Jadikan PKP 3.0 Sebagai PKP Terakhir

Jadikan PKP 3.0 Sebagai PKP Terakhir

Mengenai soal keselamatan, kesihatan umum dan seumpamanya, aku akan patuh kepada arahan kerajaan apabila arahan itu betul walaupun yang mentadbir adalah BN atau PH.

Cuma zaman BN, kita tidak pernah hadapi pandemik sebegini.

Di zaman PH, sempatlah dalam beberapa bulan awal, cuma ketika itu Covid-19 ni masih belum diisytiharkan sebagai satu “pandemik”.

Namun tindakan kerajaan kendalian PH pada waktu itu adalah tindakan yang bukan saja tidak bijak, malah membuka ruang kepada risiko yang lebih besar dengan lebih mengutamakan kelangsungan ekonomi daripada kesihatan rakyat.

Menteri-menteri PH memandang enteng dan bersikap over confident terhadap penularan Covid-19.

Ketika itu, tiada sektor yang diarahkan tutup operasi, malah gesaan agar menutup pintu sempadan antarabangsa juga tidak diendahkan.

Lebih malangnya apabila Menteri Pelancongan PH ketika itu menggesa agar pengurusan pusat tumpuan pelancong tidak menghalang pelancong untuk masuk ke premis mereka.

Gesaan ini timbul apabila pihak pentadbir Masjid Putrajaya menutup masjid tersebut daripada pelawat asing khususnya bukan Islam.

Sehingga pertengahan bulan Februari 2020, ketika nyawa kerajaan PH belum lagi nazak, tiada tindakan berkesan diambil bagi menangani kemasukan virus dan penularannya dalam negara.

Namun sebaik sahaja PN mengambil alih kerajaan pada awal Mac 2020, tindakan drastik telah diambil dengan mengoptimumkan peranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) samada di peringkat nasional dan negeri-negeri.

Pertengahan Mac 2020, maka PKP 1.0 dilaksanakan sehingga beberapa bulan.

Ketika itu, seluruh rakyat Malaysia baru kenal siapa Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia iaitu Dr Noor Hisham Abdullah yang asalnya lahir sebagai Yew Ming Song.

Jika sebelum itu, sebarang kenyataan media berkaitan Covid-19 dimonopoli oleh (bekas) Menteri Kesihatan PH iaitu Dr Dzulkefly Ahmad.

Kejayaan PKP 1.0 ditempa dengan sangat baik sehingga Dr Noor Hisham diiktiraf dunia perubatan sebagai salah seorang hero bagi menangani pandemik Covid-19.

Terdapat negara-negara dunia menjadikan Malaysia sebagai model dan contoh.

Namun hari ini, semua rekod itu sudah tercalar apabila kepatuhan terhadap arahan kerajaan tidak lagi diendahkan dan dipandang ringan.

Malahan kerajaan disalahkan dalam pelbagai segi dengan kemunculan “hero mee segera” yang tak pernah teruji dalam berhadapan situasi pandemik sebegini.

Sedangkan tindakan kerajaan adalah untuk berlaku adil kepada semua pihak.

Semua pihak terkesan, namun jika tindakan diambil tidak bersesuaian, bakal ada pihak yang lebih teruk menerima kesan yang bakal menyebabkan tidak wujud keseimbangan.

Contoh: sejak PKP 1.0, sektor pelancongan paling teruk terjejas.

Terdapat hotel, rumah penginapan dan seumpamanya telah gulung tikar.

Ramai hilang pekerjaan.

Sektor penerbangan juga teruk menerima tempias.

Maka bagi menyeimbangkan keadaan, sektor ini perlu dibenar beroperasi apabila suatu keadaan mengizinkan.

Apabila sampai keadaan tersebut, kerajaan telah melonggarkan sekatan.

Ada yang kembali boleh beroperasi walaupun tidak sepenuhnya.

Ada yang kembali boleh bekerja walau tidak semuanya.

Namun ada pihak yang bersikap pentingkan diri sendiri.

Depa hanya nampak seolah-olah hanya depa saja yang menerima kesan.

Lalu menuntutlah berbagai-bagai tuntutan.

Yang nak beraya, yang nak berniaga, yang nak berurusan kesana sini.

Kerajaan beri kebenaran dengan harapan rakyat sedar akan risiko jangkitan Covid-19.

Rupanya kebebasan diberi hanya untuk memudahkan ramai orang melanggar segala SOP.

Maka penularan menjadi tidak terkawal.

Angka dicatatkan makin hari makin menakutkan.

Rekod kematian sudah menunjukkan peningkatan dan kematian juga berlaku di kalangan pesakit yang tiada rekod penyakit kronik dan di kalangan berumur masih muda iaitu bawah 40an.

Beberapa kematian juga dicatatkan sebagai “jenazah dibawa ke hospital” iaitu yang bermakna meninggal di luar hospital dan bukan juga di kalangan yang dikuarantin.

Justeru tiada pilihan melainkan total lockdown diarahkan.

Ia sebenarnya adalah pilihan terakhir dan jika keadaan tidak juga kembali reda, maka bersiap sedialah kita untuk menghadapi situasi lebih sukar apabila penghasilan dan pengeluaran makanan terhad, perolehan kewangan setiap isi rumah menyusut dengan teruk dan lain-lain situasi yang penuh kesukaran.

Justeru itu, ayuh lah kita jadikan PKP 3.0 ini sebagai PKP terakhir.

Tiada lagi total lockdown selepas ini.

Ayuh patuh SOP.

Patuh bukan kerana takut disaman, tapi kerana ia adalah tanggungjawab untuk menjaga keselamatan dan kesihatan.

Mampu Center

Kesihatan