Jumaat ini jam 2.00am bermulanya gencatan senjata yang diusahakan oleh Mesir di antara Hamas yang mentadbir Semenanjung Gaza dengan regim zionis Israel yang menjajah Palestin.
Ia juga menamatkan pertempuran sengit yang berlangsung selama 11 hari di antara sayap tentera Hamas Briged Al Qassam, Jihad Islami, Saraya Al Quds dan beberapa lagi kumpulan pejuang Palestin dengan tentera regim zionis Israel yang menyaksikan terkorbannya 232 orang rakyat Palestin termasuk 65 kanak-kanak, 39 wanita dan lebih 1900 yang lain cedera akibat pengeboman berterusan tentera udara regim zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza.
Ketika ini, puluhan ribu rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat memenuhi jalanraya menyambut dengan gembira gencatan senjata tersebut dan juga kemenangan menghalang serta menumpaskan tentera regim zionis Israel dari terus bermaharajalela meluaskan wilayah yang didudukinya seperti apa yang berlaku di Sheikh Jarrah, sebuah penempatan majoriti rakyat Palestin yang terletak di timur Baitulmaqdis.
Peristiwa kebangkitan rakyat Palestin terutamanya di Semenanjung Gaza berikutan pengusiran ramai penduduk Palestin yang telah menetap sejak sekian lama di Sheikh Jarrah dan pencerobohan polis serta tentera regim zionis Israel ke atas Masjidil Aqsa beberapa minggu lalu banyak meninggalkan persoalan kepada kita semua umat Islam di seluruh dunia mahupun dalam negara bilakah Palestin akan bebas dari cengakaman penjajahan regim zionis Israel.
Gencatan senjata kali ini juga mahupun perjanjian damai bukan yang pertama buat Palestin dan regim zionis Israel malah setiap kali diadakan gencatan senjata ataupun perjanjian damai, regim zionis Israel akan terus mencabulinya dengan meluaskan penjajahan wilayah yang ditaklukinya, mengusir penduduk Palestin dari kampung halaman mereka, menembak mati dan membunuh selain dari menindas dan menzalimi rakyat Palestin.
Dipercayai juga gencatan senjata kali ini tidak akan bertahan lama kerana selain dari isu berpanjangan Palestin-Israel seperti penjajahan, kezaliman dan penindasan, Perdana Menteri regim zionis Israel Benjamin Netanyahu dipercayai mengunakan isu ini terutamanya pengeboman ke atas Semenanjung Gaza dan nyawa rakyat Semenanjung Gaza sebagai umpan untuk meraih sokongan parti ultra nasionalis berhaluan kanan zionis ke atasnya untuk menubuhkan kerajaan campuran yang telah lama tertangguh akibat kekurangan majoriti untuk menubuhkan kerajaan.
Sehingga saat ini walau telah mengebom Semenanjung Gaza selama 11 hari dan ratusan nyawa rakyat Palestin telah terkorban, Benjamin Netanyahu masih belum memperolehi sokongan tersebut malah pengistiharan gencatan senjata yang diumumkan Israel lewat malam Khamis lalu menerima kecaman hebat dari ahli politik Israel, majoriti penduduk Israel dan media Israel dengan menyifatkan Benjamin Netanyahu sebagai pengecut dan pengkhianat dengan menyerah kalah kepada pejuang Palestin.
Walaupun begitu, kekejaman pengeboman berterusan regim zionis Israel ke atas Semenjung Gaza kali ini banyak mengubah dinamik sokongan dunia terhadap Palestin.
Terdapat ramai ahli politik Amerika Syarikat seperti Alexandria Ocasio-Cortez, Bernie Sanders, Ilhan Omar, Rashida Tlaib dan beberapa lagi ahi parti Demokrat secara terbuka mengutuk dan menentang tindakan Israel.
Begitu juga terdapat beberapa ahli politik dari negara-negara Eropah mengecam tindakan Israel kali ini yang mana ia amat jarang berlaku sebelum ini.
Begitu juga sokongan warga dunia di mana kali ini begitu banyak perarakan dan demonstrasi besar-besaran di bandar-bandar utama dunia membantah tindakan pengeboman regim zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza dengan dihadiri oleh ribuan orang seperti di New York, Los Angeles, Doha, Islamabad, Tehran, London, Berlin dan banyak lagi bandar utama dunia.
Kali ini juga ramai aktivis-aktivis dari seluruh dunia, orang-orang ternama dan artis ternama dari Hollywood turut secara terbuka mengecam kekejaman regim zionis Israel seperti Desmond Tutu, Tawakkol Karman, Mark Rufallo, Roger Waters dan ramai lagi yang mengutuk kekejaman regim zionis Israel mengebom secara tanpa henti ke atas Semenanjung Gaza.
Malah pertubuhan-pertubuhan badan bukan kerajaan utama dunia seperti Human Right Watch, Amnesty International dan banyak lagi yang tanpa segan silu mengelar Israel sebagai sebuah negara apartheid yang sewajarnya gelaran tersebut telah lama diberikan.
Apa pun dengan gencatan senjata terbaharu ini, nasib dan masa depan rakyat Palestin masih lagi kabur serta masih belum dapat dipastikan lagi penamatnya selagimana regim zionis Israel masih lagi menjadi penguasa mahupun pejajah bumi Palestin. Namun mungkin saat ini semuanya bakal berubah, ia mungkin petanda awal untuk Israel berkubur selamanya.
Israel Negara Apartheid
Apartheid sememangnya sinonim dengan apa yang berlaku di Afrika Selatan dari tahun 1948-1990.
Apa yang berlaku di Afrika Selatan ketika itu adalah “systematic institutional racial segregation” yang bermaksud pemisahan kaum secara sistematik yang berperlembagaan di mana di Afrika Selatan ketika itu berlaku pemisahan kaum secara sistematik yang berperlembagaan atau dengan penguatkuasaan undang-undang di mana kaum kulit hitam ketika itu dipisahkan kehidupan sosial mereka, pekerjaan dan lain-lainnya dari kaum kulit putih.
Kaum kulit putih diberikan keutamaan atau menjadi tuan dalam apa jua keadaan.
Kaum kulit hitam yang sememangnya berasal dari Afrika Selatan dan mendiami tanah air mereka sendiri, sejak mula diperkenalkan undang-undang apartheid pada tahun 1949 menjadi hamba, ditindas dan dizalimi di tanah air mereka sendiri.
Mereka diasingkan dari kehidupan sosial dan tidak boleh bercampur dengan kaum kulit putih.
Penempatan mereka jauh dari kawasan bandar utama seperti pendalaman, sektor pekerjaan yang dibuka kepada kaum kulit hitam kebanyakkannya adalah buruh kasar, mereka tidak boleh membeli rumah di kawasan orang kulit putih, tidak boleh bersama dalam satu-satu kawasan, bangunan atau majlis sosial dan lebih tepat lagi kaum kulit hitam tidak boleh bersama kaum kulit putih dalam apa jua keadaan baik pekerjaan, pendidikan, kehidupan sosial dan banyak lagi.
Akhirnya setelah berpuluh tahun ditindas, pada tahun 1990-1991 sistem apartheid dihapuskan dan kaum kulit hitam di Afrika Selatan dapat hidup bebas di tanah air mereka sendiri yang kemudiannya mentadbir Afrika Selatan sehingga ke hari ini.
Palestin mungkin sedikit berbeza dari Afrika Selatan tetapi natijahnya keadaan Palestin adalah lebih buruk dari Afrika Selatan ketika mengamalkan dasar apartheid.
Palestin sebenarnya dijajah secara kejam oleh regim zionis Israel, tanah mereka dirampas dan rakyatnya dihalau keluar malah ada yang sudah lama meninggalkan Palestin dan bermastautin di luar negara.
Rakyat Palestin diperlakukan seperti binatang, dihadkan pergerakan mereka dan dikawal semuanya samada ekonomi, pendidikan, kehidupan sosial dan politik malah boleh dikatakan segala-galanya dikawal regim zionis Israel.
Apabila bersuara menentang kezaliman dan penindasan, mereka ditangkap dan dipenjara malah ramai yang diseksa sehingga mati.
Ini tidak termasuk lagi apabila menentang secara terbuka, mereka ditembak, dibunuh malah diserbu kediaman mereka sehingga dirampas harta benda mereka.
Sistem apartheid yang berlaku di Afrika Selatan bermula dari tahun 1948 dan berakhir pada tahun 1990 tetapi isu Palestin bermula apabila Palestin dijajah oleh British pada 1917 ketika perang dunia pertama yang menyaksikan pengisytiharan Deklarasi Balfour sehingga tertubuhnya Israel pada tahun 1948 dan berlarutan sehingga ke hari ini.
Jika keadaan yang berlaku di Afrika Selatan dahulu dengan sistem apartheidnya, ramai yang menisbahkan Afrika Selatan sebuah negara apartheid, maka wajarlah dalam keadaan sekarang, Israel bolehlah digelarkan ibu kepada segala perlakuan apartheid di mana dekad ini Israel adalah satu-satunya negara yang wajar dilabelkan sebagai sebuah negara apartheid.
“Two State Solution”, Bukan Penyelesaian Muktamad Isu Palestin
Kaedah “two state solution” bukanlah jalan penyelesaian muktamad kepada isu Palestin-Israel kerana sejak dari penyelesaian “two state solution” ini diperkenalkan sebagai satu resolusi PBB pada tahun 1974, ia tidak berjaya mengubah apa-apa langsung untuk menyelesaikan konflik di antara Palestin-Israel malah keadaannya semakin bertambah buruk sehingga ke hari ini.
Resolusi tersebut sekali lagi diangkat dalam Perhimpunan Agung PBB pada November 2013 yang menyaksikan pengundian resolusi tersebut ketika itu berakhir dengan 165 negara menyokong dan 6 lagi negara tidak mengundi namun terdapat dua negara yang membantah resolusi tersebut iaitu Amerika Syarikat dan Israel.
Hamas sendiri telah menyatakan beberapa kali sebelum ini bahawa mereka bersetuju menerima penyelesaian “two state solution” dengan syarat Israel menerima pakai sempadan pada tahun 1967.
Dalam satu sessi temuramah pada Mei 2011 antara Timbalan Menteri Luar Hamas, Ghazi Hamad dengan NPR, salah satu media utama Amerika Syarikat, Ghazi Hamad telah menyatakan bahawa Hamas tidak ada masalah menerima pakai penyelasaian “two state solution” asalkan Israel mengikuti sempadan pada tahun 1967.
Namun berdasarkan keadaan sekarang dan ketika pengundian resolusi “two state solution” dalam Perhimpunan Agung PBB pada November 2013, Israel sebenarnya yang tidak mahu langsung apa-apa penyelesaian dalam soal ini kerana secara terang-terangan menolak penyelesaian “two state solution” dengan disokong Amerika Syarikat.
Jika Israel benar-benar mahukan penyelesaian muktamad, sudah tentu ketika mula-mula diangkat dalam Perhimpunan Agung PBB pada tahun 1974 penyelesaian “two state solution”, sudah tentu Israel menerimanya dan tidak perlu diadakan pelbagai perjanjian damai seperti perjanjian Camp David, perjanjian Oslo dan pelbagai perjanjian lagi.
Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya, regim zionis Israel terus menjajah Palestin dengan meluaskan lagi wilayah yang didudukinya sekaligus membawa masuk ribuan pendatang yahudi ke Palestin dengan mengambilalih rumah dan tanah milik penduduk Palestin untuk didirikan kediaman mereka.
Semenjak dari mula diperkenalkan penyelesaian “two state solution” di perhimpunan agung PBB pada tahun 1974 sehingga saat ini, belum pernah ada lagi mana-mana pemimpin utama regim zionis Israel dengan tegas menyokong secara terbuka penyelesaian tersebut malah hampir kesemuanya berdiam diri apabila diajukan persoalan berkaitan perkara tersebut.
Hakikatnya regim zionis Israel tidak pernah menyokong penyelesaian “two state solution”, jika ada yang samar-samar menyokong sekalipun, ia adalah tipu daya dan muslihat mereka untuk melengahkan tindakan yang akan diambil ke atas Israel dan pemimpin mereka.
Walaupun begitu, secara praktikalnya penyelesaian “two state solution” ini boleh digunapakai jika terdapat penyelesaian muktamad ke atas isu mahupun konflik Palestin-Israel atau dengan lebih tepat lagi ia adalah penyelesaian sementara ke arah memuktamadkan pengakhiran konflik Palestin-Israel dan tidak boleh digunapakai sebagai penyelesaian muktamad konflik tersebut kerana berdasarkan sejarah dan hakikat, regim zionis Israel sememangnya tidak berkehendakkan penyelesaian “two state solution”.
Hamas yang dahulunya menyokong penyelesaian “two state solution” walaupun dengan bersyarat sudah tentunya sedar permainan licik regim zionis Israel dalam memperkatakan tentang kaedah penyelesaian tersebut.
Mungkin beberapa ketika setelah menyokong, Hamas disaat ini mungkin sudah berputus asa dipermainkan dan bertekad untuk menuntut kembali hak setiap inci bumi Palestin untuk setiap rakyat Palestin yang telah lama terseksa dan menderita.
Apa sekalipun, wajar kita sebagai umat Islam menyambut kemenangan saudara kita di Palestin hari ini kerana telah berjaya menghalang regim zionis Israel dari terus bermaharajalela menjarah Semenanjung Gaza dan Palestin amnya.
Sama-sama kita doakan masa depan yang lebih baik untuk mereka dan seterusnya mampu memiliki semula tanah air mereka yang telah lama dijajah oleh regim zionis Israel.
Semoga segala doa dan amal kebajikan kita terhadap saudara kita di Palestin diberkati dan diterima oleh Allah SWT.
Mari kita sama-sama doakan agar dicapai kemenangan multlak kepada rakyat Palestin tidak lama lagi dan semoga Allah SWT memakbulkan doa-doa mereka.
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!
Islam Memimpin Perpaduan.
YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.