Iktibar Sukan Olympik Tokyo 2020 Malam Ini

Iktibar Sukan Olympik Tokyo 2020 Malam Ini

Sangat teruja menonton siaran langsung majlis perasmian Sukan OlympiK Tokyo 2020 malam ini.

Penuh dengan jati diri kejepunan, terutama apabila mendengar ucapan Presiden penganjurnya, Hashimoto Seiko.

Berucap sepenuhnya dalam Bahasa Jepun, sepatah pun Bahasa Inggeris tidak kedengaran.

Inilah bangsa yang bangga dengan jati diri mereka.

Maka, tidak hairanlah negara Jepun boleh maju.

Dalam kata lain, Jepun begitu bangga dengan negaranya, tidak akan sama sekali korbankan prinsip.

Pasti mereka mahukan negara dan bangsa mereka dihormati.

Jika bukan sendiri yang mengangkat bangsa dan Bahasa sendiri, nak harapkan siapa?

Negara-negara maju lain pun begitu, seperti negara China, Korea dan sebagainya.

Apabila menganjurkan majlis antarabangsa seperti Sukan Olympic, Bahasa negara merekalah yang akan ditonjolkan dan mendominasi, dalam segala aspek, seperti persiapan mesyuarat penganjuran dan sebagainya.

Peliknya, kenapa kita tidak boleh lakukan perkara yang sama.

Saya amat yakin, jika Sukan Olympic di adakan di negara kita, tidak ada akan kedengaran Bahasa Melayu ketika majlis perasmian.

Sudah tentu tidak ada akan kedengaran alunan ayat-ayata suci al-Quran, kecuali dalam majlis antarabangsa seperti Tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa.

Di barat, selamba sahaja, pemimpin Muslim mereka dibenarkan bersumpah memegang jawatan dengan al-Quran, dengan mengenepikan kitab lain.

Begitu juga dengan beberapa majlis yang saya lihat baru-baru ini, yang mana mereka turut menjemput imam, untuk membacakan doa.

Kenapa kita tidak ada keberanian seperti itu untuk menonjolkan jati diri agama, bangsa dan negara ini?

Kenapa kita begitu takut dengan apa orang lain kata.

Maka tidak hairanlah, orang lain atau bangsa lain, tidak pernah mahu hormat Bahasa kebangsaan kita.

Malahan, ada yang menghina, mengatakan Bahasa Melayu tidak ada nilai komersial.

Saya masih tidak dapat lupakan, ada beberapa kali menghadiri mesyuarat bersama beberapa kementerian, kebetulan dalam mesyuarat tersebut ada seorang dua wakil asing, tiba-tiba Bahasa mesyuarat berubah daripada Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris.

Lebih menjengkelkan lagi, mesyuarat sesama sendiri pun, tiba-tiba bertukar Bahasa hanya kerana ada kaum lain, yang bukan Melayu, rakyat kita sendiri.

Begitulah ‘hinanya’ menggunakan Bahasa Melayu.

Bahasa sendiri merempat di bumi sendiri.

Saya tersenyum simpul, bila ada usaha untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa komersial.

Perkara yang mudah untuk mendaulatkan Bahasa Melayu pun kita tidak mampu, seperti ketika bermesyuarat, bagaimana mahu mendaulatkan Bahasa Melayu, selaku Bahasa negara?

Lebih menyakitkan, apabila setiap tahun kita melakukan kempen Bulan Bahasa.

Kenapa perlu ada kempen Bahasa negara atau Bahasa kebangsaan sendiri.

Tidakkah ia sudah lama terdaulat dan berdaulat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sudah sampai masanya kita peru berubah, jika kita benar-benar sayangkan negara ini.

Jati diri negara ini mesti dijunjung dan disanjung serta dimartabatkan.

Jika tidak, sampai bila-bila pun jati diri negara ini tidak akan ke mana-mana.

Ultra kiasu langsung tidak memandang Bahasa Melayu sebagai Bahasa penting untuk dikuasai.

Pada mereka, Bahasa ibunda mereka sendiri dan Bahasa Inggeris, itu lebih penting.

Sebab itulah, teramat sukar untuk bertemu bangsa bukan Melayu sesama sendiri, apabila berjumpa, bertutur dalam Bahasa Melayu.

Kalau jumpa maknanya, nak kiamat.

Justeru, ambillah iktibar Sukan Olympic Tokyo 2020 ini.

Apa jua program bersifat antabangsa mesti mendaulatkan Bahasa negara.

Berucap di luar negara, gunakan Bahasa kebangsaan.

Tahulah pihak penganjur untuk menterjemahkannya.

Ini bukan sesuatu yang luar biasa, kerana semua negara melakukan perkara yang sama.

Pemimpin Turki akan berucap dalam Bahasa Turki,

China-bahasa China,

Jepun- Bahasa Jepun,

Korea- Bahasa Korea,

Perancis- Bahasa Perancis dan lain-lain.

Dalam kata lain, semua pemimpin negara-negara di dunia, begitu Bahasa membawa Bahasa mereka ke peringkat dunia.

Malangnya, bila tiba kepada negara kita, sampai kepada pemimpin Melayu, jadi Inggeris.

Melayu-tidak jadi Bahasa Melayu, tetapi Melayu – Bahasa Inggeris.

Inikah yang dikatakan Melayu yang mahu mengangkat Melayu di mata dunia.

Justeru, jangan salahkan orang lain, apabila Bahasa Melayu tidak mendapat tempat.

Belajarlah Bahasa asing sebanyak mungkin, tidak menjadi masalah, kerana ia adalah tuntutan agama, Islam menggalakkannya, tetapi jangan sampai Bahasa sendiri merempat di bumi sendiri.

Pasti akan hilang suatu hari nanti.

Ridhuan Tee Abdullah

Kolumnis