Kena Kat PAS Tak Boleh, Orang Lain, Boleh

Kena Kat PAS Tak Boleh, Orang Lain, Boleh

Jangan kita sebar keaiban peribadi orang.

Itu adalah satu kenyataan tegas dan tuntas.

Sesiapa pun, tidak kiralah dia pembesar, atau rakyat biasa, orang agama atau si jahil, lelaki atau perempuan, baik atau jahat.

Saya berpegang teguh kepada prinsip menyebarkan keburukan dosa peribadi adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dalam ajaran agama.

Biarlah Benjamin Nethanyahu sekalipun melakukan dosa peribadi, jangan kita sebarkan.

Kebencian kita kepada perangai dan dosa beliau terhadap Islam, tidaklah menjadi lesen bagi kita memfitnah atau mengaibkan beliau dengan kesalahan peribadi beliau.

Saya yakin yang semua orang telah memahami akan keadaan ini.

Inilah yang disuruh oleh Islam.

Jangankan berkenaan dosa peribadi yang mereka lakukan di sebalik dinding itu Islam mahu kita diamkan, hatta ketika sahabat terkentut juga Rasulullah menjaga aib sahabat itu.

Tetapi berbeza dengan sesuatu yang berlaku dalam keadaan yang dianggap sebagai jenayah awam.

Walau ia dilakukan disebalik dinding, di belakang mata orang banyak, diwaktu gelap gelita, jenayah yang melibatkan orang ramai, mesti dilaporkan.

Maka, biarlah dia seorang imam masjid yang jauh lebih mulia dari Netahnyahu yang kafir itu, tetapi apabila melakukan jenayah melibatkan awam, ia mesti dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Tidak kena kepada kita, sedaplah mulut membela.

Tidak melibatkan saudara mara kita, senanglah jari menaip mengutuk orang yang mendedahkan jenayah itu.

Apa lagi netizen yang berhati mulia itu adalah seorang yang tidak tahu membezakan akan dosa peribadi dengan dosa umum.

Semua hal sekarang ini dikuasai oleh netizen yang jahil, tetapi ramai.

Maka dilihat benar itu kerana ramai, bukan ilmu.

Pimpinan PAS pernah dituduh orang berpeleseran dengan janda.

Khabarnya lagi janda itu sebagai isterinya yang ketiga.

Maka kutukan demi kutukan, diterima beliau, dari musuh, sehinggalah kepada orang yang mengaku penyokong PAS sendiri.

Galak benar bermain nama janda, menyindir-nyindir sesuatu yang tidak dibuktikan langsung.

Nabi mana yang ajar dia berperangai begitu?

Atau mahu jika ahli keluarga sendiri terkena fitnah begitu?

Ada jaminankah yang keluarga kamu selamat dari fitnah ini?

Ada dua hal yang mesti difikirkan.

Pertama tidak pernah ada laporan rasmi kepada pihak berkuasa yang janda itu dilarikan atau diperlakukan secara yang tidak sepatutnya mengikut undang-undang, mahupun agama.

Fitnah kepada wanita melakukan zina, adalah antara dosa-dosa besar.

Keduanya, dia dikatakan sebagai isteri ketiga, maka jika ini berlaku, alhamdulillah, tiada dosa zina, kerana nikah itu halal di sisi Allah.

Siapa kamu mahu mengharamkan yang halal?

Namun apabila ada kes mencabul, menipu, pecah amanah, itu sudah bukan dosa peribadi.

Dengan ramainya asatizah yang menyeru mangsa tampil membuat laporan, siap ada bersama mereka peguam-peguam bagi membantu mangsa, maka hal ini berbeza dengan dosa peribadi.

Jenayah yang melibatkan awam, mesti dihebahkan.

Hebahan itu juga bagi memberikan kekuatan kepada mangsa lain untuk berani melawan kuasa jahat itu.

Kena maklum, mengadu hal seperti ini amat memalukan diri dan keluarga. Bukan senang.

Apabila sejumlah besar ulamak dari berbagai latar belakang, bangun bersama dalam menyatakan pendirian mereka dalam hal ini, ia sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan.

Mereka bertindak menurut dalil dan ilmu.

Berbeza dengan tuduhan melarikan janda itu, tiada ulamak yang bangun, malah mereka langsung tidak membicarakan hal itu kerana takut fitnah tersebar dan dimurkai Allah.

Jelas dan terang mana yang betul mana yang salah kepada rakyat.

Satu teladan, pernah terjadi seorang balu yang mahu berkahwin dengan seorang lelaki tua.

Apabila balu itu bertemu dengan seorang wanita yang tahu perangai lelaki itu, wanita itu tidak menyatakan apa-apa keburukan.

Semuanya OK katanya.

Setelah berkahwin, barulah tahu yang lelaki itu namanya sudah harum di Pejabat Agama kerana nikah dan cerai silih berganti.

Perongos, habis semua waris balu itu dia buat musuh, sehingga ada yang mahu dia ajak bertumbuk.

Berkelahi dengan balu itu, akhirnya bercerai.

Kerana apa?

Kerana yang mengenali tidak mahu mendedahkan aib orang, kononnya.

Mungkin akan ada yang menuduh saya akan bagi alasan macam-macam bagi menghalalkan perbuatan saya yang memberikan bayangan kepada isu ini, tetapi dalam masa yang sama, marahkan orang lain menyebut kes pimpinan PAS.

Saya telah jelaskan dengan begitu terang sekali pendirian saya.

Mahu mengutuk pimpinan PAS, silakan, tiada masalah.

Tetapi dosa, tanggung sendiri.

Yang hairan, apabila keluar kes besar berkait dengan rakyat ini, diam pula mereka.

Ia tidak ubah seperti kempen politik menghadapi musuh parti.

Contoh kegagalan PH selama 22 bulan, amat nyata, maka kita kena sebarkan supaya PH tidak dipilih lagi selepas ini.

Ia didedahkan kerana mahu mewujudkan gelombang bagi penolakan itu.

Asal jangan memfitnah cukup.

Jadi menyebar luaskan perangai jahat seseorang, diakui oleh para alim ulamak, sebagai salah satu cara menyelamatkan manusia dari kejahatan akan datang.

Apalagi bila sudah memasuki fasa ketaasuban yang kronik.

Kita wajib sedarkan rakyat.

Cuba kita perhatikan, apabila keluar pendedahan ini…

Wanita kata AIB, jangan sebar
Lelaki kata AIKK, mana link?
Asatizah kata AISHH, buat malu agamawan
Bukan Islam kata AIYAA, ini macam pun ada ka ?
Pentaasub kata, AI, AI, CIP, kami ikut arahan.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis