Jurucakap Briged Al-Qassam, Abu Ubaidah menegaskan pihaknya telah bersiap sedia dengan roket yang lebih besar untuk menyerang Israel sama ada di utara mahupun selatan.
Bagaimanapun, katanya Briged Al-Qassam menggantung serangan pada waktu bermulanya gencatan senjata dengan zionis Israel.
Perkembangan itu dimaklumkan Pengerusi Sekretariat Aid4Palestine, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, pagi ini.
“Kami sebenarnya telah bersiap sedia dengan roket yang lebih besar untuk menyerang Israel baik di utara mahupun selatan, tetapi kami memberi maklum balas kepada misi damai.
“Kami menggantung serangan pada waktu bermulanya gencatan senjata. Apa yang menyebabkan kami menghentikan serangan ialah apabila pihak musuh iaitu rejim zionis Israel memberi respons terhadap gencatan senjata tersebut lewat malam ini (waktu Gaza),” ujarnya.
Seramai 232 rakyat Palestin telah terkorban dalam masa 11 hari berlangsung pertembungan antara rejim zionis Israel dengan Hamas, Jihad Islami serta beberapa lagi kumpulan pejuang Palestin.
Angka itu termasuk 65 kanak-kanak, 39 wanita, 17 warga emas termasuk lebih 1,900 orang yang mengalami kecederaan sementara di pihak rejim zionis Israel pula, seramai 12 orang terbunuhn termasuk dua kanak-kanak.
Dalam tempoh itu, lebih 90,000 rakyat Palestin telah kehilangan tempat tinggal akibat daripada bedilan roket rejim zionis Israel yang memusnahkan kediaman mereka.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dikecam teruk oleh penentangnya, wartawan Israel dan pendatang haram Yahudi terutamanya yang tinggal di Semenanjung Gaza akibat kegagalannya meneruskan operasi ke atas Semenanjung Gaza dengan menggambarkan ia adalah gencatan senjata yang sangat memalukan dengan menyerah kalah kepada pejuang Palestin.
Dalam perkembangan berkaitan, Norwegian Sovereign Fund, salah satu dana pelaburan terbesar dunia bertindak melupuskan pegangannya dalam dua syarikat Israel kerana ada kaitan dengan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.