Bagaimana Kita Menghadapi Krisis Perlembagaan

Bagaimana Kita Menghadapi Krisis Perlembagaan

Ketika saya tinggal di Perlis dahulu, saya selalu mengikuti usrah PAS di bawah kendalian Mursyidul Am PAS, Ustaz Hashim Jasin, yang ketika itu memegang jawatan Pesuruhjaya PAS Perlis.

Antara yang saya ingat, beliau ada menyebut perihal perbezaan mazhab yang mana di Perlis, ia telah menjadi sebagai satu perkara yang besar dan isu yang sensitif di sana.

Antara kata beliau ialah imam-imam mujtahid bagaikan peguam.

Mereka mahir berkenaan usul fiqh yang membawa kepada hukum-hukum dalam Islam.

Semua mereka menggunakan al-Quran dan hadis sebagai pedoman dalam berhukum.

Yang mungkin berbeza ialah tafsiran quran dan kekuatan hadis yang diambil.

Di akhirat nanti, imam-imam ini akan menjadi peguam bagi kita dalam berhujah di hadapan Allah.

Oleh itu, jika mahu mengambil pandangan sendiri, maka pastikan ilmu kita sekuat imam mujtahid yang memahami konteks ayat, asbabul nuzul dan banyak lagi.

Jika kita berjaya mencapai ketinggian ilmu sebegitu, maka buatlah mazhab sendiri kerana pastinya akan ada pengikut kita dan kita akan menjadi peguam pula kepada pengikut kita.

Jadi isu berkenaan mazhab ini antara perkara besarnya ialah penafsiran kita terhadap dalil-dalil.

Jika tidak, baik kita diamkan diri dan mengikut sahaja aturan mazhab.

Tidak banyak bezanya apabila berlakunya krisis perlembagaan.

Yang menafsirkan undang-undang ialah Peguam Negara, hakim-hakim mahkamah, penasihat undang-undang kepada Yang Dipertuan Agong beserta kumpulan-kumpulan pakar perundangan yang terlibat secara langsung dengan Perlembagaan Malaysia.

Sudah tentulah mereka amat arif dengan selok belok perlembagaan ini.

Maka mereka bebas berhujah dengan segala ilmu yang ada.

Penafsiran mereka mungkin betul, mungkin juga terkhilaf.

Bukanlah sesuatu yang pelik bila dikatakan seseorang hakim itu terkhilaf dalam membuat keputusan sebelum ini, ketika kes didengar kembali oleh hakim yang lain seperti hakim Mahkamah Rayuan.

Dan keputusan lalu dibatalkan.

Tiadalah akan hakim yang dikata terkhilaf itu dihukum oleh hakim-hakim senior kerana khilafnya itu.

Khilaf yang diputuskan hakim itu masih dalam ruang lingkup perlembagaan, bukan melanggar undang-undang.

Samalah dengan imam mazhab tadi, kesilapan mereka dalam menafsirkan maksud sesuatu ayat atau sepotong hadis, tidak dikira dosa, malah diberikan satu pahala oleh Allah atas usaha melalui ilmu yeng mereka ada itu.

Dan kerana itulah maka peguam yang berjaya meyakinkan hakim bahawa pandangannya yang benar mengenai tafsiran undang-undang itu, berkemungkinan besar akan menang bicara.

Kita juga mestilah mengambil nasihat Rasulullah saw dalam hal seperti krisis perlembagaan ini iaitu berkata baik atau diam.

Jika kita tidak tahu, mengapa buat-buat pandai, macam tahu?

Kita bukan peguam mahupun ahli dalam bidang perundangan, kita menafsirkan sendiri perlembagaan.

Tidak terhenti setakat itu, kita gunakan pula pengaruh kita untuk mempengaruhi orang lain.

Habis rosak semuanya.

Akhirnya kita dapati, penafsiran yang kita pertahankan itu, bukanlah kebenaran yang mutlak, sebaliknya, hanyalah kebenaran yang ‘dirasakan’ mutlak oleh pihak tertentu yang berkepentingan.

Sedang dalam waktu yang sama, pihak satu lagi juga ada mempunyai hujah-hujah mereka yang tidak boleh ditolak bagi penafsiran itu.

Yang bertelingkah besar, penyokong yang dungu.

Ahli Parlimen, selepas sidang, boleh makan dan minum bersama-sama kerana tahu tafsiran mereka itu mungkin betul, mungkin salah.

Dalam satu Sidang Dun Terengganu yang pernah saya ikuti perbahasannya, pernah Dato’ Speaker membuat ‘ruling’ bahawa usul bukan dari kerajaan boleh dibawa pada setiap persidangan yang pada waktu itu, beliau menjelaskan setiap persidangan ialah setiap hari yang bersidang.

Pada satu waktu yang lain, ada Speaker lain yang membuat ‘ruling’ persidangan itu bermaksud keseluruhan hari-hari sidang Dun.

Maka hanya sekali usul yang boleh dibawa.

Kata putus terletak kepada penafsiran Speaker.

Tiada siapa boleh lawan.

Tapi dalam banyak perkara, paling dikesali ialah golongan yang meloncat-loncat dari kalangan kita sendiri.

Kalau dari musuh, kita tak hairan sebab memang itu kerjanya.

Jika penyokong sendiri mengamuk suruh pimpinan melepaskan jawatan sebab ada pertembungan penafsiran, maka itu sudah jauh dari hal yang sepatutnya.

Lebih kecewa, begitulah perangai semenjak dahulu dalam isu-isu yang lain juga.

Harus sedar diri, pimpinan menggunakan khidmat Peguam Negara, bukan melalui carian internet bagi memutuskan hal ini.

Jelas kemudian, kenyataan oleh PM, menyokong dan merungkai segalanya.

Lebih jauh dari perbahasan, pimpinan dituduh derhaka oleh lawan, penyokong sendiri pula bersetuju?

Mereka mungkin tidak pernah sedar akan sejarah pimpinan yang sentiasa mematuhi arahan raja-raja.

Cari sahaja tajuk berkenaan PH yang menderhaka, bersepah akan dapat.

Apalagi yang mahu dikatakan, ini semua kerana tiada ilmu, keras kepala, gopoh, makan umpan musuh, merasa cerdik, tidak sedar diri itu bodoh, mengambil sumber dari carian internet, suka membaca tajuk sahaja, jari laju mahu beri komen dan banyak lagi sikap-sikap negatif yang tidak membantu dalam krisis ini, malah makin menyiramkan minyak.

Dan kerana sikap yang sama ini juga, masalah kesatuan mazhab juga tidak boleh diselesaikan.

Sama sahaja kedua-duanya.

Ia adalah berkaitan dengan sikap kita.

Sudah banyak kali terbukti pimpinan melakukan hal yang betul.

Anda boleh pilih mahu terus kekal dalam kebodohan kerana mahu menunjuk pandai, atau kekal bersama ulamak yang kekal tenang, mencari jalan penyelesaian terbaik untuk ummah.

tau kalau takut dikecam musuh, jangan masuk politik.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis