Firman Allah SWT:
﴿وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا…١٤٣﴾
“Dan demikianlah Kami telah menjadikan kalian (wahai umat Muhammad), satu umat pilihan dan adil, supaya kalian menjadi saksi atas (perbuatan) umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasul (Nabi Muhammad SAW) pula akan menjadi saksi atas perbuatan kalian…”
(Surah al-Baqarah: 143)
Berdasarkan perkataan wasato (وسط) dalam ayat di atas, Allah SWT menyebutkan tentang ciri wasatiyyah kepada umat Islam.
Wasatiyyah bermakna pilihan terbaik, adil, beristiqamah atas kebenaran dan sikap pertengahan atau sederhana.
Begitu juga, tidak bersikap tasahul (bermudah-mudah dan longgar) dan tidak bersikap (tasyaddud) melampau (daripada ajaran Islam yang sempurna mengikut sempadan dan pendekatannya yang membawa rahmat kepada seluruh manusia.
Ajaran Islam merangkumi segala aspek kejadian manusia yang melaksanakan cara hidup dan berperanan mengikut tujuan mereka diciptakan, iaitu beribadat kepada Allah SWT dan berkhilafah (mentadbir) urusan kehidupan manusia mengikut hidayah-Nya yang melibatkan diri, keluarga dan masyarakat.
Sehinggalah soal politik, ekonomi, sosial dan lain-lain dalam aspek individu, keluarga dan bermasyarakat madani.
Kejayaan mentadbir urusan manusia secara menyeluruh merupakan suatu yang belum pernah dicapai oleh semua agama yang lain dan segala ideologi ciptaan manusia, melainkan Islam.
Kejayaan Islam terbukti pada zaman pelaksanaannya yang sempurna dan menyeluruh, sewaktu memerintah negara besar yang merangkumi sebahagian besar dari benua Asia, bermula dari Asia Tenggara sehingga Asia Barat, dari Asia Tengah sehingga utara Afrika dan sebahagian dari selatan Eropah.
Kerajaan Islam telah berjaya mencipta ‘Hadharah Islamiyyah’ (Tamadun Islam) yang mempengaruhi perubahan seluruh dunia sehingga kini, walaupun kuasanya sudah dijatuhkan oleh musuhnya.
Perkara ini membuktikan kebenaran firman Allah SWT:
﴿كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ١١٠ لَنْ يَضُرُّوكُمْ إِلَّا أَذًى وَإِنْ يُقَاتِلُوكُمْ يُوَلُّوكُمُ الْأَدْبَارَ ثُمَّ لَا يُنْصَرُونَ١١١﴾
“Kalian (wahai umat Muhammad) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk umat manusia, kalian menyuruh kepada perkara yang ma‘ruf dan mencegah daripada segala perkara yang mungkar (buruk dan keji), serta kalian pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan sekiranya Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Akan tetapi) antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka ialah orang-orang yang fasiq. (110);
“Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) sekali-kali tidak akan dapat memudaratkan kalian, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka memerangi kalian, mereka akan berpaling lari membelakangkan kalian (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mendapat pertolongan.” (111)
(Surah al-Baqarah: 110-111)
Kesederhanaan Islam dalam aspek ibadat kepada Allah SWT, meletakkan manusia tidak sepertimana malaikat yang tidak bernafsu pada jasad dan juga tidak sepertimana binatang yang bernafsu namun tidak berakal.
Sekali gus berbeza daripada agama yang menjadikan para agamawannya laksana malaikat, sehingga tidak berkahwin dan tidak memakan makanan yang menjadi keperluan jasad.
Tambahan lagi, berbeza daripada teori liberal yang menjadikan manusia memuaskan hawa nafsu mereka sebebas-bebasnya tanpa batas halal dan haram.
Allah SWT menegaskan hal ini sebagaimana firman-Nya:
﴿قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ٣٢ قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالْإِثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَنْ تُشْرِكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ٣٣﴾
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan daripada Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu (ni‘mat) disediakan untuk orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia; khusus (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada Hari Kiamat.’ Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu satu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui. (32);
“Katakanlah: ‘Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata ataupun yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh tanpa alasan yang benar; dan (diharamkan-Nya) kalian mempersekutukan sesuatu dengan Allah, sedangkan Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkan-Nya) kalian mengada-adakan terhadap Allah sesuatu yang kalian tidak mengetahuinya.” (33)
(Surah al-A‘raf: 32-33)
Melalui ayat di atas, Allah SWT memberikan peringatan dan pengajaran kepada golongan manusia yang hanya mahu beribadat secara melampau, sehingga mereka berpuasa buat selama-lamanya dan beribadat tanpa tidur yang cukup.
Selain itu, mereka juga tidak mahu berkahwin dan tidak mahu merasai kesenangan dunia yang dihalalkan kepada mereka.
Dalam erti kata yang lain, mereka mahu menjadikan manusia ibarat para malaikat.
Firman Allah SWT:
﴿يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ٣١﴾
“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kalian yang indah pada tiap-tiap kali kalian ke masjid (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kalian berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”
(Surah al-A‘raf: 31)
Allah SWT juga memberikan amaran kepada kalangan yang melampau nafsu mereka, sehingga mereka digambarkan seperti binatang.
Bahkan, mereka itu lebih teruk daripada binatang yang tidak berakal.
Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh firman Allah SWT:
﴿وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ١٧٩﴾
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahannam kebanyakan daripada kalangan jin dan manusia, mereka mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”
(Surah al-A‘raf: 179)
Islam menentang sikap melampau dalam politik, sama ada secara diktator (dictatorship) yang bersifat individu atau kelompok termasuklah kumpulan para agamawan yang dinamakan teokrasi.
Selain itu, Islam juga menentang konsep liberal demokrasi Barat yang bertuhankan rakyat tanpa syarat dan tanpa sempadan kemampuan serta kebijaksanaan manusia termasuklah fitrahnya.
Dalam Islam, terdapat ketetapan Allah yang Maha Rahmat dan Maha Adil, yang berada di luar kemampuan akal dan ilmu manusia.
Khususnya perkara yang berkaitan dengan rukun hidup beragama serta soal halal dan haram.
Justeru, Allah SWT tidak mengizinkan manusia mengadakan peraturan dan undang-undang sendiri kerana ia boleh merosakkan kehidupan mereka.
Bahkan, Allah SWT memerintahkan manusia agar mengikuti kemampuanya sahaja dan tidak melakukan perkara di luar kemampuan dan tabiinya kerana perkara tersebut boleh merosakkan diri dan sekelilingnya.
Islam mewajibkan orang yang beriman berlaku adil kepada seluruh manusia termasuklah terhadap musuh, sekalipun ketika berlakunya peperangan.
Hal ini disebabkan oleh firman Allah SWT:
﴿إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا٥٨﴾
“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kalian menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kalian menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”
(Surah al-Nisa’: 58)
Allah SWT menegaskan mengenai kewajipan menunaikan prinsip keadilan dalam ayat yang lain sebagaimana firman-Nya:
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ٨﴾
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kalian semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kalian terhadap sesuatu kaum itu mendorong kalian berlaku tidak adil. Hendaklah kalian berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam apa yang kalian lakukan.”
(Surah al-Ma’idah: 8)
Islam mendahulukan konsep perdamaian dan keamanan dalam konteks hubungan antarabangsa dan hubungan dalam sesebuah negara.
Hal ini bertepatan dengan perintah Allah SWT melalui firman-Nya:
﴿وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ٦١ وَإِنْ يُرِيدُوا أَنْ يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّهُ هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ٦٢ وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ٦٣﴾
“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (61);
Dan jika mereka bertujuan hendak menipu dirimu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman. (62);
Dan (Dialah) yang mempersatukan antara hati mereka (yang beriman itu). Seandainya engkau membelanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau juga tidak akan dapat mempersatukan antara hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (63)
(Surah al-Anfal: 61-63)
Islam mengizinkan berlakunya peperangan bagi menentang kezaliman dan pencerobohan yang melampau dalam kehidupan manusia.
Suatu keadaan yang mustahil dapat dihapuskan peperangan kerana terdapat kalangan manusia yang didorong oleh nafsu yang merosakkan kehidupan, sehingga mereka sanggup berperang untuk memenuhi kehendak nafsu mereka.
Oleh itu, keadaan tersebut mesti dihadapi dengan kaedah peperangan, namun Islam tetap mengharamkan tindakan yang melampau dalam peperangan sebagaimana firman Allah SWT:
﴿وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ١٩٠﴾
“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kalian, dan janganlah kalian melampaui batas; kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”
(Surah al-Baqarah: 190)
Maka berpandukan ayat di atas, diharamkan menyakiti mereka yang tidak terlibat dalam peperangan seperti orang tua, kaum wanita, kanak-kanak dan lain-lain termasuklah juga wakil kerajaan asing walaupun mereka dari negara musuh.
Pada masa yang sama, turut diharamkan daripada menyerang rumah-rumah ibadat bukan Islam dan mereka yang berkaitan dengannya.
Tambahan lagi, diharamkan bersikap melampau terhadap mereka yang sudah terbunuh.
Dalam pada itu, diwajibkan mengurus tawanan perang dengan penjagaan yang baik dan layanan yang bersopan.
Islam telah mendahului piagam antarabangsa dalam aspek ini, sejak beberapa abad yang lalu.
Dalam aspek ekonomi, Islam berteraskan prinsip kesaksamaan dalam hak milik individu dan kewajipan bermasyarakat.
Maka, Islam menentang pembelaan hak individu yang melampau dalam prinsip liberal kapitalisme.
Begitu juga, ditentang prinsip menjaga hak masyarakat yang melampau dalam ideologi komunisme dan sosialisme, sehingga ia mencabuli hak individu.
Islam mengizinkan pemilikan kekayaan yang halal sebanyak-banyaknya, pada masa yang sama turut menekankan kewajipan harta individu kepada diri, keluarga dan masyarakat atas sifat ibadat seperti zakat, wakaf, sedekah dan percukaian oleh kerajaan.
Harta ialah habuan dunia yang membina jambatan kebahagiaan sehingga Hari Akhirat, bukan sekadar kebahagiaan di dunia sahaja.
Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
﴿وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ٧٧﴾
“Dan carilah pada apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari (keni‘matan) duniawi; dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian ni‘mat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.”
(Surah al-Qasas: 77)
Al-Quran juga memberikan petunjuk mengenai konsep wasatiyyah dalam aspek perbelanjaan.
Firman Allah SWT:
﴿وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَى عُنُقِكَ وَلَا تَبْسُطْهَا كُلَّ الْبَسْطِ فَتَقْعُدَ مَلُومًا مَحْسُورًا٢٩ إِنَّ رَبَّكَ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَقْدِرُ إِنَّهُ كَانَ بِعِبَادِهِ خَبِيرًا بَصِيرًا٣٠﴾
“Dan janganlah kamu menjadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu (bakhil), dan janganlah pula kamu menghulurkannya (boros) dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya kamu akan berada dalam keadaan yang tercela dan penuh penyesalan. (29);
Sesungguhnya Tuhanmu itulah yang melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki (menurut undang-undang peraturan-Nya), dan Dia juga yang menyempitkannya. Sesungguhnya Dia Maha Mendalam pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.” (30)
(Surah al-Isra’: 29-30)
Pada zaman Islam dilaksanakan dengan sempurna mengikut konsep wasatiyyah yang ditunjukkan oleh Allah SWT dan model pelaksanaan yang bijak oleh Rasulullah SAW serta generasi awal, Islam telah berjaya diterima oleh masyarakat majmuk yang bersifat paling majmuk dalam negara yang besar dan terlalu luas perbatasannya.
Sama ada mereka masuk Islam tanpa paksaan ataupun mereka rela berada di bawah naungan kerajaan Islam kerana keadilannya kepada semua dan memberikan hak masing-masing tanpa pertembungan yang tajam.
Perubahan berlaku dalam masyarakat majmuk yang berperang semata-mata kerana fanatik agama, bangsa dan negara yang tegang hubungannya, disebabkan kedatangan Islam yang bersifat wasatiyyah di tengah-tengah pergolakan itu.
Maka, berlakulah penyelesaian yang telah dinyatakan oleh firman Allah SWT:
﴿الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَنْ يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠ الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ٤١﴾
“(Iaitu) mereka yang diusir daripada kampung halamannya tanpa alasa yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: ‘Tuhan kami ialah Allah.’ Dan jika Allah tidak mendorong sebahagian manusia menentang pencerobohan oleh sebahagian manusia yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat ibadat dan gereja (kaum Nasrani), dan rumah ibadat (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebutkan nama Allah sebanyak-banyaknya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya. Dan sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat, lagi Maha Perkasa. (40);
(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf dan mencegah daripada perbuatan mungkar; dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.” (41)
(Surah al-Hajj: 40-41)
Di tengah-tengah pertembungan kerana perbezaan dalam masyarakat majmuk itu, Islam berjaya mengalahkan semua pihak dengan kejatuhan dua kuasa besar dunia, Parsi dan Rom serta kuasa yang lain.
Islam membawa pendekatan konsep tiada paksaan beragama dan adil kepada semua.
Pendekatan tersebut dilaksanakan di bawah naungan negara berkebajikan yang berlandaskan Islam sebagai ajaran yang sempurna.
Sekali gus dapat mengawal keadaan dalam masyarakat majmuk itu dengan pendekatan yang tiada pada agama lain dan ideologi yang lain.
Kedatangan Islam menjadi penyelamat bukan penjajah.
Sehingga berjaya mendapat dukungan seluruh rakyat daripada negara yang telah bertamadun dari segi urusan duniawi dan kebendaannya, tetapi musnah dalam hubungan kemanusiaan dan akhlaknya.
Islam membawa suatu seruan kepada seluruh manusia melalui firman Allah SWT:
﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ١٣﴾
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kalian daripada kalangan lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kalian berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kalian berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kalian di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa antara kalian, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kalian).”
(Surah al-Hujurat: 13)
Islam berjaya mengumpulkan ilmu duniawi yang positif daripada semua bangsa dalam wilayahnya berasaskan iman dan akhlak yang mulia.
Bukannya mengejar kesenangan semata-mata, sehingga melupakan peranan manusia yang sebenar untuk memakmurkan bumi dengan beribadat kepada Allah SWT.
Hal ini penting supaya manusia itu benar-benar berperikemanusiaan, bukannya bersifat kebinatangan yang tidak berakal.
Adapun kejatuhan umat Islam pada zaman mutakhir adalah disebabkan mereka meninggalkan ajaran Islam yang sebenar.
Seterusnya diikuti dengan kedatangan penjajah Barat yang tidak mengenang budi tamadun Islam yang diplagiatkan dalam kemajuan tamadunnya dari segi kebendaan sahaja.
Mereka bermusuh terhadap Islam bukan kerana ajarannya yang benar, tetapi kerana sifat dengki terhadap umat Islam sehingga akhirnya mereka tidak boleh menerima kebenaran yang nyata daripada ajaran Islam.
Allah SWT mendedahkan keadaan yang sebenar dengan firman-Nya:
﴿وَدَّ كَثِيرٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يَرُدُّونَكُمْ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِكُمْ كُفَّارًا حَسَدًا مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِهِمْ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ فَاعْفُوا وَاصْفَحُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ١٠٩ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَمَا تُقَدِّمُوا لِأَنْفُسِكُمْ مِنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِنْدَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ١١٠﴾
“Sebahagian besar dalam kalangan Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kalian kepada kekufuran setelah kalian beriman, kerana dengki yang timbul daripada diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad SAW). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah mereka, sehingga Allah mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah itu Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (109);
Dan kalian dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat, dan apa jua kebaikan yang kalian usahakan untuk diri kalian, tentulah kalian akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kalian kerjakan.” (110)
(Surah al-Baqarah: 109-110)
Penjajah itu gagal menghapuskan cahaya Islam daripada ajarannya dan kumpulan umat Islam yang mempertahankan ajarannya dengan istiqamah.
Kumpulan Islam yang berjuang agar ditegakkan semula Islam bagi menyelamatkan keadaan yang dihadapi oleh seluruh manusia pada hari ini.
Banyak tanah air umat Islam telah mencapai kemerdekaan dan penjajah itu telah keluar dan ada yang datang semula untuk menjajah lagi kerana sikap tersebut.
Namun begitu, mereka masih tetap gagal walaupun umat Islam masih lemah dan mundur.
Situasi yang terkini ialah kekalahan yang berlaku di Afghanistan.
Akan tetapi, penyakit-penyakit warisan penjajah masih menghantui sebahagian umat Islam hari ini apabila mereka sudah lagi tidak yakin kepada agama mereka sendiri, sehingga diluahkan secara terbuka dalam penulisan dan lisan mereka.
Pada masa yang sama, hendaklah difahami bahawa penilaian sebenar dan pengukur yang betul, mestilah melalui ajaran Islam sepenuhnya dan sejarah pelaksanaannya yang sebenar.
Ia bukan dilihat kepada penganutnya yang masih buta agama sendiri dan sejarah umatnya sendiri.
Bukan juga dilihat kepada penulisan para orientalis yang sentiasa berniat zalim terhadap Islam dan umatnya.
Dalam pada itu, perlu dibezakan antara kumpulan Taliban iaitu para pelajar yang masih mentah telah menubuhkan kumpulannya pada tahun 1994, dengan kumpulan Taliban yang telah diambil alih kepimpinannya oleh para ulama’ yang berfikiran dengan politik matang dan sejahtera pada hari ini.
Kumpulan Taliban pada hari ini yang telah berjaya mengundurkan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan menguasai perundingan dengan para diplomat negara besar itu.
Walaupun masih terlalu cepat untuk membuat penilaian, perkara ini adalah lebih baik daripada penulisan mereka yang hanya merujuk kepada laporan media Barat semata-mata yang mahu menutup malu kerana kalah dalam operasi ketenteraan dan percaturan politiknya.
Kita perlu mengalu-alukan secara positif kenyataan awal yang dikeluarkan oleh kumpulan tersebut, bahawa mereka mengambil pendekatan meraikan masyarakat majmuk yang terdiri daripada suku kaum dan pelbagai mazhab dalam negaranya.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS