Dewan Pemuda PAS Malaysia mengikuti rapat pengumuman penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi (total lockdown) Fasa Pertama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara, bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021, seperti yang disiarkan secara rasmi sebentar tadi.
Pemuda PAS menyeru semua pihak supaya bertenang dan mengambil keputusan ini dengan positif.
Pastinya ada hikmah di balik keputusan ini, di saat kes jangkitan meningkat dengan mendadak dan mengancam keselamatan seluruh negara.
Pemuda PAS menyeru semua masyarakat untuk mengambil langkah selamat dengan terus berada di rumah sepanjang tempoh total lockdown.
Kerjasama semua pihak adalah amat diperlukan bagi melandaikan lengkung jangkitan, seperti yang pernah dicapai sebelum ini.
Rakyat juga disarankan supaya mengawal perbelanjaan, serta terus bertahan semampu mungkin.
Pada masa yang sama, Pemuda PAS menyeru Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri meringankan kesan dan bebanan yang bakal ditanggung rakyat, khususnya golongan M40 dan B40 akibat dari pelaksanaan total lockdown ini.
Bantuan kewangan dan makanan harus diberikan kepada rakyat, sebagai menggantikan kehilangan pendapatan yang dialami sepanjang dua minggu ini.
Pemuda PAS di seluruh kawasan akan sentiasa bersiap siaga untuk menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan.
Sekiranya ada rakyat yang memerlukan bantuan, jentera Pemuda PAS akan sedia menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka.
Semoga pandemik ini segera diangkat dan dihilangkan dari tanah air ini, agar kita semua dapat kembali hidup seperti sediakala.
Lindungi diri, lindung semua.
YB SENATOR Ir Ts KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua PemudaDewan Pemuda PAS Malaysia