‘Tidak Perlu Lagi Berkongsi Telefon’

‘Tidak Perlu Lagi Berkongsi Telefon’

Setelah sekian lama terpaksa berkongsi satu telefon dengan dua adik sepanjang Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR), seorang pelajar meluahkan rasa syukur akhirnya dapat memiliki sebuah tablet sendiri.

Nur Izzah Insyirah Kamaruzzaman, 15, dari Kampung Kijing, di sini berkata, tablet tersebut dapat membantunya mengikuti PdPR dengan lebih konsisten dan tepat waktu berbanding sebelum ini yang perlu berkongsi bersama adik beradik.

“Ayah beli satu telefon untuk saya bersama adik di Tingkatan Dua dan Darjah Lima ikuti PdPR. Jadi kena gilir-gilir tunggu, bila seorang siap barulah seorang lagi dapat ikuti kelas pula dan saya kena cepat-cepat siapkan kerja.

“Alhamdulillah, pemberian tablet ini memudahkan saya ikuti PdPR selepas ini. Dapatlah ikuti kelas tepat pada waktu dan buat kerja dengan lebih cepat,” katanya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Lela Segara.

Nur Izzah Insyirah merupakan salah seorang daripada 900 penerima peranti PdPR sumbangan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) melibatkan pelajar seluruh Terengganu yang dipilih daripada golongan berpendapatan rendah (B40).

Penyerahan tablet tersebut disempurnakan Exco Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman secara pandu lalu dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) di Pejabat Pendidikan Daerah Marang pada Khamis.

Hadir sama Pengerusi Ketengah, Senator Datuk Razali Idris dan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Salim Ab Ghani.

Sementara itu Razali berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM351,000 sebagai tanggungjawab sosial korporat dalam usaha memastikan pelajar negeri ini dapat belajar dengan lebih selesa dalam tempoh pandemik Covid-19.

Menurut beliau, sebanyak 670 unit diagihkan kepada penerima yang menetap di wilayah Ketengah melibatkan tiga daerah iaitu Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu manakala 230 unit lagi pelajar daerah lain.

“Sumbangan ini adalah untuk memudahkan anak-anak daripada keluarga yang kurang berkemampuan menjalani pembelajaran dengan selesa.

“Ia juga bertujuan meringankan beban ibu bapa dalam memberi keselesaan dan kemudahan terbaik buat anak-anak dalam pelajaran dan sebagai suntikan semangat kepada pelajar cemerlang meneruskan kecemerlangan dalam kehidupan,” katanya.

Teknologi Terengganu