalan pada sudut pendapatan negara dan teknologi persenjataan untuk mencabar Israel.
Israel menjadi aman sehingga hari ini kerana faktor tersebut.
Fahamlah kita bahawa geopolitik tidak bergerak dengan mudah, mestilah dikaji dengan mendalam supaya tiada kenyataan kita yang merugikan umat Islam seperti fatwa UAE yang membenarkan normalisasi dengan Israel.
Abdul Razak Ramli