Nasi kangkang politik

Nasi kangkang politik

Dalam dunia politik, bagi mencapai maksud dan kehendak nafsu, kita tidak akan terlepas berhadapan dengan majoriti politikus yang tamak mencari kuasa atau kedudukan yang lebih tinggi.

Samada individu mahupun partai itu sendiri.

Tetapi pada kebanyakkan masa, kegilaan ini dimulakan oleh seseorang yang gilakan kuasa yang kemudiannya mempengaruhi sekelian pasukannya.

Oleh kerana ketamakan ini, maka mereka sanggup melakukan apa sahaja bagi mencapai sasaran politik mereka.

Jangan kata rakyat, malah agama juga sanggup mereka khianati.

Malu, segan, takut kepada Allah, tidak membawa apa-apa makna lagi bagi golongan ini, kerana sudah dibelenggu dengan pemikiran mengejar tujuan nafsunya itu.

Disebalik kegilaan mengejar dunia itu, akan ada pula satu lagi pihak yang memerhatikan gerak geri si gila ini.

Lalu dipasang jerat politik dengan umpan dunia yang menggiurkan.

Oportunis politik ini amat bijak dalam menjalankan tugasnya.

Si gila yang sedang bersungguh-sungguh inginkan kedudukan itu, segera menerkam umpan yang disediakan.

Apabila termakan, ia sukar dilepaskan.

Lalu terikatlah mulutnya sentiasa pada kail yang dimakannya itu bersama umpan.

Tetapi dia menjadi lupa kerana lazatnya rasa umpan itu, walaupun si pengumpan itu sedang mengheret mangsa kepadanya untuk dijadikan makanannya.

Ketika ini, rakan-rakan si gila itu mula cuba membantu dengan menariknya untuk dilepaskan dari umpan itu.

Samada dia akan menjadi mangsa atau terselamat, bergantung kepada kesungguhan beliau melepaskan diri dengan bantuan rakan-rakannya.

Tetapi jika kegilaan mahu mendapatkan kedudukan itu lebih dia mahukan, maka dia akan diangkat oleh si pengumpan untuk dijadikan mangsa.

Manakala rakan-rakan lamanya yang setia dahulu, akan perlahan-lahan meninggalkan dia yang sangat tegar mengejar impiannya.

Parti penghasut ini tidak pernah terjejas kumpulan mereka walau apa pun keadaan politik yang terjadi.

Tidak berpecah, tidak berbalah sesama mereka.

Mereka bijak menggunakan peluang yang terbuka di depan mata.

Manakala parti-parti lain yang bersama dengannya sering mengalami perpecahan.

Bagaimana ia berlaku?

Adakah partai-partai politik yang itu amat naif dalam berstrategi?

Apabila bersama parti Islam, parti Islam jadi berpecah.

Ramai juga ahli keluar parti.

Jawatan tertinggi dicabar dan yang keluar itu menjadi musuh yang ketat selepas keakraban persaudaraan yang telah dibina yang begitu panjang dalam jemaah.

Apabila parti perosak itu bersama parti campuran berbagai bangsa, gabungan mereka juga mengalami perpecahan.

Bila mereka bersama parti yang berteraskan bangsa yang menjadi kerajaan bersamanya, pun parti kawannya turut berpecah.

Manakala partinya, masih utuh bersatu.

Dan terakhir apabila dikaitkan ura-ura akan berganding dengan parti bangsa asal yang paling besar, belum apa-apa lagi, parti itu sudah pecah dua.

Sejarah jelas menunjukkan akan keberadaan parti penghasut ini di mana-mana gabungan, hanyalah membawa kepada keruntuhan perpaduan.

Dan lebih dahsyat, perpaduan sesama agama dan bangsa menjadi korban.

Mengapa ia terjadi?

Ini tidak lain kerana ada orang besar dari semua parti-parti yang disebutkan itu yang termakan umpan dunia yang dijanjikan penghasut ini.

Lalu cuba mengheret sama orang lain untuk mengikut nafsunya dengan menjadi tukang lobi, meyakinkan ahli supaya menerima parti pengacau ini.

Kecuali jika kita boleh menunggang mereka bagi kebaikan agama dan bangsa kita, tetapi jika tidak, lebih baik jauhkanlah diri dari mereka ini.

Memang benar, tidak boleh mendirikan kerajaan tanpa campuran parti.

Tetapi kita ada pilihan lain.

Mengapakah tidak dibuang ego masing-masing dengan mendirikan pakatan yang kuat dari kalangan kita seagama dan sebangsa?

Jelas dengan bilangan parti, bilangan ahli, jika disatukan, ia memihak kepada parti bangsa dan agama kita.

Ini bukanlah cadangan bersikap jumud dengan mahu meminggirkan bangsa lain.

Mereka juga diperlukan untuk membantu negara, itu jelas dan tidak ada keraguan.

Tetapi telah nyata dibuktikan semenjak dahulu, apabila kaum lain duduk di bawah kekuasaan Islam, mereka akan selamat dari kejahatan.

Lebih lagi bangsa kita yang sangat dimaklumi beradab dengan tetamu.

Tetapi apabila bangsa dan agama lain yang menguruskan umat Islam, kita amat memahami akan akibatnya.

Pernah dengar perihal nasi kangkang?

Pada ghalibnya ia adalah salah satu cabang ilmu hitam diguna oleh isteri sebagai pelemah bagi menundukkan suami.

Apabila suami sudah terkena dengan sihir ini, maka diapun akan menjadi seperti bingung, hanya mengikut kehendak isteri.

Dalam filem arahan U Wei Saari, Perempuan, Isteri dan …. lakonan Sofea Jane dan Nasir Bilal Khan ada ditunjukkan adegan membuat nasi kangkang itu.

Suaminya menjadi dayus, bingung dan macam bodoh-bodoh, menurut kehendak isteri.

Sekarang kelihatannya seorang politikus sedang terkena nasi kangkang parti chauvinis.

Setia sungguh dia menurut parti itu, mabuk dengan janji-janji akan ditabal menjadi Mamak Bendahara.

Sudahlah begitu, begitu galak mengajak parti terbesar bangsa asal untuk menjadi muridnya, menuruti jejaknya.

Kenalah tu, dia mahukan jawatan tertinggi, yang mahu mengikut dia itu pula, mahukan kebebasan.

Nasib kaum sendiri, tidak dia pedulikan.

Memang teruk jadi angau bila dah termakan nasi kangkang.

Entah apalah penawarnya.

Dah berpuluh tahun dah ni.

Tengah rakyat merana kerana pandemik pun, dia sibuk lagi berpolitik.

Mohd Nasir Abdullah

Isu Semasa