Sekitar tahun 70 dan 80-an dahulu, sering di atas jalanraya, kita dapat melihat kelibat lori-lori balak yang puratanya hanya membawa dua tiga batang kayu sahaja di belakangnya.
Menunjukkan betapa besarnya saiz hasil hutan ketika itu.
Jika mendengar berita mendapat kemalangan bertembung dengan lori balak, soalan yang ditanya ialah berapa parah atau matikah mangsa.
Sekarang ini, jika kita lihat ukuran-ukuran balak itu lilitannya mungkin satu atau dua pemeluk.
Jika mendapat khabar kemalangan dengan lori balak, mati ditimpa balak, bukanlah yang dibincangkan kerana saiznya yang kecil, tetapi kerana asbab lain.
Baiklah, ini mukaddimah kepada tulisan saya sahaja, sekadar mahu menggambarkan betapa kecilnya saiz balak sekarang berbanding dahulu.
Semalam heboh di media sosial berkenaan sebuah lori balak yang mengangkut sebatang balak yang begitu besar dilihat oleh orang ramai di RnR Temerloh.
Tular kemudiannya keadaan lori itu yang didakwa mengambil kayu dari hutan Pahang.
Lebih menghairankan mereka lagi ialah saiz balak itu, tidak terdapat di kawasan membalak yang dibenarkan.
Adakah ia datang dari hutan simpan?
Bagi memeriahkan lagi tulisan, tuduhan kepada penjawat awam ditaburkan, kemungkinan gagal memantau aktiviti ‘haram’ ini.
Setelah disiasat, balak itu rupanya datang dari hutan Terengganu, buka Pahang.
Arrhh, berpesta pula pembangkang di Terengganu kerana berita ‘penyelewengan’ ini.
Antara yang melonjak kegembiraan dapat peluru menembak Kerajaan Terengganu ialah pemimpin-pemimpin muda parti lawan.
Tidak sampai setengah hari, keluarlah kenyataan Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu, mengesahkan balak itu datang dari kawasan yang diberikan lesen menebang dan cukai sudah dijelaskan.
Lebih manis, ia diluluskan pada tahun 2017.
Mari saya bawakan anda nostalgia berkenaan balak.
Ia berlaku sekitar tahun 2004.
Ketika itu, PAS telah menarik balik kebenaran membalak yang diberikan kepada sebuah syarikat.
Ia tidak dilakukan secara semborono, ia mendapat nasihat dari Penasihat Undang-Undang Negeri (LA).
Menurut mantan Exco, Dato’ Mustafa Ali, penamatan itu dilakukan kerana syarikat itu tidak membayar premium sebagaimana dijadualkan.
Tetapi kerja-kerja pembalakan, tetap dilakukan syarikat tersebut.
Maka mengambil kira nasihat oleh LA dan juga kerana ia melibatkan wang rakyat, kontrak itu ditamatkan.
Anda sedia maklum yang orang PAS tiada yang mempunyai syarikat balak besar.
Jadi syarikat itu dikatakan telah gagal menunaikan kehendak kontrak mereka dengan Kerajaan Negeri.
Takdir Allah, PAS kalah pada tahun itu.
Syarikat berkenaan telah membawa isu penamatan kontrak itu ke Mahkamah Tinggi.
Bila? Pada tahun 2007, iaitu tiga tahun selepas penamatan kontrak itu berlaku.
Mereka menyaman Kerajaan Negeri yang pada waktu itu dikuasai oleh Umno sebanyak RM1 bilion.
Mahkamah memutuskan Kerajaan Negeri bersalah kerana penamatan kontrak itu.
Ketika beberapa orang mahir undang-undang mahu mendapatkan penjelasan berkenaan kes ini, hakim yang membicaran kes itu, meninggal dunia.
Dalam sistem undang-undang Malaysia, masih ada dua lagi ruang bagi Kerajaan Negeri Terengganu memenangi kes ini, iaitu Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Namun, Kerajaan Negeri Terengganu bertindak untuk membiarkan kekalahan itu.
Sebaliknya menawarkan penyelesaian luar mahkamah sebanyak RM50 juta.
Syarikat terbabit telah menerima tawaran kerajaan itu dan melupakan RM1 bilion yang besar kemungkinan mereka menang.
Mereka tolak RM950 juta lagi.
Di sebelah pihak kerajaan pula, jika dibawa kepada proses penghakiman seterusnya, ada kemungkinan Kerajaan Negeri akan menang dan RM50 juta itu tidak hangus.
Sedangkan ia duit rakyat.
Sampai di sini, adakah anda boleh faham kenapa ia berlaku?
Dalam menerangkan kepada rakyat, akhirnya PAS dikambinghitamkan dengan kenyataan PAS telah menyebabkan Kerajaan Negeri Terengganu terpaksa membayar saman sebanyak RM1 bilion yang mana sebenarnya hanya RM50 juta yang diselesaikan.
Itulah plot cerita dan skrip yang disebarkan.
Pimpinan muda PAN juga tidak ketinggalan menumpang isu dengan mendesak Presiden PAS yang ketika itu menjadi MB Terengganu, tampil memberikan penjelasan.
Seorang Wakil Rakyat Umno waktu itu, kemudian menyerang PAS yang kononnya PAS dan rakyat, tidak mengetahui fakta tepatnya.
Sayangnya kerana tuduhan beliau itu hanyalah menjuruskan kepada kegagalan pegawai kerajaan menjalankan tugas mereka sebenarnya, kerana perkara ini mendapat nasihat daripada pegawai kerajaan sebelum dilaksanakan.
Nah, sekarang anak Wakil Rakyat itu pula muncul, cuba menjadi wira dalam isu sebatang balak besar yang ditularkan semalam.
Tujuannya mungkin mahu mempalitkan PAS dengan isu pembalakan.
Jika dia bijak, dia perlu melihat dahulu siapa yang meluluskan kawasan balak itu dan bila.
Dia lupa kawan dia yang luluskan pada 2017.
Semua orang cerdik tahu, kelulusan kawasan balak, bukan bermakna terus dapat membalak.
Ia memerlukan beberapa jangka masa bertahun sebelum proses memulakan kerja-kerja penebangan dilakukan.
Lihatlah sendiri perangai Umno Terengganu.
Fakta ini perlu disebarkan kerana mereka begitu ingin merampas kembali kerajaan tetapi lupa dengan apa yang telah mereka lakukan sebelum ini.
Begitulah kisah Umno dan balak…..
Mohd Nasir Abdullah
25 Mei 2021



