Dulu, ketika pihak pembangkang mengapi-apikan kemarahan rakyat pasal harga barang, hapus hutang PTPTN, harga minyak turun, hapus GST harga barang turun, dan sebagainya – kita sebagai rakyat teruja dan pakat ikut marahkan kerajaan BN – sampai beberapa siri himpunan BERSIH, himpunan hapus GST, dan seumpamanya.
Pelbagai formula dibentangkan oleh pembangkang dalam siri ceramah dan video propaganda tentang cara-cara menurunkan harga, bagaimana menggunakan sumber negara untuk hapuskan PTPTN dan sebagainya.
Kita teruja, dan percaya.
Tak sabar nak tukar kerajaan.
Pada masa itu kita sangat yakin bahawa dengan bertukar kerajaan, PM dan Menteri – kita akan dapat harga barang murah, PTPTN terhapus, harga minyak RM1.50 dan sebagainya.
Lalu setelah kerajaan bertukar – harga barang tetap naik walau GST hapus, harga minyak tidak turun, PTPTN tak mansuh, dan pelbagai lagi.
Kita rasa macam kena game.
Kita kata, parti mana pun memerintah – sama saja. Malah lebih teruk.
Kemudian, pembangkang yang baharu dan lama pula mengapi-apikan kemarahan rakyat dalam pelbagai isu yang berasaskan sentimen kaum dan agama.
Isu Adib, RUU355, arak, judi, penjualan aset negara dan sebagainya – sehingga kita rakyat menjadi panas – sampai akhirnya tercipta sejarah himpunan besar pernyatuan ummah.
Kita sangat teruja bahawa jika kerajaan PH jatuh, isu-isu sentimen yang kita terbakar itu dapat diselesaikan satu persatu.
Kita teruja mengaminkan doa supaya kerajaan PH pendek umur – dan doa itu makbul.
Kerajaan PH tumbang tanpa disangka.
Namun setelah naik kerajaan baharu, apa perasaan kita apabila isu-isu yang kita harap diselesaikan oleh kerajaan baharu, tidak menjadi kenyataan?
Kita mula geram dan marah kepada kerajaan baharu, sebagaimana kita marah kerajaan BN dan kerajaan PH.
Kemarahan kita seperti biasa akan dikipas menyala oleh pembangkang semasa.
Kita kata, parti mana pun memerintah, sama saja – bahkan lebih teruk.
Kali ini, kemarahan dan stress kita mendepani pandemik yang belum ada tanda reda.
Kita maki dan hamun pemimpin kerajaan, menteri dan parti-parti memerintah kerana kita lihat mereka gagal.
Kita teruja nak tukar mereka seberapa segera.
Kemarahan kita dikipas menyala oleh orang politik, maki hamun menjadi biasa.
Pelbagai formula dan solusi dicadangkan oleh pembangkang semua bijak dan hebat, membuatkan kita rakyat lebih teruja untuk tukar kerajaan.
Apa yang akan berlaku seterusnya?
Soalan 900 darjah Celcius – apakah perasaan kita jika kerajaan PN berundur, naik kerajaan baharu – kes Covid19 terus mencanak, kes kematian terus meningkat, PKP 4.0, 5.0, total lockdown disambung-sambung, bantuan kepada rakyat lebih caca-merba dan seumpamanya?
Bukan nak sinis dan pertahan kerajaan PN.
Cuma ingin bertanya kita sekalian, sebab kita sudah lalui fasa marah kepada kerajaan BN, dan marah kepada kerajaan PH yang mana hasil daripada kemarahan kita dan keterujaan kita untuk tukar kerajaan menyebabkan kita dapat kerajaan yang membuatkan kita lebih marah dan lebih stress.
Ya, kerajaan PN ini sangat membuatkan kita stress.
Apa rasanya selepas tukar kerajaan baharu kelak, kita akan jadi lebih stress?
Kerana BN, PH dan PN adalah pusingan pemimpin-pemimpin yang sama sahaja.
Dalam kerajaan PH ada ex-menteri BN yang kita marahkan.
Dalam kerajaan PN, ada ex-menteri PH yang kita tak suka.
Jika terbentuk kerajaan baharu, ia tidak dapat lari daripada memiliki ex-menteri BN, ex-menteri PH atau ex-menteri PN pun.
Pusing-pusing, muka sama.
Kita mengharapkan penyelesaian yang berbeza daripada muka-muka yang sama?
Cycle politik demikian kita kena hentikan.
Orang-orang muda sudah kena prepare diri masing-masing untuk ambil alih kepimpinan negara dengan membawa budaya politik yang berbeza.
Tukarlah mentaliti menjadi lebih baik daripada mentaliti budaya politik generasi tua.
Setakat ini kita duk nampak, mentaliti generasi kita yang muda-muda ni lebih teruk pula.
Tengok komen-komen di media sosial pun sudah cukup, betapa generasi kita mudah terbakar dengan sentimen kebencian yang ditiup.
Yang jadi tukang bakaq pun ramai.
Nasihat ini lebih utama saya bagi untuk diri saya, dan kepada orang-orang yang mahu berfikir dengan rasional.
Sekian
Oleh: Dr Tanaka Mustafa