Dua Tren LRT Bertembung, Penumpang Cedera

Dua Tren LRT Bertembung, Penumpang Cedera

Dua buah tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya bertembung mengakibatkan beberapa penumpang mengalami kecederaan kira-kira jam 9.15 malam Isnin.

Prasarana menerusi kenyataan memaklumkan bahawa kemalangan melibatkan tren bernombor 40 dan 81.

“Pasukan kami sedang menguruskan bantuan dan kerja-kerja menyelamat sekarang. Sila bertenang dan patuhi segala arahan.

“Kami memohon maaf atas segala kebimbangan dan kerisauan. Pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk memberi bantuan dan mengawal keadaan,” katanya.

Video dan gambar mengenai insiden itu turut tular di media sosial yang memperlihatkan penumpang bergelimpangan dan ada yang mengalami kecederaan serta berdarah.

YAB Perdana Menteri berkata bahawa petugas-petugas keselamatan dan kecemasan sedang berada di tempat kejadian.

“Semoga kerja-kerja penyelamatan dipermudah dan penumpang terlibat selamat, manakala mereka yang cedera diberikan rawatan segera”, katanya.

“Saya memandang serius kemalangan ini dan telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan dan Prasarana Malaysia Berhad untuk melakukan siasatan penuh untuk mengenalpasti punca kemalangan ini, dan tindakan yang tegas harus diambil dengan segera.”

“Keutamaan sekarang harus diberikan kepada mangsa-mangsa kemalangan, dan saya telah mengarahkan semua pihak memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan mangsa mendapat rawatan yang menyeluruh memandangkan kita juga berada dalam gelombang pandemik COVID-19 yang sedang meningkat naik”, tamba Perdana Menteri lagi.

Isu Semasa