Saya amat teruja bila diberitahu oleh adik saya yang juga seorang Pensyarah Fisioterapi di UiTM bahawa New Zealand dan Australia adalah antara negara yang dapat mengawal penularan wabak Covid-19 dengan baik.
Tanpa berfikir panjang saya membuat kesimpulan tentulah ia sebab kedua-dua negara ini adalah pulau.
Apabila pintu masuk ditutup maka mudahlah mengawalnya.
Tetapi beliau menyuruh saya sebagai seorang pimpinan parti politik di Melaka meneliti apakah yang dilakukan oleh negara-negara ini sehingga mereka berjaya mengawal pandemik Covid-19 ini dengan baik.
Waktu saya menulis artikel ini, menurut WHO terdapat lima buah negara yang dianggap berjaya mengawal penularan wabak ini iaitu Taiwan (1,153 kes -12 kematian), New Zealand (2,629 kes – 26 kematian), Iceland (6,491 kes – 29 kematian) Singapura (61,252 kes – 31 kematian) dan Vietnam (2,995 kes -35 kematian).
Sementara itu, lima negara yang dianggap buruk mengendalikan virus ini adalah Amerika Syarikat (32.51 juta kes – 578,499 kematian), Brazil (14.8 juta kes – 411,488 kematian), India (20.66 juta kes – 226,188 kematian), Mexico (2.35 juta kes – 217,740 kematian) dan United Kingdom (4.44 juta kes -127,803 kematian).
Sekiranya kita amati data di atas ternyata dua negara maju dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) mengalami kes dan kematian yang sangat tinggi.
Apakah disebabkan ‘kerajaan gagal’?
Sebaliknya bagaimana negara Vietnam yang jumlah penduduknya sekitar 90 juta orang berjaya mengawal dengan baik.
Begitu juga Taiwan, New Zealand dan Australia.
Tidak dinafikan kegagalan AS dan UK mengawal wabak ini adalah sikap ketua negara mereka yang lebih mementingkan ekonomi berbanding nyawa rakyatnya sendiri.
Kita boleh mendapatkan maklumat berkenaan kegagalan dua negara maju dunia ini melalui Google.
Berbeza dengan AS dan UK, India mengambil langkah awal dengan melakukan lockdown bermula pada 24 Mac 2020 hingga 31 Mei 2021.
Tetapi disebabkan faktor ekonomi, kemiskinan, pekerja imigran, kekurangan dana dan kelengkapan hospital serta fasiliti kesihatan telah menyebabkan kerajaan India memberi kelonggaran kepada rakyatnya.
Dunia tahu bahawa kes kematian yang meningkat secara mendadak yang disebut gelombang kedua di India adalah disebabkan kegagalan rakyatnya mematuhi SOP dan didorong oleh perhimpunan besar merayakan festival umum dan perhimpunan pilihan raya.
Gelombang kedua ini menjadi satu malapetaka kepada India.
Protecting Health also Protect the Economy merupakan suatu cogan kata atau moto yang digunakan oleh Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Arden dalam mengawal merebaknya wabak ini di New Zealand.
Ketegasan kerajaan, strategi komunikasi yang berkesan, kakitangan awam yang komited dan nasib yang baik telah berjaya mengembalikan kehidupan biasa dengan cepat.
Setelah tujuh minggu lockdown dimansuhkan dan kehidupan kembali menjadi seperti biasa.
Sokongan padu dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan, termasuk golongan ilmuwan yang sebelum ini banyak memberikan kritikan lantang dan melakukan provokasi terhadap dasar-dasar kerajaan turut bersatu hati menyokong segala usaha dan tindakan yang diambil oleh kerajaan dalam menangani masalah Covid 19 ini demi menjaga nyawa, keselamatan dan kesihatan rakyat.
Apakah ini berlaku di Malaysia?
Saya juga sangat teruja dengan kejayaan Australia dalam membendung tersebarnya wabak ini di negara Kagaroo atau “The Land Down Under” ini.
“Anyone found to be violating those restriction faced a hefty fine“.
Selain hukuman denda yang berat ada beberapa lagi faktor lain yang sangat penting yang menjadi pemangkin kejayaan Australia membendung penularan wabak Covid-19.
“Bipartisan unity is essential to an emergency response“.
Dua parti besar Australia iaitu Republican dan Democrats, pertembungan antara kedua parti ini semakin bertambah memuncak sejak 10 tahun kebelakangan ini, tetapi apabila Australia dilanda Covid-19, kedua-dua parti besar ini meletakkan perbezaan dan pertembungan politik mereka di sebelah, sebaliknya mereka bersama-sama memberikan tumpuan kepada menyelesaikan masalah nyawa rakyat yang diancam oleh pandemik Covid-19.
Kerajaan Australia yang terkenal dengan sikap konservatifnya sering berlawanan dengan kehendak Trade Union juga mendapat dukungan yang sama dalam menghadapi wabak ini.
“Social capital builds trust amongst the public“.
Tidak dinafikan zaman informasi di hujung jari dan media sosial menjadi senjata untuk menghentam kerajaan, Australia juga tidak terlepas daripada menghadapi masalah yang sama dikritik secara terbuka oleh rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan.
Strategi komunikasi yang baik dan sikap rakyat yang memahami permasalahan yang dihadapi negara telah memberikan kesan positif kepada kejayaan membendung penularan Covid 19.
Media sosial dijadikan alat komunikasi dan bahan kempen terbaik bagi menyedarkan rakyat tentang bahaya Covid-19 dan kepentingan mematuhi SOP dan membantu kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar dan tindakan-tindakan yang diambil semasa berlakunya darurat Covid 19.
Kalau kita melihat antara kejayaan negara-negara di atas adalah disebabkan fokus yang diberikan oleh rakyat negara masing-masing terhadap peri-pentingnya menjaga nyawa rakyat berbanding kepentingan politik peribadi dan populariti.
Berbalik kepada negara kita Malaysia, pada awalnya Covid-19 sudah berjaya diturunkan pada kadar rendah setelah lockdown fasa pertama dilakukan pada penghujung bulan Mac tahun lalu.
Walaupun begitu bilangan rakyat yang dijangkiti virus ini naik dengan mendadak setelah berlakunya Pilihan Raya Negeri Sabah.
Gelombang kedua Covid-19 yang menjadi malapetaka di negara India hari ini juga adalah disebabkan kempen-kempen pilihan raya dan rapat umum yang dilakukan di beberapa negeri di India.
Sebaiknya kita harus belajar dari sikap ahli-ahli politik di New Zealand dan Australia yang mengesampingkan perbezaan ideologi politik dan bersatu tenaga dan fikiran memberi fokus terhadap permasalahan utama rakyat iaitu nyawa dan kesihatan.
Hari ini atas kepentingan politik kepartian nyawa rakyat menjadi taruhan.
Ahli politik gagal mendidik rakyat untuk bersama-sama menggembleng tenaga dan fikiran bagi mencegah penularan wabak ini.
Sebaliknya merekalah yang mengelirukan rakyat dengan berbagai-bagai pandangan kontroversi seolah-olah mereka jaguh tetapi hakikatnya yang pandai bercakap tidak semestinya pandai berbuat.
Media sosial dijadikan senjata untuk meracuni pemikiran rakyat.
Amatlah malang di negara kita hari ini apabila rakyat mencari solusi terhadap permasalahan yang dihadapi bukan daripada nasihat pakar-pakar dan ilmuwan tetapi di media sosial.
Tentera siber pula seolah-olah menangguk di air yang keruh berlagak sebagai tenaga pakar walhal pandangan mereka di media sosial tidak ubah seperti tikus memperbaiki labu.
Mereka bukan bermain fakta tetapi memainkan sentimen untuk mewujudkan kebencian terhadap kerajaan demi kepentingan politik kepartian yang membayar hasil kerja mereka.
Media sosial janganlah dijadikan alat propaganda untuk meraih kepentingan peribadi sebaliknya harus dijadikan alat untuk mendidik rakyat.
Dan ini boleh dilakukan di media sosial seperti mana dilakukan oleh rakyat Australia dan dan New Zealand.
Saya yakin ini jugalah strategi komunikasi yang dilakukan di Vietnam, Singapura, Taiwan dan lain-lain negara yang dikatakan berjaya mengawal penularan Covid-19.
Sepatutnya setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab sosial terhadap sesama rakyat Malaysia bagi mewujudkan kesedaran serta kefahaman betapa pentingnya mematuhi SOP demi menjaga keselamatan, nyawa dan kesihatan kita, keluarga dan masyarakat.
Kita sering menuding jari dan menyalahkan terhadap SOP, dasar-dasar, tindakan dan PKP yang dilakukan kerajaan.
Apakah kita pernah menuding jari kepada diri kita sendiri yang gagal mematuhi SOP dan arahan kerajaan?
Kita jugalah yang sebenarnya melanggar arahan kerajaan meramaikan pusat-pusat perbelanjaan, pasar Ramadan, pasar malam dan sebagainya membawa bersama keluarga dan anak kecil tanpa memikirkan akan keselamatan nyawa kita, keluarga kita dan rakan taulan.
Kita jugalah yang menggagalkan usaha kerajaan untuk membendung wabak ini daripada tersebar.
Apakah disiplin kita serupa dengan rakyat di negara yang telah berjaya mengawal wabak ini?
AS dan UK walaupun maju tetapi tidak boleh dijadikan anutan dalam memerangi wabak berbahaya ini.
Sebaliknya kerjasama daripada semua pihak sama ada parti-parti politik, NGO, ilmuwan, kakitangan awam dan semua rakyat Malaysia di semua peringkat adalah sangat diperlukan bagi memastikan keberhasilan kita melawan wabak Covid-19 seperti yang telah di buat di beberapa negara lain.
Walaupun berpuluh kali menukar kerajaan jika sikap dan mentaliti rakyatnya tidak berubah ianya akan tetap sama seperti kata pepatah Inggeris ‘you are going around the bush‘.
HAJI BAKRI JAMALUDDIN,
Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Melaka dan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu.