Pasukan Yang Tabah

Pasukan Yang Tabah

Minggu lalu adalah minggu yang teramat mencabar untuk HKL.

Ledakan kes Covid yang memenuhkan katil-katil dan ICU di HKL.

Ia juga fenomena yang serupa di hospital-hospital di Lembah Kelang.

Sebenarnya, sejak tahun lalu, Pengarah dan semua Ketua-ketua Jabatan bermesyuarat setiap hari termasuklah pada hari minggu dan memantau dengan rapat semua kes.

Mereka bekerja keras dan alhamdulillah, walaupun mencabar, kes-kes yang diselesaikan penstabilan dan rawatan di Jabatan Kecemasan dan dimasukkan ke wad secepat mungkin.

Hampir kesemua wad di bangunan utama sudah bertukar menjadi wad Covid.

Perlahan-lahan, Ketua-ketua Jabatan merelakan wad masing-masing ditukarkan kepada Wad Covid.

Dari usaha seakan ‘Belanda minta tanah’ atau “Israel mengambil tanah rakyat Palestin’ , perlahan-lahan, wad pembedahan terutamanya diserahkan untuk dijadikan Wad Covid.

Kini sudah ada 700 katil untuk kes-kes Covid di HKL.

ICU yang asalnya hanya ada 28 katil, kini menjadi 72 katil.

Malah dewan-dewan bedah ditukar menjadi ICU.

Hospital seperti Hospital Rehabilitasi Cheras dan yang terkini Hospital Pediatrik Kanak-kanak juga digunakan untuk pesakit Covid bagi menambah kapasiti.

Terdapat kerjasama yang erat di kalangan semua Ketua Jabatan di HKL.

Semua kakitangan yang terdiri daripada pakar, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat, pembantu perawatan kesihatan dan pemandu bekerja keras mengendalikan semua kes di HKL.

Pegawai farmasi, pegawai juruteknologi makmal dan juru-Xray juga berhempas pulas menjayakan semuanya.

Dengan penambahan kes Covid yang meledak terutamanya pada minggu lalu, Hospital Ampang terpaksa dijadikan Hospital Covid sepenuhnya.

Ini menyebabkan kes-kes kecemasan yang bukan Covid menyerbu HKL dan kesemua katil-katil yang sudahpun penuh melebihi kapasiti yang sudahpun dibesarkan dari semasa ke semasa.

Walaupun katil-katil kanvas dibuka, ia juga dipenuhi dengan cepat.

Hospital dalam mod ‘bencana’.

Tetapi masih, kesemua petugas kami mendepaninya dengan sabar.

Dalam keadaan katil yang kesemuanya penuh, ada seorang pesakit yang jantungnya terhenti dibawa masuk ke jabatan kami.

Dalam keadaan kesemua katil penuh, petugas tidak ada pilhan dan terpaksa meletakkan pesakit ke atas lantai untuk mengenakan mesin automatik CPR dikenakan sementara troli dan katil dicari.

Petugas tidak dapat menunggu untuk CPR dimulakan, kerana jika 4 minit lewat, otak sudah mulai mati.

Atas sebab itu, CPR diteruskan tanpa berlengah.

Untuk CPR, katil kanvas tidak boleh digunakan kerana permukaan yang keras adalah perlu.

Hanya troli atau katil khas sahaja yang membolehkan CPR dilaksanakan.

Hanya kemudian selepas itu, troli dapat dicari dan pesakit dipindahkan kemudiannya.

Melihatkan keadaan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah HKL dengan tiadanya katil untuk CPR, ia mendatangkan rasa hiba dalam hati petugas kami.

Dalam kesedihan itu, ada petugas yang berkongsi gambar kerana tidak percaya yang kita benar-benar sedang menghampiri situasi yang berlaku di India ketika tsunami Covid melanda dengan oksigen habis dan sistem kesihatan lumpuh.

Saya faham isihati mereka.

Bagaimanapun, kami sentiasa cuba sedaya upaya memastikan moral dan semangat mereka tinggi.

Pengarah hospital kami telah memberikan jawapan bertulis dan saya tahu, seorang yang amat mengambil berat situasi di hospital benar-benar tulus mahu semua ini diselesaikan.

Isu ini juga mendapat perhatian dan kesungguhan dari pihak Kementerian Kesihatan.

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian, Dato’ Mohd Shafiq Abdullah sendiri datang dan melihat situasi di Jabatan Kecemasan.

Ketua Jabatan kami juga berusaha keras mencari penyelesaian.

Sejak beberapa bulan lalu, dia berjaya mengusahakan model penghantaran kes ke hospital swasta dan model ini dianjurkan untuk situasi katil hospital yang sudah tepu.

Alhamdulillah, terdapat sedikit sinar apabila persetujuan dicapai untuk memulakan penghantaran kes ke hospital swasta bagi meningkatkan kapasiti katil berasaskan model yang sama.

Kata KSU, “I don’t want to hear any excuses that this cannot be done!”

Jika semuanya berjalan lancar, akan ada lagi 300 katil tambahan bagi kes-kes bukan Covid.

Kami amat berterimakasih kepada KSU yang membantu.

Dalam keadaan ribut ini, kesemua pakar-pakar kami berusaha menyelesaikan kemelut ini dari rumah.

Pelbagai idea digembleng.

Pagi tadipun, kami datang ke jabatan walaupun ia hari cuti untuk kami membantu situasi.

Alhamdulillah, ada sedikit ‘ruang bernafas’ dengan katil-katil diperuntukkan untuk kes-kes tenat.

Saya juga amat berharap tidak ada tindakan dikenakan pula kepada ‘adik-adik’ saya yang berkongsi gambar CPR atas rasa hiba mereka akan situasi.

Mereka sudah banyak berkorban dan bekerja keras di jabatan kami dan saya pasti niat mereka ikhlas mahu menyedarkan masyarakat akan situasi yang melanda.

Kami amat berterima kasih kepada semua yang mendoakan kami dalam menangani kemelut ini.

Insya Allah, kami tidak patah semangat.

Saya amat bangga dengan pasukan saya.

Ketika bersama mereka pagi tadi, mereka masih menunjukkan positiviti yang menakjubkan.

Ramai antara mereka adalah juga pegawai perubatan kontrak dan kami perlukan mereka untuk mengharung badai dan ribut ini.

Kami harap, anda kemas dan tuntas dengan SOP terutamanya semasa Raya Korban ini.

Bantulah kami untuk tidak ziarah-berziarah.

Kita sedang berhadapan dengan varian baru yang kecekapannya untuk merentas manusia adalah 60% lebih baik.

Kita diambang bencana yang lebih hebat jika kita membuka ruang untuk virus merentas.

Dr Alzamani Mohammad Idrose

Frontliner

Kesihatan