Sabasun Dan Gaza

Sabasun Dan Gaza

Kalau disebutkan nama Sabasun, bagi orang Terengganu, ia seperti janggal jika dia tidak tahu apa itu Sabasun.

Bagi orang luar Terengganu, Sabasun ialah satu syarikat yang menjalankan perniagaan ‘hyper market’ yang terkenal di Terengganu.

Cuma, walaupun ia terkenal, mungkin ramai yang tidak tahu berkenaan cerita belakang tabir mereka.

Dan bila terpalit dengan isu Palestin ini, terus saya teringatkan cerita Sabasun untuk dikongsi.

Saya mengenali ‘bos’ Sabasun, Che Salmi Che Ibrahim, walaupun bukan secara peribadi.

Pernah beberapa kali bertemu, duduk semeja bagi berbincang beberapa perkara.

Kalau mengikut sejarah dahulu, perniagaan beliau ini pernah ditekan.

Tidak tahulah kenapa, tetapi beberapa kali berlaku perkara yang tidak diingini seperti menghapuskan kawasan parkir di depan premisnya, menyukarkan pelanggan datang membeli.

Pernah suatu ketika, isu Sabasun ini, dibawa ke DUN Terengganu kerana terkait dengan isu CF iaitu lesen menduduki yang dikatakan tidak dikeluarkan kepada mereka.

Oleh kerana ini, mereka hampir dikenakan tindakan kerana didakwa gagal mematuhi kehendak Kerajaan Tempatan.

Namun perniagaan Sabasun dapat diselamatkan dengan campurtangan PAS yang membela Sabasun atas dasar kemanusiaan.

Che Salmi berasal dari Kemasik, tetapi membesar di Muar, Johor.

Orangnya cerdik, alhamdulillah mempunyai ijazah dalam bidang Physcolinguistics dari Amerika Syarikat.

Peminat muzik ‘underground’.

Sabasun di bawah Salmi sekitar pertengahan 90-an, dikatakan agak berani untuk bersaing dengan pasaraya-pasaraya bangsa lain di sekitar bandar Kuala Terengganu dengan menawarkan harga yang murah.

Malah ada masanya lebih murah daripada pesaingnya.

Dek kerana keberaniannya menonjolkan diri dengan slogan ‘Harga Muroh Sokmo’ itu, maka nama Sabasun mula meniti ke bibir pelanggan.

Syukur kerana strategi mereka menjadi dan mendapat juga kepercayaan daripada pengedar dan pengilang bagi menghantar bekalan, walaupun ketika zaman gawat.

Sabasun amat berdisiplin dalam pembayaran.

Saya pernah menghantar beberapa barangan dan pembayaran dibuat tepat pada masanya.

Mengambil hanya pekerja dari kalangan anak tempatan sahaja, Sabasun juga sering memperdengarkan aluan ayat-ayat suci al-Quran di dalam premisnya serta kuliah pada waktu Zohor.

Tiada kebimbangan jika barangan anda tertinggal kerana mereka akan mengembalikannya tanpa hilang satu barang pun.

Hubungan dengan kejiranan juga dijaga.

Setiap tahun, akan ada hamper kepada jiran-jiran mereka.

Antara tujuan perniagaan mereka juga ialah bagi membantu pengusaha IKS dari kalangan anak negeri.

Sekitar tahun 2002, Sabasun memulakan langkah yang lebih berani iaitu memulakan kempen bagi memboikot barangan Israel.

Peringatan-peringatan ditampal di seluruh ceruk kedainya bagi mengingatkan barang keluaran Israel, perlu dihindari.

Mereka cuma menghabiskan stok lama sahaja. Tabung-tabung bagi mengutip derma kepada Palestin juga dapat dilihat di setiap kaunter bayaran.

Sabasun di bawah Che Salmi atau lebih dikenali dikalangan pekerjanya sebagai Abang Long, begitu komited meneruskan kempan boikot itu sehinggalah kehari ini.

Cerita-cerita tentang kesedihan rakyat Palestin dan kejahatan Israel disediakan dalam premis.

Akhirnya Sabasun berjaya mengorak langkah lagi bagi membantu rakyat Palestin.

Ini juga adalah hasil daripada kepercayaan pelanggan terhadap kempen mereka.

Jutaan wang telah berjaya disalurkan ke Palestin, terutamanya di Gaza.

Sabasun berjaya mendirikan beberapa bangunan yang menyediakan kemudahan kepada rakyat Palestin.

Tidak hanya memaklumkan kejayaan mereka, tetapi juga mereka memberikan bukti-bukti bahawa wang derma oleh pelanggan itu, sampai kepada sasaran.

Pelanggan begitu gembira bilamana mengetahui wang derma mereka sekarang, sudah menjadi bangunan.

Tidak berkurang pelanggan mereka walaupun tiada barangan Israel di situ.

Kini Sabasun semakin melangkah maju.

Setelah cawangan kedua mereka di Wakaf Tembesu dibuka, kemudiannya di Cheneh, mereka ditawarkan tempat pula oleh Kerajaan Terengganu bagi menduduki permis di Bandar Baharu Kijal.

Dan terbaharu Mereka telah keluar dari Terengganu pergi ke Kuala Lumpur.

Maka pasaran bagi pengusaha IKS sekarang semakin berkembang.

Bagi kita yang tinggal di Terengganu, sepatutnya Sabasun menjadi pilihan nombor satu kerana komitmen mereka dalam membantu ekonomi orang kita dan juga saudara seagama di luar sana.

Boleh saya katakan, tiada pembaziran langsung dengan wang yang kita serahkan kepada Sabasun.

Puas hati bila berbelanja di Sabasun dan wang kita itu dibawa ke Palestin, membantu saudara kita di sana.

Saya sememangnya mengarahkan isteri saya sekarang supaya berbelanja di Sabasun sahaja.

Sekiranya ada lagi isteri, saya juga tetap akan suruh dia ke sana, begitulah seterusnya.

Che Salmi memaklumkan kepada saya, insyaAllah tidak lama lagi akan ada pula projek terbaharu mereka di Palestin.

Saya percaya antara kekuatan yang diberikan Allah kepada Che Salmi ialah kerana hatinya yang benar-benar mahu membantu saudara se Islam, disamping pasukan beliau yang kuat dalam melakukan kebaikan ekonomi ini, maka bantuan Allah datang dari berbagai bentuk.

Mohd Nasir Abdullah
24 Mei 2021

Ekonomi